DI tempat kita banyak benda tercetus mengikut musim. Jadi, sama macam durian dan manggis, perjuangan menegak dan mempertahankan bahasa Melayu pun bermusim.

Sehari dua ini banyak orang naik semangat – dan beremosi luar biasa! – masing-masing ingin membuktikan merekalah pejuang dan penyelamat bahasa ibunda.

Setakat rencana ini ditulis beberapa NGO – termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), Pertubuhan Warisan Melayu Johor, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) – telah secara terbuka menyatakan bantahan.

Hatta, Kelab Alumni Umno Antarabangsa pun senada dengan NGO-NGO lain, menegaskan akan menentang sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba menggugat kedudukan bahasa tersebut.

Ada yang mahu adakan tunjuk perasaan. Malah ada yang menangis sambil hantuk-hantuk kepala kerana terlalu sedih dan terluka sanubari.

Semuanya gara-gara kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Kontroversi bermula apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi kelonggaran tersebut.

Para pejuang bahasa – NGO dan beberapa pemimpin politik – pun melenting sambil seperti biasa menyebut ‘Fasal 152 Perlembagaan’, ‘bahasa rasmi’, ‘bahasa perpaduan’, ‘martabat bahasa dan bangsa’, dan lain-lain ungkapan retorik.

Masing-masing menegaskan bahasa yang satu itu tidak harus dijadikan korban semata-mata untuk memastikan keseimbangan permintaan-penawaran dalam profesion kedoktoran.

Sebagai orang Melayu tentu sekali saya kagum – dan tabik spring – dengan para pejuang yang begitu sensitif dan berkobar-kobar sekali dalam isu kelonggaran syarat JPA.

Tetapi dalam waktu yang sama saya tidak tahu sejauh mana akan berjaya perjuangan mereka. Sebab telah terbukti dalam banyak perjuangan sebelum ini, semangat yang membara akan dingin semula. Kokok berdegar-degar tidak akan memberi kesan, sebab ekor bergelumang tahi.

Isu bahasa sepatutnya dilihat dalam skop yang lebih luas, bukan setakat kelonggaran syarat JPA. Hakikatnya, bahasa kita telah sekian lama dipinggirkan dan dikorbankan.

Orang korporat tidak mengiktiraf bahasa Melayu sebab telah lama terpahat dalam minda mereka bahawa bahasa kuno ini tidak ada nilai komersial. Mereka lebih yakin berurus niaga guna bahasa Inggeris.

Pemimpin dan menteri Melayu sendiri pun lebih megah bercakap orang putih. Perhatikan apabila mereka muncul di TV, cakap Melayu dua tiga patah, kemudian beringgeris-inggerisan.

Stesen TV kita – termasuk RTM – pun terikut-ikut mempromosi bahasa rojak. Malah ada stesen yang mengutamakan bahasa rojak lebih daripada bahasa ibunda.

Drama Melayu berdialog orang putih. Kalau dialog Melayu ada pula terjemahan Inggeris, macamlah drama kita hendak dieksport ke Amerika!

Di KL, bahasa Inggeris menjadi bahasa perantaraan dalam hampir setiap urusan. Waima pengumuman awam budak hilang di pusat membeli-belah pun lebih biasa dibuat dalam bahasa Inggeris. Iklan dan poster niaga membesarkan bahasa Inggeris, mengetepikan terus bahasa Melayu.

Hatta, mesyuarat dan urusan harian kerajaan – termasuk sesetengah surat rasmi – semakin kerap menggunakan bahasa Inggeris. Malah ada negeri yang terang-terang mengiktiraf Inggeris sebagai bahasa utama.

Sedih, 60 tahun setelah bebas daripada penjajah, bahasa Inggeris semakin diutamakan, sedangkan bahasa Melayu yang difasalkan dalam perlembagaan, semakin terpinggir. Macam tidak ada siapa yang kisah.

Pada hemat saya satu-satunya bidang yang masih berurusan menggunakan bahasa Melayu seratus peratus ialah profesion perbomohan.

Jelas terbukti dalam amalan harian, dukun dan bomoh bercakap Melayu ketika berkomunikasi dengan hantu, jembalang laut, iblis, jin tanah, penunggu sungai, penjaga gunung, dan lain-lain makhluk halus.

Setakat ini makhluk halus seluruh Nusantara masih faham, menerima dan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai perantaraan.

Saya bimbang satu hari nanti apabila makhluk-makhluk halus itu go global dan mula bercakap orang putih, mereka tidak akan tunduk kepada arahan bomoh.

Bayangkan jin tanah yang merasuk dalam tubuh manusia buat ‘dhek’ apabila diminta keluar, sambil berkata: “Sorry Tok Moh, I can’t understand you. Will you speak in English, please...”

Pada ketika itu pengamal-pengamal perubatan dan rawatan tradisional kita tidak ada pilihan, terpaksa belajar dan bercakap bahasa Inggeris. Maka tiada lagi orang sudi bercakap Melayu!

Maaf cakap, siapa sahaja yang mendakwa sebagai pejuang bahasa, mesti setiap masa peka dan bertindak tegas setiap kali melihat di depan mata, atau mendengar di media elektronik, bahasa kita telah dirojakkan.

Kita jangan hanya bersemangat dan beremosi dalam isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu SPM bagi Pegawai Perubatan Gred UD41.

Terimalah hakikat bahawa bahasa kita telah dipijak dan dicampakkan ke dalam longkang. Maka kita semua, khasnya yang mendakwa pembela bahasa, mesti terus berjuang dan bertindak tegas.

Perjuangan memartabatkan bahasa jangan dilakukan mengikut musim, sebab bahasa Melayu bukan seperti ‘musang king’ atau mangga harumanis.