INGATKAN saya seorang sahaja yang syok sakan, rupanya ramai lagi di luar sana yang sayangkan Neelofa!

Buktinya: sehari dua ini nama pengacara ngetop itu menjadi sebutan pagi-petang, siang-malam. Baik di alam maya, mahu pun di alam nyata mereka meluahkan perasaan terhadap si manis manja itu.

Di alam maya, warga siber tidak habis-habis menghentam artis berkenaan. ‘Kaw-kaw’ punya hentam, seolah-olah selebriti tersebut hina sangat, macam tidak guna walau setengah sen.

Di alam nyata, para agamawan, NGO dan individu tertentu juga menegur sambil memberi nasihat kepada gadis yang beberapa hari lalu genap 29 tahun.

Malah, mat rempit dan minah kepo di warung tepi longkang, pasar raya, pasar malam, di stesen LRT, hatta di tandas awam, tidak habis-habis mengumpat fasal si manis 29 itu.

Semuanya gara-gara gadis bertudung itu dilihat menari di sebuah kelab malam di KL. Neelofa berada di kelab tersebut untuk melancarkan koleksi tudung terbaharunya, BeLofa.

Perihal aksinya menari pada majlis tersebut, telah ditularkan, dan segera menjadi bahan kecaman umum. Semua beranggapan selebriti berkenaan tidak wajar menari begitu.

Sebahagian besar menghentam selebriti berkenaan atas sebab menghina Islam. Kata mereka: “Tidak manis wanita bertudung menari di depan umum... satu penghinaan terhadap kesucian Islam.”

Mereka menghujah, wanita bertudung sepatutnya sentiasa mempamerkan pekerti mulia, kesantunan yang tinggi, dan mengelak diri daripada perlakuan jelik untuk tontonan umum.

Teguran mereka sememangnya benar. Menutup aurat – termasuk kepala – adalah tuntutan agama. Orang yang menutup aurat tidak sepatutnya berkelakuan tidak sopan.

Dan, menari atau goyang-goyang tubuh di hadapan khalayak, lelaki dan wanita, adalah tidak sesuai untuk Muslimah. Apa lagi menari di kelab malam pula.

Salah tetap salah di sisi agama. Apa yang haram tidak boleh diharuskan, apa lagi dihalalkan. Tidak perlu dihujah dalam bab ini. Agama tidak boleh dijual beli.

Tetapi, sejak sekian lama ramai lagi wanita bertudung berkelakuan seperti Neelofa. Tudung kepala, tidak kira betapa cantik dan mahal harganya, tidak menghindarkan pemakainya daripada kelakuan yang boleh dianggap mempersenda kesucian agama.

Malah ada ketikanya perlakuan songsang itu diberi sokongan, dan digilai oleh orang ramai, secara sengaja. Contoh paling mudah ialah sekian banyak program realiti TV yang sebahagian pesertanya adalah gadis atau wanita bertudung litup.

Mereka bertudung tetapi dalam persembahan mereka menari, goyang punggung, goyang kepala, goyang dada, goyang semua. Sambil menyanyi mereka bergedik-gedik di hadapan penonton.

Malah, makin galak mereka bergedik, makin hebat pula undian yang diterima daripada orang ramai. Bertudung, berlagu, bergoyang tubuh. Maaf cakap, setengah aksinya amat menjolok mata. Kerap pula yang terlebih gedik lagi menjolok mata itu muncul juara.

Pelik, di satu pihak kita menjerit dan mengkritik keras wanita bertudung menari di depan umum, atas alasan menghina agama. Tetapi, di pihak yang lain si penghina agama disanjung dan diberi anugerah. Tiada siapa mengkritik.

Di luar kaca TV kerap juga kita melihat wanita bertudung, termasuk yang sudah berusia, terkinja-kinja menggoyang tubuh di khalayak umum.

Ramai mereka – tidak kira jantina dan usia – berkumpul di padang pada pagi hujung minggu untuk bersenam. Tidak salah beriadah, tetapi mengapa mesti ada senamrobik yang aksinya sama seperti menari.

Sekumpulan jurulatih, lelaki dan perempuan bertudung, beraksi di hadapan peserta – membongkok, menonggeng, mengangkang, goyang pinggul – diperhatikan dan diikuti peserta lelaki dan wanita.

Konon, acara hujung minggu seperti ini selain riadah untuk kesihatan, adalah juga cara untuk menjalin harmoni sesama kaum. Bagus dan amat digalakkan menjalin harmoni. Tetapi jangan mempersenda nilai murni agama.

Hatta, tarian poco-poco yang biasa dilakukan pada majlis-majlis tertentu, sekiranya diteliti juga bercanggah dengan agama.

Hadirin, termasuk pegawai kanan dan wanita bertudung bergoyang-goyang di ruang terbuka sambil diperhatikan dan ditepuk sorak oleh tetamu tidak kira jantina.

Menari di kelab malam, tergedik-gedik dalam program TV, senamrobik di padang, poco-poco atau apa sahaja, namanya mungkin berbeza, tetapi tetap ada goyang-goyang tubuh. Kalau disertai dan ditonton oleh bukan muhrim, tetap haram.

Tidak kira siapa yang melakukan, yang salah tetap salah. Kenapa prihatin dan marah-marah hanya pada Neelofa?