LOGO halal boleh dinilai secara berbeza, mengikut lokasi. Di tempat kita, sesetengah pengguna Islam sendiri macam tidak menghiraukan sangat logo tersebut. Sama ada berlogo atau tidak, mereka makan mengikut selera.

 Sebab itu tempat makan milik bukan Islam – termasuk restoran di hotel lima bintang – tidak bertanda halal tetap menjadi tumpuan menjamu selera, malah untuk berbuka puasa.

Oleh sebab pengguna Islam sendiri tidak peka, dan tidak ambil kisah @ buat ‘dhek’, pemilik bukan Islam enggan memohon sijil dan logo halal untuk restoran mereka.

Dalam pada itu, logo halal boleh juga diselewengkan pihak tidak bertanggungjawab. Untuk menarik pelanggan Islam, ada restoran meletakkan logo berkenaan di premis mereka.

Tetapi bukan logo tulen yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebaliknya logo palsu. Maka bukan mengejutkan sekiranya restoran berlogo halal pun menjual arak.

Pendek kata, di tempat kita – negara Islam! – tanda @ logo halal boleh disalah guna, malah mengelirukan. Orang Islam tidak cakna, orang bukan Islam ambil kesempatan.

Berbanding di sesetengah negara bukan Islam, logo halal betul-betul digunakan untuk menghormati pengguna Islam. Ambil Jepun sebagai contoh.

Walaupun bukan negara Islam, mereka serius dan tidak main-main dengan logo halal. Satu ketika dalam bulan puasa, saya ke Tokyo, menyertai serombongan editor rantau Pasifik untuk satu seminar penerbitan anjuran The Japanese Foundation.

Hotel di kawasan Shinjuku tempat kami menginap mempunyai restoran yang menghidangkan makanan barat dan Jepun, Saya memberitahu saya Islam dan mahu makanan halal.

Tauke restoran membongkok berkali-kali, memohon maaf kerana tiada hidangan halal. Dia bukan Islam, tetapi sungguh-sungguh memandang berat mengenai halal. Dia bersusah-payah menulis beberapa tempat makan halal, termasuk sebuah restoran Pakistan yang terletak berhampiran.

Berbanding di KL, jika masuk restoran dan bertanya mengenai halal, pemilik akan segera menjawab: “Masakan kita memang halal. Gerenti ayam sembelih punya!”

Bila ditanya sijil atau logo halal, dia akan jawab: “Kita sudah mohon, belum dapat.” Pasti dia berbohong. Hatta, sekiranya dia menunjukkan logo halal yang diambil dari bawah kaunter, kena semak dulu. Ada kemungkinan itu logo auta.

Almaklumlah, di tempat kita jangankan logo Jakim, tandatangan PM dan kepala surat JPM pun orang berani tiru!

Kini tidak sukar mendapatkan restoran halal di bumi Samurai. Di Tokyo sahaja ada berpuluh restoran halal, yang menyajikan masakan Arab, Pakistan, juga sate dan tomyam.

Di seluruh Negara Matahari Terbit itu ada banyak hotel dan restoran besar yang mempamerkan logo halal, sama ada bertulisan Arab atau rumi. Mereka tidak sembarangan atau suka-suka meletak logo tersebut untuk menarik pelanggan Islam. Mereka serius mengenai halal.

Di sana tidak ada Jakim, tetapi orang tidak berani menipu logo halal. Mana-mana restoran yang memperoleh sijil halal, akan betul-betul mengikut prosedur syariah seperti yang ditetapkan.

Sebagai contoh restoran halal di hotel mengasingkan dapur untuk hidangan biasa dan hidangan halal. Setiap peralatan dari tempat simpanan barang hingga dapur, periuk-belanga, sudu, hatta tisu dan pengorek gigi semuanya diasingkan.

Pelanggan boleh melihat sendiri pengasingan dua tempat memasak, penyajian, ruang mencuci pinggan-mangkuk, juga bahan-bahan yang digunakan.

Baik di hotel atau di tempat makan umum, semua restoran halal ditangani oleh petugas beragama Islam dari luar seperti Pakistan dan Bangladesh.

Jepun sedar dan mematuhi semua piawaian halal dalam memastikan pengguna Islam, termasuk pelancong asing, mendapat jaminan makanan seperti yang dituntut agama.

The Japan Halal Association dan the Islamic Center of Japan melulus dan mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana syarikat dan restoran yang menawarkan perkhidmatan dan makanan halal.

Dua badan ini mengawal selia penggunaan tanda halal, dan bertindak tegas sekiranya tanda tersebut dimanipulasi oleh sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab.

Jepun – negara Samurai – penganut Islamnya terlalu kecil, mungkin tidak sampai satu peratus. Tetapi mereka memahami, dan mengamalkan nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan seharian, terutama dari aspek kebersihan.

Mereka tidak menipu logo halal, bukan takut diambil tindakan tetapi lebih untuk menghormati – dan menyayangi – orang Islam.

Di tempat kita, termasuk di KL, logo dan tanda halal dipalsukan dan dimanipulasi untuk kepentingan bisnes. Pembuat keropok dan pengeluar mi di belakang rumah pun mudah sahaja meletakkan tanda halal pada pembungkus.

Orang kita, termasuk pihak berkuasa agama Islam, tidak peduli sangat pada pemalsuan logo halal yang terjadi terang-terangan di depan mata. Semua macam memejamkan mata, menutup telinga, sekali gus menutup hati.

Kita lebih cakna dan riuh-rendah ‘satu Malaya’ terhadap sebuah dua kedai dobi halal khusus untuk orang Islam. Apa boleh buat, kita memang pelik!