LEGA, tetapi hairan juga apabila juruwang tidak mahu menerima wang saya petang hujung minggu lalu. Katanya: “Ada orang sudah bayar apa yang pakcik makan.”

Mulanya hairan, kini terkejut. Tidak fasal-fasal ada orang belanja saya makan. Mungkin teman sepejabat, boleh jadi geng surau. Atau, mana tahu kot-kot bekas kekasih. “Siapa?” saya bertanya.

“Tadi ada orang perempuan, nampak macam anak dara,” kata juruwang itu selamba. Perempuan? Anak dara? Maka, dari hairan menjadi terkejut, dan kini berdebar tidak keruan.

Saya tidak jadi beredar, sebaliknya tercacak, termangu depan juruwang, dan: “Macam mana rupa dia? Apasal awak tak tanya nama dia?” Baru saya sedar itu pertanyaan bodoh.

Juruwang tersenyum, meman-dang tepat ke muka saya dan memberitahu: “Orang tu kata dia kesian tengok pakcik, makan nasi separuh, lauk cuma telur masin, sayur sikit, dan air suam...”

Tidak kiralah dia anak dara atau siapa sahaja, saya yakin dia betul-betul kesian, dan ikhlas belanja. Tiba-tiba terharu pula saya!

Almaklumlah saya hanya memakai seluar lusuh, baju T leher bulat cap Pagoda – koyak sikit pada bahu – dan selipar Jepun buruk. Rambut pun tidak terurus, putih macam bunga lalang.

Sebenarnya itu memang uniform saya pada hari off, sekiranya keluar bersendirian. Ikhlas, jika ‘anak dara’ yang baik itu membaca coretan ini, saya ingin berjumpa dengannya, untuk mengucapkan terima kasih.

Kadang-kadang watak tua, dan ala-ala selekeh, memang boleh menimbulkan simpati. Satu hari saya berdiri dalam kesesakan di pejabat pos Kelana Jaya, menunggu giliran untuk berurusan di kaunter. Letih menunggu dipanggil sedangkan nombor saya masih jauh, mungkin setengah jam lagi. Resah bukan main.

Tiba-tiba bahu saya dicuit. Seorang remaja India yang tadinya asyik bermain telefon bimbit – agaknya leka dengan WhatsApp – berdiri di sebelah saya, dan menawarkan tempat duduk.

“Terima kasih, baik betul awak!” saya berkata, segera menduduki kerusi yang baru dikosongkan. Anak muda itu tersenyum, dan berkata mesra: “Tak apa, encik. Saya dah lama duduk, nombor saya pun dah dekat...”

Hanya beberapa minit setelah saya duduk, seorang gadis bertudung di sebelah saya – mungkin dalam usia awal dua puluhan - bertanya: “Uncle nombor berapa?”

“1037,” saya membalas senyu-mannya, dan dia menghulurkan nombornya pada saya, sambil berkata: “Jauh tu. Uncle ambik nombor saya, 1016.” Terkedu saya dibuatnya.

Sebelum saya berkata apa-apa, gadis bertudung itu menambah: “Tak apa, biar uncle dulu. Lagi pun saya tunggu kawan ni.” Adusss, anak siapa agaknya yang berpekerti mulia ini? Boleh buat menantu!

Alkisah, pernah sekali saya dan isteri meninggalkan kereta di sebuah stesen LRT, konon hendak mencuba pengangkutan awam. Lebih dua dekad saya tidak menggunakan kenderaan awam.

Kekok sekali kami di stesen yang penuh sesak di waktu pagi itu. Ada eskalator ke atas untuk mendapatkan tiket. Nampak mudah, tetapi bagi warga emas seperti saya, ini betul-betul melemaskan.

Macam rusa masuk kampung, saya terkinja-kinja memerhatikan macam mana memasukkan duit dalam mesin untuk tiket. Masuk duit, tekan itu, tekan ini, leceh betul!

Dua tiga orang gadis Cina – mungkin pelajar IPT – menghampiri rusa, seorang daripadanya berkata: “Tak biasa naik LRT? Biar saya tolong...”

Tidak sahaja tolong menda-patkan tiket, budak-budak itu mengiringi kami ke tempat me-nunggu, dan apabila LRT sampai mereka memimpin tangan saya dan isteri, sama-sama naik.

Ketika tiba di stesen Masjid Jamek di tengah pusat bandar, mereka sekali lagi sama-sama turun dan memimpin, untuk memastikan rusa-rusa bandar itu tidak tersasar destinasi.

“Terima kasih kerana tolong makcik dan pakcik. Nasib baik ada korang,” kata isteri saya. Seorang daripada gadis tersebut berkata: “Nak balik nanti tau jalan tak?”

Tiga insiden ini adalah anta-ra sekian banyak contoh dan pengalaman manis yang saya dan isteri lalui, baik di kota metro seperti KL, juga di lokasi-lokasi lain di seluruh negara.

Meski pun selalu terbaca, juga melihat tular di media sosial mengenai sikap tidak cakna masyarakat kita, sebenarnya di sana-sini masih ramai yang prihatin.

Memang ada yang kurang ajar, kasar, bersikap ‘ada aku kisah’, dan lain-lain perangai negatif. Namun sebagai warga emas, saya memerhati, dan mendapati – juga mengalami! – bahawa di luar sana masih ramai yang sayang.

Hatta, di pejabat sekali pun, keprihatinan terhadap warga senior selalu saya rasakan. Kerap ketika berbaris untuk membuat bayaran di kaunter kafe, staf di depan saya berkata: “Bos, hari ni saya belanja!”

Tidak kira walau hanya sekeping karipap atau secawan kopi-O, belanja daripada anak buah – terutama pekerja muda – selalu membuat saya sentiasa muda.

Ini bukan soal saya tidak ada duit, atau mereka dapat durian runtuh. Ini soal keprihatinan dan kasih sayang!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LOGO halal boleh dinilai secara berbeza, mengikut lokasi. Di tempat kita, sesetengah pengguna Islam sendiri macam tidak menghiraukan sangat logo tersebut. Sama ada berlogo atau tidak, mereka makan mengikut selera.
  • SETELAH ding-dong-ding-dong dan siri berbalas pantun, akhirnya pesta meneguk arak dibatalkan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran Better Beer Festival 2017.
  • ADA dua perkara yang dilakukan abah setiap pagi. Pertama, menziarahi mak sebaik hari cerah selepas solat Subuh.
  • BAYI itu baru beberapa saat dilahirkan. Hanya sedetik menyedut udara dunia, dan belum sempat mengeluarkan suara, nyawanya direntap secara sadis. Hidupan masih merah, masih bertali pusat itu telah dibunuh dengan amat kejam. Kepalanya yang masih lembut dipijak dengan but keras lagi tebal.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.