SAYA tidak pernah mengenali Nur Syuhada. Tetapi membaca kisahnya yang tular di media sosial – kemudian dilaporkan di akhbar – tersentuh perasaan dibuatnya.

Murninya hati insan ini! Dalam persekitaran yang serba kacau-bilau lagi hancai-bocai semenjak dua menjak ini, kewujudan insan kerdil seperti ini melegakan kita semua. Sekurang-kurangnya masih ada yang sayang.

Nur Syuhada ialah seorang jururawat. Walaupun dalam keletihan selepas tugas rasmi Ahad lalu, dia memberhentikan keretanya untuk tugas tidak rasmi.

Dia melihat seorang penunggang motosikal kemalangan dan terdampar di tepi jalan berhampiran Danga Bay, Johor Baru. Atas rasa simpati dia turun dari kereta, memberi pertolongan kepada mangsa.

Perilaku murni itu sempat dirakam oleh seseorang, dan ditularkan. Ramai warga siber, termasuk Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, memuji jururawat berkenaan.

TMJ menulis dalam Facebook: “Saya mengucap syabas kepada Nur Syuhada dari Hospital Sultanah Aminah kerana memberi contoh yang baik. Inilah contoh sebenar wira berhati murni...”

Saya percaya di luar sana ramai lagi insan seperti Nur Syuhada. Meski dalam kehidupan yang dikatakan ‘engkau-engkau, aku-aku’ – sehingga tidak menghiraukan jiran sebelah rumah – masih ada jiwa yang prihatin.

Kerap saya terserempak dengan wira-wira tidak didendang dalam aksi masing-masing. Seorang wanita Melayu sarat mengandung teragak-agak untuk melintas jalan di tengah kesibukan bandar raya.

Beberapa kali dia mencuba, tetapi berundur semula kerana kenderaan tidak berhati perut yang meluncur laju. Orang ramai pun buat tidak tahu.

Tiba-tiba ada seorang budak lelaki India, masih dalam uniform sekolah, memegang tangan wanita berkenaan, dan memimpinnya melintas jalan.

Senyuman wanita itu menjelaskan betapa berterima kasihnya dia pada hero kecil itu.

Saya sendiri pernah terpinga-pinga ketika cuba menaiki LRT dari Bandar Sunway ke Subang Jaya. Dalam keadaan orang berpusu-pusu, saya tidak tahu macam mana hendak membeli tiket, dan hampir berputus asa.

Akhirnya seorang gadis Cina, saya ingat dia pelajar kolej, menghampiri saya, bertanya mesra: “Pakcik hendak ke mana?” Saya memberitahu destinasi, dan dia memasukkan wang kertas ke dalam mesin, tidak sampai seminit tiket keluar.

Mudahnya, tetapi kalau tidak kerana pertolongannya, saya mungkin membatalkan hasrat untuk makan ayam penyet di medan selera sebuah pasar raya di Subang Jaya.

Gadis itu tidak mahu menerima duit saya untuk tambang, sebaliknya berkata: “Tidak mengapa, saya belanja pakcik. Nak turun nanti, jalan baik-baik...”

Terharu betul saya, macam hendak menangis. Anak siapa agaknya gadis manis itu!

Pendek kata, di sana-sini di keliling kita, masih ada yang prihatin, penyayang dan ikhlas. Masih ramai wira yang tidak pernah minta didendang.

Tetapi selalulah berwaspada, sebab ada juga yang busuk hati. Sana-sini ada sahaja penyangak yang suka menyusah dan menyakitkan orang.

Beberapa hari dulu, Muhammad Ikmal Abdul Razak, 19, luka parah di kepala dan terpaksa menerima 15 jahitan, gara-gara ada penyangak yang mencampakkan roda basikal dari tingkat atas PPR Gombak Setia.

Januari lalu S. Satiwaran, 15, cedera dihempap kerusi dari tingkat atas PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.

Siapakah penyangak tidak berhati perut, bebal lagi bangang yang tergamak mencampakkan apa sahaja barang – kerusi, roda basikal, lesung batu, tv, cawat wanita, dan sebagainya – dari tingkat atas rumah pangsa?

Tidak sahaja di PPR, penyangak ada di luar PPR. Ada peragut jalanan, ada pencuri kereta, ada pemeras ugut. Ada penagih dadah yang sanggup mengelar ibu sendiri.

Ada pembocor soalan peperiksaan, ada penipu atas talian. Ada penipu timbangan @ dacing, ada pemalsu dokumen. Ada perogol, penculik, pembunuh.

Hatta, di kediaman mewah pun ada penyangak. Ada perasuah yang tidak habis-habis songlap duit, bukan RM ribu-ribu tetapi RM juta-juta, simpan di dalam almari, bawah katil, bawah tilam.

Ada yang pagi-petang, siang-malam, tibai dan balon harta orang, beli itu, beli ini, beli orang, beli kuasa, pendek kata beli apa sahaja.

Mari kita mengucap syabas kepada Nur Syuhada dan insan-insan kerdil lain yang mempunyai hati mulia.

Wira-wira tidak didendang ini patut sekali dipuji.

Tetapi penyangak, penyamun, kaki tibai, kaki balon dan lain-lain kaki busuk, patut dikeji. Bukan sahaja dikeji, mereka patut dihukum. Tiada maaf bagi mu!