WALAUPUN sudah empat dekad berpindah, bertukar kad pengenalan dan menjadi warga KL, hari ini saya hendak mengaku bahawa saya ‘orang Muo’.

Memang, alamat dalam KP telah bertukar Wilayah Persekutuan KL, tetapi sijil beranak saya masih mengekalkan Muar sebagai tempat kelahiran.

Sebenarnya saya bangga sebab bandar kelahiran saya baru-baru ini telah menerima anugerah Asean Clean Tourist City Standard Award 2017.

Ertinya, bandar ketiga di negeri paling selatan itu, kini tersenarai antara bandar terbersih di Asean. Itu yang membuat saya bangga jadi orang Muo!

Tahniah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaludin A Hamid, juga kepada semua warga bandar tepi sungai itu yang telah membuktikan kita cintakan kebersihan.

Tentu sekali saya megah sebab bandar tepi sungai itu diisytiharkan sebagai badar terbersih. Bandar-bandar besar lain termasuk Subang Jaya, tempat saya tinggal dan Shah Alam, tempat kerja, belum menerima anugerah tersebut.

Sekali lagi, syabas orang Muo!

Sebenarnya, sama ada menerima anugerah atau tidak, Muar atau sesetengah orang menyebutnya ‘bandar Maharani’, sentiasa melekat di hati saya.

Menoleh ke belakang dan menelusuri lorong kenangan, saya teringat zaman kanak-kanak yang penuh keindahan. Ketika itu apabila sesekali diajak ke bandar ini, hati gembira tidak keruan.

Almaklumlah kehidupan orang kampung saya amat sederhana. Kampung Sungai Ekor – kira-kira 15 km dari bandar - amat solok ketika itu. Tiada air paip, tiada elektrik, jauh sekali telefon.

Bukit Gambir, kira-kira 1 km dari kampung saya, adalah pekan koboi dengan dua deret kedai papan, tidak ada elektrik. Lampu hanya menyala waktu malam, menggunakan jentera.

Sesuatu yang sentiasa melekat di hati mengenai pekan koboi ini ialah sebuah gerai tepi longkang yang menjual rojak petis dan tempe goreng cicah sambal kicap.

Maka sesekali mengikut abah ke bandar untuk membayar cukai tanah, adalah sesuatu yang amat menyeronokkan. Naik bas dari kampung, tambangnya 20 sen, saya minta duduk di tepi tingkap. Bukan main suka apabila rambut dan muka ditiup angin.

Ketika itu belum ada jambatan di Sungai Muar. Untuk sampai ke bandar kena naik bot di Penambang Tanjung Agas. Baru darjah satu, saya seronok betul dapat naik ‘kapal’ sambil melihat ‘laut’ Muo.

Kagum lagi bila turun dari ‘kapal’, dan melihat kehebatan ‘bandor’ dengan sana-sini bangunan batu dua tingkat, banyak kereta, lori, bas, ada kereta tolak menjual cendol dan ais kepal.

Malah, ada lampu trafik dengan warna hijau, kuning dan merah. Melihat semua kenderaan berhenti ketika lampu merah, itu pun satu keseronokan, boleh melalaikan!

Ada beca roda tiga yang ketika itu orang kampung saya sebut ‘teksi’. Dapat naik ‘teksi’ dari penambang ke pejabat tanah, boleh menjadi bahan cerita dengan kawan-kawan sekolah.

Setelah urusan di pejabat tanah, abah akan membawa saya ke restoran, untuk makan mi bandung dan sate. Sate hanya 5 sen secucuk, makan dua cocok sudah kenyang. Abah suka mi bandung dan kopi-O dalam cawan tebal.

Sampai sekarang mi bandung dan sate menjadi ‘trade mark’ bandar diraja ini. Mi bandung dan sate dijual sejak pagi lagi. Ada banyak restoran menawarkan makanan kegemaran ramai ini.

Salah satu restoran paling popular terletak betul-betul di hadapan stesen bas, sebelah pasar. Hingga kini setiap kali balik kampung, saya pasti singgah makan sate di sini.

Orang sentiasa penuh di sini sejak awal pagi. Kalau nasib tidak baik, belum jam 10 sate sudah habis, tinggal lidi!

Rasa sate ori macam zaman kanak-kanak dulu. Cuma harganya berbeza, agaknya sebab GST. Dulu 5 sen secucuk, kini secucuk antara RM1.20 - RM1.50. Harga jauh lebih mahal, ukuran jauh lebih kecil. Apa boleh buat!

Satu lagi yang tidak akan saya lepaskan setiap kali ke bandar ini ialah medan selera Tanjung Mas yang sinonim dengan masak asam pedas. Ikan sembilang, pari, jenahak, merah dan teristimewa telur ikan. Saya rekomen gerai No 8 dan No10.

Selain asam pedas, tepat makan di sini juga menawarkan beraneka makanan kegemaran ramai – mi bandung, mi rebus, rojak petis dan lain-lain. Mesti cuba ABC berais krim, hmmm.

Sejak dulu bandar tepi sungai ini dikenali dengan banyak nama. Kalau tengok Wikipedia, antara nama asal bandar ini ialah Teluk Dalam, Bandar Maharani, Munar, Mun-Aru.

Orang Cina tempat saya menyebut bandar ini sebagai ‘Moapo’. Tetapi kawan-kawan Cina saya di KL, menyebutnya ‘Muat’: “Latuk, lu selalu ada balik Muat ka?”

Orang Johor sampai sekarang sebut ‘Muo’. Paling saya tidak suka ialah apabila belajar di USM, orang utara menyebut bandar kebanggaan saya itu sebagai ‘Muak’.

Ada ketikanya saya sensitif dan sakit hati apabila seorang  teman sekuliah dari Teluk Bahang memanggil saya ‘budak Muak’. Saya tahu dia tidak berniat apa-apa, tetapi saya sudah muak dengan panggilan tersebut.

Tidak kira apa orang panggil, dan bagaimana orang menyebutnya, Muar tetap bandar saya!