TAHUN ini senyuman isteri melebar hingga ke telinga. Almaklumlah, sejak sebelum puasa telah diputuskan kami sekeluarga beraya di kampung halamannya, Kuala Terengganu.

Tidak perlu lambung-lambung syiling, atau main ‘o-som o-som’, sebab saya ‘enggeh’ sahaja. Lebih tiga dekad berkongsi katil dengannya, kami tidak ada kecoh-kecoh untuk beraya di kampung siapa.

Lagi pula secara peribadi, saya tidak kisah beraya di mana pun. Boleh di Muar, di KT pun okey, malah di KL juga tidak mengapa. Hatta sekiranya ada kesempatan berlebaran di Jakarta atau Phuket, atau Makkah, waima Hiroshima pun saya tidak ada masalah.

Cuma dulu-dulu jika beraya di Negeri Penyu, saya dilanda gubra dan separuh sewel kerana letih berkereta pada bulan puasa. Bayangkan bertolak dari KL selepas subuh dua hari sebelum raya, tiba ke destinasi menjelang waktu sahur puasa terakhir. Hampir 20 jam di belakang stereng!

Tetapi sekarang ada Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), maka tidak ada lagi muncung ikan todak dalam kereta. Pemanduan lancar walaupun banyak kenderaan. Nampaknya sistem kerja mendisiplinkan pemandu.

Terima kasih kepada LPT2 sepanjang 184 km – dari Jabor @ sempadan Pahang-Terengganu terus ke KT – yang memendekkan masa perjalanan KL-KT hanya sekitar empat jam.

Bertolak lepas subuh dua hari sebelum raya, kami tiba lewat sedikit lepas asar dan sempat singgah di bazar Ramadan untuk memilih beraneka juadah berbuka.

Tentu sekali bertambah lebar senyumannya sebab dapat menikmati makanan dan lauk-pauk kegemaran sejak kecil, termasuk sejenis kuih tradisional yang menyebutnya pun sudah mematikan selera saya, iaitu tahi itik!

Tahun ini bukan sahaja dapat berbuka puasa dua hari terakhir Ramadan, tetapi yang lebih menggembirakan orang sebelah ialah merasai suasana ‘petang megang’ @ petang terakhir al-Mubarak, bermula selepas zohor.

Sampai sekarang saya tidak pasti kenapa dinamakan ‘petang megang’ – di Kelantan disebut ‘pete mege’. Apa yang pasti petang menjelang raya itu suasana amat meriah. Baik Pasar Payang, pasar raya dan pasar biasa, orang berbondong-bondong berbelanja.

Benarlah kata seorang teman di KT, kalau hendak merasakan suasana raya, ‘petang megang’ adalah puncak kemeriahan, samalah seperti last minute shopping di Jalan Tunku Abdul Rahman KL.

Sama ada pakaian raya, songkok, capal, selipar Jepun, kain langsir, alas meja semua hendak dibeli pada saat akhir. Daging, ayam, telur, ikan tongkol nasi dagang, rempah ratus, hatta lesung batu pun semua hendak dipegang. Agaknya sebab itu dipanggil ‘petang megang’.

Dan, awal pagi Syawal yang syahdu itu, takbir bersahutan di Masjid Negeri Kuala Terengganu – juga di masjid dan surau seluruh negara. Nostalgik dan pilu juga mengingat orang-orang tersayang yang telah meninggalkan kita...

Berkunjung ke rumah sanak saudara selepas solat Aidilfitri, terasa pula suasana ‘pegang-memegang’ – ini istilah saya! –  yang sebenar. Di atas meja ada sekian banyak hidangan yang hendak dipegang.

Menjadi makanan ikonik hampir di setiap rumah ialah nasi minyak, kurma daging dan kurma ayam. Tidak ketinggalan ialah hidangan signature Negeri Penyu iaitu nasi dagang dengan gulai ikan tongkol (ikang aya!) atau gulai telur.

Dan ada sekian banyak makanan iringan, termasuk laksa, sate, pulut lepa, ketupat pulut, ‘ceranang’, ‘akok’ dan kuih-muih tradisional yang namanya kedengaran pelik di telinga orang luar ‘Ganu Kite’.

Menjelang tengah hari, tekak mula menolak dan perut tidak dapat lagi menerima hidangan yang serupa setiap rumah. Maka di Negeri Penyu yang sana-sini nasi dagang ikang aya itu tiba-tiba saya teringat nasi kandar di Jalan Tunku Abdul Rahman. Kalaulah ada kari kepala ikan bawal!

Meski dalam murung ekonomi dan RM yang semakin ciput nilainya, rumah-rumah yang saya kunjungi selama dua hari raya di negeri pantai timur itu meriah dan mewah seperti biasa.

Hatta, restoran dan gerai-gerai ICT – ikan celup tepung – di Batu Rakit yang mula dibuka raya kedua, sentiasa sesak dikunjungi pelanggan, kebanyakan kereta bernombor plat luar.

Seperti biasa, selain mengucapkan Aidilfitri, politik dan malap ekonomi menjadi topik hangat, baik ketika menyuap nasi dagang, atau mengunyah ikan celup tepung.

Sana-sini orang bercakap tentang RM bilion-bilion yang dikatakan telah diskandalkan sehingga menjadi berita utama seluruh dunia. Orang kampung yang tidak faham ekonomi pun naik semangat.

Turut hangat dikisahkan ialah perihal Tan Sri Isa Samad yang dengan rela hati berundur dari FGV. Rela tak rela pun dia dapat jawatan baharu. Berhenti dari FGV jadi bos di SPAD. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Isa...