DIA orang kata dalam politik tidak ada sahabat sejati. Hari ini kawan baik, sama-sama berpelukan, makan sepinggan, minum secawan, tidur sebantal, hatta kentut pun senada seirama. Siang malam intim bagaikan Laila dengan Majnun.

Tiba-tiba esok atau lusa saling bercakaran, saling carut-mencarut, masing-masing menyumpah seranah. Maka segala kebusukan dan keburukan – termasuk hal-hal peribadi dalam kelambu – saling didedahkan. Pendek kata, kekasih pujaan menjadi musuh No.1.

Tetapi, dalam politik juga tidak ada musuh yang abadi. Hari ini saling membenci dan mencaci, tiba-tiba esok atau lusa boleh mesra bergesel gusi. Sebab itu seteru selama 18 tahun pun tiba-tiba boleh bersalam erat, macam tidak ada apa-apa.

Kata orang lagi, dalam politik ada macam-macam tanggapan @ persepsi. Benda kecil boleh diandaikan besar. Sebaliknya benda yang betul-betul besar boleh diandaikan kecil dan remeh. Perkara baik boleh disangka tidak baik.

Sebab itu tidak menghairankan apabila genggaman tangan Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat – dan disoseh-soseh – dalam pelbagai persepsi. Ada yang kata salaman itu tidak ikhlas, hipokrit. Mana dia orang tahu ikhlas atau tidak ikhlas?

Ada yang kata adegan kemesraan di mahkamah itu hanya tipu helah untuk kepentingan tertentu. Ada yang meramalkan dengan dua musuh utama itu berbaik semula, satu amaran buat BN. Ada pula menganggap BN makin kuat dengan sikap Tun M yang seperti kehabisan modal politik.

Pendek kata orang politik boleh buat apa-apa sahaja persepsi, mengenai semua perkara. Boleh berselisih pendapat, boleh juga sependapat. Keputusan macam mana besar pun boleh berubah dalam sekelip mata. Dia orang kata, kalau tidak ada gaduh-gaduh bukan politik namanya!

Maka ada yang mengandaikan selagi ada politik orang tidak akan henti-henti bergaduh. Andaian yang satu ini tidak tepat. Politik boleh diteruskan, tetapi pemain-pemain politik juga boleh ditenteramkan. Tanpa gaduh, tanpa tuduh-menuduh, tanpa tutuh-menutuh... hanya menerusi al-Quran.

Mari ramai-ramai kita mulakan langkah untuk mendekatkan diri dengan kitab suci tersebut. Jom kita semua – tanpa batasan dan ikatan mana-mana parti politik – serentak membaca ayat-ayat ALLAH pada hari Ahad 11 September, dari jam 9 hingga 10 pagi.

Untuk selama sejam ini – hanya 60 minit! – kita lupakan perbezaan politik, buang status dan keegoan, ketepikan warna kulit, dan buktikan Islam itu perpaduan. Mari ramai-ramai kita jayakan World#QuranHour. Ini satu gerakan ummah untuk mendekati dan berinteraksi dengan mukjizat Rasulullah SAW.

Pada hari itu – pada waktu yang sama di seluruh glob – umat Islam seluruh dunia akan membaca al-Quran. World#QuranHour bukan program Sinar Harian, bukan acara media, tetapi satu gerakan ummah untuk mengajak kita semua kembali kepada ajaran al-Quran.

Memang, selama ini pun sejak lebih 1,400 tahun lalu, kitab suci itu telah dibaca oleh orang Islam. Tetapi ramai juga yang tidak membacanya. Ramai yang menjadikan mukjizat daripada ALLAH itu hanya sebagai hiasan di rumah atau di masjid dan surau.

Di negara kita sendiri, ramai orang Islam tidak membaca al-Quran. Malah ramai yang tidak tahu langsung membaca al-Quran. Tidak kenal huruf-huruf al-Quran, tidak tahu Alif, Ba, Ta.

Sekiranya membaca pun tidak tahu, mana mungkin kita memahami isi kandungan kitab suci yang sepatutnya dijadikan penyuluh hidup itu. Sama ada yang tahu membaca, atau yang tidak tahu membaca, datang beramai-ramai menyertai #QuranHour.

Bawa keluarga, bawa kawan-kawan, bawa sesiapa sahaja. Datang dengan hati ikhlas dan terbuka. Sekiranya kita tidak tahu membaca, mendengar orang membaca pun dapat pahala.

Mudah-mudahan dengan menghadirkan diri pada acara sejam itu, ALLAH akan memberi petunjuk untuk kita meminati kitab-Nya. Jadikan 9 pagi 11 September detik permulaan untuk kita menikmati al-Quran.

Bagi mereka yang berada di sekitar Lembah Klang, acara ini akan diadakan di masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Datang seawal mungkin untuk kita sama-sama menghayati ayat-ayat ALLAH.

Bagi yang berada di luar KL, ada beratus-ratus tempat di seluruh negara yang dijadikan tempat berkumpul menjayakan gerakan ini. Dapatkan lokasi yang paling hampir dengan anda.

Tetapi sekiranya tidak ada tempat khas untuk berkumpul di kawasan anda, bacalah al-Quran bersama keluarga di rumah masing-masing, atau baca di mana-mana lokasi yang sesuai. Anda disertai oleh berjuta-jura umat Islam di seluruh dunia.

Lupakan apa juga perbezaan, tunjukkan perpaduan Islam. Ramai-ramai kita jayakan World#QuranHour, Ahad ini, 9 pagi.