SESETENGAH orang kita, maaf cakap termasuk Melayu dan Islam, memang suka membazir makanan. Bukan sahaja suka, malah berasa megah sebab dapat dengan sengaja membuang rezeki.

Padahal mereka juga yang selalu berkata, sering kali sambil menyebut hadis dan nas, bahawa membazir itu sahabat iblis. Dalam hal makan secara berhemah, kita selalu cakap tak serupa bikin.

Mudah untuk melihat perangai tidak baik ini pada acara makan-makan seperti kenduri kahwin, parti hari ulang tahun, kenduri arwah, hatta jamuan untuk majlis yang ada kena-mengena dengan agama.

Sekiranya jamuan dibuat secara bufet – ambil sendiri makan sendiri – sifat tamak itu jelas kelihatan. Nampak sangat mereka digoda oleh iblis!

Mereka berbaris untuk mengambil makanan. Nasi penuh pinggan, ayam goreng dua ketul, kurma seketul, ambil pula ikan, sambal sotong, acar, dalca, ulam. Pendek kata apa yang ada semua dilonggokkan dalam pinggan.

Sepatutnya makanan diambil mengikut saiz perut, bukan mengikut kehendak nafsu. Ternyata semangat tinggi, tangki kecil, gear sudah kendur, dan enjin semput.

Akibatnya, baru sesuap dua nasi minyak, perut sudah penuh. Dua ketul ayam goreng, hanya seketul yang dimakan, kurma daging hanya masuk ke mulut secubit dua, ikan seketul tidak berusik.

Maka tersisalah – pembaziran yang ketara! – seketul ayam goreng, sebahagian kurma, ikan, sambal sotong dan lain-lain yang tidak habis makan itu.

Masih tidak sedar diri, dan terus menurut pujukan iblis, ambil pula pencuci mulut. Semangkuk cendol pulut, dua tiga keping kuih lapis, dua tiga potong tembikai, tambah lagi teh tarik.

Setelah pekena semangkuk cendol pulut, tekak sudah menolak yang lain-lain. Kuih dan buah potong itu tidak dimakan, hanya ditekan-tekan dengan sudu. Hatta teh tarik pun termenung dalam gelas. Buruknya perangai sesetengah orang kita!-

Sebenarnya tuan rumah tidak menyekat, malah amat mengalu-alukan tetamu untuk makan. Ambillah seberapa banyak, tetapi makanlah sehingga habis, tanpa sebutir nasi pun dibazirkan.

Minggu lalu saya berbufet di sebuah hotel, dan terharu melihat pembaziran di depan mata. Ini pandangan biasa setiap kali saya menjamu selera di hotel atau restoran eksklusif.

Berbeza betul perangai sesetengah kita dengan tetamu asing yang sama-sama makan. Dia orang prihatin, kita tidak.

Di sebelah meja saya dua orang mat salih makan berhemah sekali. Ambil sedikit makanan, mengunyah perlahan-lahan dan menikmati hingga habis. Kemudian menambah semula makanan, dan makan hingga licin. Tertib dan nampak berselera.

Berbeza betul dengan sekeluarga orang kita – suami, isteri dan dua anak – yang duduk selang semeja. Mereka ambil begitu banyak, makan sedikit dan longgokkan dalam pinggan. Ambil lagi juadah lain, kunyah sedikit banyak yang dibazirkan.

Dua orang anaknya lagi membazir. Ambil aiskrim, beraneka kuih-muih, ciku, anggur, segala jenis pencuci mulut, tetapi tidak masuk ke mulut sebaliknya dibiarkan tidak berusik.

Secara ikhlas saya menyapa mesra: “Kenapa tak makan semua tu, membazir...” Si suami tersenyum, ada macam bersalah. Tetapi si isteri nampak tidak setuju dengan keepoh saya: “Kita bayar, bukan makan free. Lagi pun ini dalam pakej hotel...”

Memang free, tetapi bukan untuk dihidangkan pada iblis! Saya menjerit, tetapi hanya dalam hati. Kalau diluahkan secara terbuka bimbang pula keepoh menjadi kecoh.

Manusia spesies ini masih banyak di keliling kita. Sebab itu di mana pun kita makan, tidak kira di hotel lima bintang, restoran biasa malah gerai bawah pokok tepi longkang, selalu ternampak makanan dibuang, langsung tidak disyukuri.

Seperti yang pernah dilaporkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang setiap hari. Jumlah tersebut mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.

Sebab itu dicadangkan satu polisi yang melarang pengendali makanan, pasar raya dan pengeluar daripada melupuskan lebihan makanan kerana lebihan itu dapat disalurkan kepada golongan memerlukan.

Kita membazirkan makanan, sedangkan di luar sana ramai yang tidak makan.  Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP), satu daripada sembilan orang secara puratanya di dunia ini tidur dalam keadaan lapar setiap malam.

Di sesetengah negara, seorang daripada tiga kanak-kanak mengalami masalah kurang berat badan kerana tidak cukup makan.

Masihkah kita tergamak menjadi sahabat iblis?