TIDAK kira betul atau auta – fakta atau kelentong – orang yang berani selalu mendapat publisiti dan menjadi sebutan umum. Ambil sahaja Ibrahim Mat Zin sebagai contoh terkini.

Walaupun tidak ada orang mengiktiraf, dia berani mendakwa dirinya sebagai ‘Datuk Mahaguru’. Siapa pun tidak menghujah universiti atau pesantren mana yang menganugerahkan dia gelaran itu.

Memang ramai yang ketawa, tetapi tidak juga orang menyangkal apabila dia mendakwa dirinya sebagai ‘Raja Bomoh’, ‘Nujum VIP’, malah pada satu ketika mengiktiraf dirinya ‘Raja Bomoh Sedunia’.

Dengan gelaran-gelaran tersebut dia menjadi perhatian media setiap kali turun padang. Terkini wajah dan aksinya menular di media sosial ketika negara dilanda kemelut berikutan pembunuhan Kim Jong-nam di KLIA2 13 Februari lalu.

Seperti yang dilaporkan media, Ibrahim yang lengkap berkot, tali leher dan songkok, bersama tiga pembantunya, melakukan ritual di pantai, konon bagi mengelakkan Malaysia dari serangan Korea Utara.

Seperti yang jelas ditularkan, sang bomoh tidak menggunakan sebarang peralatan canggih era ICT, sebaliknya hanya dengan dua biji kelapa, sebatang kayu sebagai teropong, lima buluh sebagai meriam, sejadah dan semangkuk air laut, untuk ‘memagar’ negara.

Tidak ada yang melarang, selepas beraksi di hadapan sekumpulan pasukan media di pantai, dia melakukan ritual yang sama di luar Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.

Ketika dunia merancang dan menyediakan peralatan serba canggih – meriam, peluru berpandu, bom kimia, bom nuklear dan sebagainya – di negara kita ada orang menggunakan buluh dan buah kelapa untuk melawan musuh.

Memang menjadi bahan ketawa seluruh dunia. Tetapi, jangan tidak tahu, ada juga orang kita yang percaya! Malah, ada yang taasub bahawa lelaki berusia 80-an asal Perak itu memang mempunyai kelebihan.

Percaya atau tidak, belakang kira. Apa yang penting Ibrahim berjaya menonjolkan dirinya sebagai orang hebat – pada satu ketika lebih hebat daripada Ketua Polis Negara – apabila aksinya menjadi tajuk berita.

Sejarah telah membuktikan bahawa sesetengah orang Melayu masih terlalu percaya kepada ritual yang dilakukan oleh tok nujum dan tok pawang. Sebab itu ramai yang kena tipu, malah kena perkosa, oleh mereka yang bertopengkan pengamal rawatan tradisional.

Sebenarnya P Ramlee telah menceritakan betapa seorang nujum yang pandai ilmu putar-belit boleh menundukkan semua orang, termasuk raja. Maka, bukan tidak mungkin Nujum Pak Belalang masih wujud dalam masyarakat kita sekarang.

Pihak berkuasa perlu menyekat nujum dan bomoh dari terus mempengaruhi orang ramai. Perihal Ibrahim, Kerajaan Negeri Perak telah mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015.

Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 dengan perkenan Sultan Perak memutuskan bahawa upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Ibrahim adalah berlawanan dengan hukum syarak.

Meskipun telah ada fatwa, yang empunya diri berani melanggar fatwa di Perak. Terkini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang mengesan Ibrahim.

Seperti yang disiarkan media, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan pihak berkuasa sedang berusaha menjejaki lelaki berkenaan untuk menangkap dan mendakwa beliau kerana merosakkan imej Islam.

Ketika rencana ini ditulis baik polis mahu pun Jawi belum berjaya mengesan individu berkenaan. Maka ada yang percaya bahawa bomoh tersebut telah ‘memagar’ dirinya dan tidak mungkin dapat dikesan.

Kalau kita masih ingat individu yang sama pernah menjadi tumpuan ramai ketika tiba-tiba muncul di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan mendakwa dapat mengesan pesawat MH370 yang hilang bersama 239 orang termasuk 12 anak kapal dan dua bayi.

Menggunakan buluh sebagai teropong dan bubu mata pancing, dia melakukan ritual di hadapan umum, kemudian memberitahu: “Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara, di tengah-tengah tiga lokasi, iaitu Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dipastikan.”

Sehingga hari ini, setelah lebih tiga tahun, pesawat malang itu belum ditemui, walaupun gerakan mencari menggunakan segala peralatan tercanggih – dan belanja RM ratusan juta – telah dilakukan pasukan dari beberapa negara.

Maka sesetengah orang kita kini percaya dengan ramalan ‘Nujum VIP’ bahawa pesawat MH370 ‘masih tergantung di ruang udara’. Sebelum ramai lagi yang taasub, ada baiknya pihak berkuasa segera mengesan Ibrahim.

Inilah masa ujian sebenar untuk menentukan mana lebih berkesan: peralatan tercanggih atau ‘pagar’ ahlul nujum!