ISNIN depan @ 19 Jun @ 24 puasa, semarakkan  - dan merdukan! – seluruh negara dengan lirik-lirik ALLAH. Alangkah indah dan syahdunya apabila bacaan al-Quran bergema serentak di seluruh pelosok, dari Perlis hingga ke Sabah.

Sekali lagi Malaysia#QuranHour menghidupkan Ramadan al-Mubarak. Untuk selama sejam, 12 tengah hari – 1 petang, hentikan apa juga kegiatan, tumpukan sepenuh perhatian terhadap ayat-ayat dari kitab suci, mukjizat yang ditinggalkan oleh kekasih kita Nabi Muhammad SAW.

Acara setahun sekali – ini kali kedua – bagi tahun ini akan melihat seluruh umat Islam berpadu dan sepakat menghayati dan memuji kebesaran Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menerusi bacaan dan pemahaman ayat-ayat suci.

Apabila pertama kali diadakan 24 Ramadan tahun lalu, jelas sekali usaha sejam ini telah mendapat sambutan yang amat menakjubkan, dengan berjuta orang menyertainya di mana sahaja di seluruh negara.

Walaupun ada segelintir pihak mulanya bernada sinis dan negatif terhadap #QuranHour, tetapi lebih ramai yang menyokong dan senang hati dapat sama-sama menghidupkan dan menghayati ayat-ayat suci.

Orang ramai, tanpa mengira status, sejak awal sudah berkumpul di pusat-pusat pembacaan @ hotspots di seluruh negara, dan tepat jam 12 tengah hari memulakan bacaan mengikut surah-surah pilihan.

Mereka yang tidak berkesempatan hadir di pusat-pusat yang telah ditetapkan, turut serentak membaca ayat suci di mana-mana sahaja lokasi yang sesuai, termasuk di pejabat, kedai, sekolah, R&R, dalam teksi, dalam bas, dalam bot nelayan, pendek kata di mana sahaja.

Terbukti pada tahun lalu, semakin ramai yang membaca, hati semakin terbuka dan perasaan semakin tersentuh. Dan tentu sekali turut membuka mata dan minda semua. Hatta rakan-rakan bukan beragama Islam pun turut terkesan apabila orang keliling semua menghentikan kegiatan dan menghadapi helaian-helaian kitab suci.

Ibadah mulia selama 60 minit – sebenarnya ada yang terus membaca hingga masuk waktu zuhur – itu betul-betul membuktikan kesepaduan ummah. Bahawa kita mungkin berbeza pandangan tetapi dapat bersatu menerusi al-Quran.

Tahun ini semuanya akan lebih tersusun, insya-ALLAH. Gerakan ini yang dikolaborasi dengan semua media perdana, telah mendapat liputan meluas, menyebabkan lebih ramai yang sejak awal menyatakan kesediaan untuk hadir.

Di peringkat nasional Malaysia#QuranHour diadakan di lokasi utama sama seperti tahun lalu, iaitu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Antara yang telah mengesahkan kehadiran ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Beberapa orang menteri, timbalan menteri, pimpinan tertinggi parti-parti politik – kerajaan dan pembangkang – juga akan menyertai bacaan al-Quran. Tidak kira latar belakang politik, atas nama Islam mereka sepakat di bulan mulia ini untuk bersama. Lupakan politik, kembali kepada asas, rujuk kepada al-Quran.

Turut sama hadir ialah para ilmuwan, ulama, pemimpin-pemimpin NGO, selebriti, dan anda semua. Seperti tahun lalu, anda semua adalah penggerak dan pemangkin kesedaran. Tidak ada protokol, tidak ada pakaian khas – apa sahaja yang sesuai dan menutup aurat.

Membaca ayat-ayat ALLAH pun sudah mendapat ganjaran besar. Tetapi lebih besar lagi ganjaran sekiranya kita tidak setakat membaca, sebaliknya memahami erti setiap perkataan – dan setiap huruf! – dari kitab ALLAH itu.

Setelah membaca, difahami ertinya, kemudian dihayati, dan yang lebih penting ialah mengamalkan isi al-Quran dalam kehidupan kita, setiap masa. Baca, faham, hayati, dan amalkan – inilah inti sari #QuranHour, satu gerakan umah untuk ‘meng-Quran-kan’ alam.

#QuranHour bukan kempen promosi Karangkraf. Ia adalah agenda seluruh ummah, satu gerakan bersepadu yang mesti kita semua gerakan, untuk kita semua kembali kepada al-Quran.

Siapa sahaja – tidak kira syarikat, kementerian, agensi, NGO, dan individu – boleh berusaha untuk membudayakan bacaan dan pemahaman al-Quran.

Mulakan dengan membaca ayat-ayat ALLAH, baik secara bersendiri, sekeluarga, sekomuniti, dan dengan massa. Mari kita mulakan dengan menyertai Malaysian#QuranHour.

Bagi yang di Lembah Klang, ramai-ramai kita banjiri Masjid Tuanku Mizan. Datang awal, pasti ada ruang untuk semua. Bagi yang berada di tempat lain, hadirkan diri di mana-mana hotspots atau di mana-mana sahaja lokasi sesuai yang anda sukai.

Marilah sama-sama kita semarakkan seluruh negara dengan bacaan al-Quran, serentak pada 19 Jun, jam 12 tengah hari hingga 1 petang.