BUNGKUSAN daripada seorang sahabat lama menarik perhatian saya, petang itu. Isinya ialah Jejak Seni Johan Jaaffar (JSJJ), buku terkini Tan Sri, yang membaca Kata Penghantar pun segera membangkitkan kenangan silam. Zaman kanak-kanak penulis ini  banyak menyerupai apa yang saya lalui lebih setengah abad lalu. Kami sama-sama lahir dan membesar di Muar. Dia di Sungai Balang, saya di Sungai Ekor.

Sama-sama hidup di kampung yang hampir 100 peratus orang Jawa. Sebab itu nama-nama yang disebut dalam bab-bab awal – Martol, Gomleh, Ngarip, Dayat dan banyak lagi – tidak asing di telinga saya. Malah, ada nama-nama yang wujud juga di kampung saya, termasuk Tuginah dan Patonah.

Seawal bab pertama lagi buku ini telah menyentuh sentimen silam saya apabila Johan bercerita mengenai tugasnya membantu Wak Kutuk, seorang pembuat gasing terkenal di kampungnya. Beliau menyebut: “...apa yang lebih penting ialah Wak Kutuk mempunyai dua orang anak gadis yang boleh diajak berbual bagi menghilangkan rasa penat... Jika diukur kecantikan mereka menggunakan kayu ukur kampung, mereka memang cantik.”

Maka segera kenangan saya kembali kepada Patonah, atau dipanggil ‘Tonah’, anak gadis Wak Ngarjan yang sejak di kelas mukaddam lagi telah diajuk-ajuk sebagai ‘endut’ saya. Saya tidak malu, malah megah. Endut ialah istilah orang kampung saya, ertinya kekasih.

Tetapi Wak Kutuk, Tuginah dan Patonah hanyalah sedikit penyedap – orang Jawa kata ‘bumbu’ – dalam keseluruhan JSJJ terbitan DBP di mana penulis pernah bertugas.

Lebih dari perhatiannya terhadap dua orang anak gadis tukang gasing itu, pada hemat saya buku setebal 340 halaman ini adalah sebuah memoir lengkap – dan menarik – mengenai perjalanan seni seorang Tan Sri.

Perjalanan itu tidak sahaja panjang dan berliku, malah banyak pula ranjau dan durinya. Dan, sebagai hero, penulis selalu berjaya menangkis onak dan duri itu. Pendek kata, kalau difilemkan, panggung tidak dibakar penonton.

JJ – demikian panggilan untuk Jo-han Jaaffar dalam kalangan teman-teman rapat, dulu selalu terkeliru de-ngan seorang lagi JJ, iaitu Jamaluddin Jarjis (Allahyarham) – bagi sesetengah orang selalu dikait-kan dengan dunia korporat, lebih-lebih lagi apabila beliau menerajui konglomerat media tersohor, Media Prima.

Tetapi di sebalik sut kemas lengkap bertali leher orang korporat itu, jiwa JJ sebenarnya ialah seni. Seperti yang dicoret dalam 76 bab, jelas sekali minat dan kecintaan terhadap seni tidak pernah mati. Hingga kini jarang beliau tidak muncul pada sesi baca puisi yang diadakan sebulan sekali di Rumah Pena, Kuala Lumpur.

Minatnya terhadap seni bermula sewal usia 11 tahun, apabila pasukan bangsawan, Kumpulan Bintang Timur Opera membuat persembahan beberapa minggu di Sungai Balang.

Dia diambil sebagai pekerja sambilan, menjadi penarik tirai pentas setiap kali persembahan. Upahnya 15 sen atau 20 sen semalam. Tahun 60-an upah itu sudah dikira lumayan bagi budak sekolah rendah.

Tetapi selain upah menarik tirai, bagi Johan apa yang penting dia dapat berkenalan dan rapat dengan beberapa orang pemain bangsawan kumpulan tersebut termasuk Bakar M, Rahman B, Rahim B dan Rohani B – semuanya pemain bangsawan terkenal waktu itu.

Malah, Rohani B, primadona bangsawan waktu itu, sangat rapat dengan budak penarik tirai ini. Seperti yang dicoret JJ: “Dia (Rohani B) tidak tahu membaca. Saya yang tolong membacakan surat-surat dari peminatnya di seluruh negara...”

Tentu sekali menarik untuk diketahui bagaimana daripada budak penarik tirai bangsawan boleh mengembangkan bakat dan minat seninya, sehingga berjaya menulis skrip, menjadi pelakon dan mengarah beberapa drama popular. Dunia seni menemukan JJ dengan nama-nama besar dalam penulisan – Samad Said, Tongkat Waran, Kris Mas – dan sejumlah tokoh-tokoh tersohor dunia teater.

Dalam serius diselitkan juga ‘bumbu’ untuk mengenakkan lagi JSJJ, antara yang mengimbau kenangan saya ialah funfair dan persembahan kugiran yang menyebabkan orang kampung mencuri getah buku dan sekerap untuk membeli tiket nonton persembahan di padang sekolah.

Secara peribadi saya mula berkenalan dengan penulis ini semasa  beliau menuntut di Uni-versiti Malaya. Ketika itu saya – bersama Subky Latif dan Chamil Wariya (Datuk) – mengendalikan majalah bulanan Sarina, dan JJ menjadi salah seorang yang menyumbang artikel.

Apabila meninggalkan Sarina, saya diberitahu bahawa JJ adalah antara orang awal yang mencetuskan idea untuk Karangkraf. Beliau menulis siri-siri menjawab soalan peperiksaan SPM, yang diterbitkan oleh Karya Bestari, syarikat awal yang kemudiannya berkembang menjadi Kumpulan Media Karangkraf.

Sejak mula menulis hingga sekarang, kelebihan JJ ialah baha-sanya yang segar dan mudah. Jom baca JSJJ, hanya RM45, berbaloi-baloi.