BOLEH gelar apa sahaja – perompak, pencuri, penyamun – makhluk spesies ini tetap dengan muka toya lagi amat meluat itu.

Kalau hendak kata penyangak, pengkhianat, kutu brahak, kaki balon, kaki sapu, kaki sakau, dan kaki-kaki busuk yang lain pun, semua tidak akan diambil peduli.

Hatta, seranahlah dengan kata-kata kesat yang lain, tetap tidak dipedulikannya. Malah, kalau dia boleh bercakap, mesti dia akan berkata balik: “Ada aku kisah!”

Memang, spesies degil lagi kurang ajar ini tidak boleh bercakap, walau sepatah pun.  Sebab  dia   monyet!  Tidak ada sindir-menyindir, juga tanpa bahasa berkias; saya bercakap mengenai monyet sebenar, bukan manusia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kampung Melayu di Dun Gambir, Tangkak, resah berdepan dengan monyet. Tidak kira pagi, petang, siang, waima malam buta, haiwan berkaki empat dan berekor itu sentiasa menghantui kehidupan beribu-ribu penduduk.

Monyet, jumlahnya beratus, mungkin beribu ekor – mak, bapak, anak, cucu, toki, opah – sentiasa berada di sekitar kampung, menunggu masa untuk membalun mangsa.

Mangsanya ialah tumbuhan dan tanaman di kawasan kediaman. Baik rambutan, manggis atau duku, semua musnah dengan serangan monyet. Pisang, cempedak, nangka, ciku, nenas, tidak sempat besar dan meranum. Ketika baru berputik telah dikerjakan tentera berekor itu.

Tanam ubi, belum berisi telah dicabut monyet. Tanam keladi, belum sempat berpucuk telah dimusnahkan. Pohon cili baru hendak berbunga, dicabut dan dipatah-patahkan. Semaian baru tumbuh di atas batas dijahanamkan. Batas hancur lumat digasak oleh gerombolan pengkhianat dan pengganas yang menyerang tidak mengira waktu itu.

Pendek kata orang kampung – termasuk Kampung Sungai Jaya, tempat saya berumah – tidak boleh bercucuk tanah langsung. Penat sahaja mencangkul tanah dan menyemai, belum apa-apa telah disakau makhluk perosak itu.

Menanam tidak boleh, menternak pun tidak berhasil. Telur ayam tidak sempat menetas dicuri monyet. Anak ayam baru menetas dimakan monyet. Ibu ayam dan bapak ayam pun dikerjakan monyet. Lebih teruk lagi apabila semua yang di luar rumah telah disakau dengan rakus, barang-barang dalam rumah pun diintai. Pantang tingkap atau pintu terdedah, dua tiga ekor akan masuk rumah.

Kalau ada makanan, akan menjadi habuan monyet. Kaki busuk itu akan menyelongkar dapur, mengambil apa sahaja tidak kira dalam periuk, belanga, kuali, hatta dalam peti ais.

Penyangak berekor itu boleh juga masuk bilik. Kain baju akan diselongkar, tempat tidur akan menjadi lintang-pukang. Almari solek boleh diterbalikkan. Rasanya kalau ada beg tangan jenama Bijan pun pasti akan dikoyak dan direnyukkan. Hatta, sekiranya ada bungkusan dan kotak berisi wang tunai pun akan dikerjakan.

Atap dan bumbung diterjah anak-beranak monyet hingga bocor dan patah. Malah ada kes penghuni rumah pun dicederakan monyet.Monyet memang pengkhianat, pemusnah!

Bukan tidak ada usaha untuk menghalang. Dipasang perangkap haiwan tersebut tidak masuk. Diacah dengan patung dan orang-orangan, takutnya cuma sehari dua. Masuk hari ketiga, patung dan orang-orangan pun dikeronyok monyet.

Diletakkan harimau plastik, monyet lari lintang-pukang, tetapi untuk sehari dua. Hari ketiga harimau tidak bergerak itu pula yang dipanjat dan ditenggek monyet.

Kebanyakan orang kampung kerja sebelah pagi. Monyet berkuasa di kebun, di luar malah di dalam rumah. Kalau ada yang tidak bekerja pun, tidak akan terkawal monyet yang banyak itu.

Tunggu dan jaga berjam-jam, hanya setengah jam tertidur atau solat di surau, tentera monyet boleh memusnahkan semuanya. Malah, jika tersilap langkah, orang yang menjaga pun boleh dilarikan monyet.

Orang kampung sudah buntu, mati  akal.  Mereka  dikalahkan  monyet tidak berakal. Mengadu kepada Tok Ketua tidak jadi apa-apa. Mengadu pada JKK mereka hanya geleng-gelang, atau berkata:  “Monyet pun nak makan juga. Dia takde kad ATM nak keluar duit beli makanan!”

Maka satu-satunya yang diharapkan oleh orang kampung ialah pejabat Perhilitan Tangkak. Tetapi agensi tersebut pun macam tidak berfungsi. Banyak aduan, kurang tindakan.

Adalah sekali dua dalam setahun Perhilitan datang untuk perangkap atau tembak monyet. Dapatlah seekor-dua, tetapi ribu-ribu lagi terus membiak.

Pada hemat saya, ada baiknya Perhilitan lebih cakna dan cepat bertindak. Takut-takut nanti pejabat Perhilitan pula diserang monyet!