BELUM sempat menghabiskan makanan yang dipesan, juruterbang memberitahu kita akan mendarat di Pekanbaru. Penerbangan dari KLIA2 mengambil masa hanya 45 minit.

Walaupun sepanjang tugas kewartawanan lebih 30 tahun saya telah pergi ke sebahagian besar bandar-bandar utama Indonesia, ini pertama kali saya menjejakkan kaki di bandar wilayah Riau itu.

Saya memenuhi undangan Konsul kita di sana, Hardi Hamdin, untuk bercakap kepada sekumpulan pengamal media seluruh Riau mengenai cabaran wartawan kedua negara dalam menghadapi era globalisasi.

Sebaik mendarat di Bandara Sultan Syarif Kasim sudah terasa kelainannya. Berbanding Jakarta, Bandung, Semarang, Lombok, Bali dan banyak lagi kota besar di negara Jokowi itu yang sibuk, lapangan terbang ini lebih tenang.

Sepanjang kira-kira 20 minit berkereta menuju hotel di tengah pusat bandar, semuanya terasa tenang dan nyaman, tanpa kesesakan lalu-lintas, juga tidak ada jerit-pekik orang berjualan.

Satu lagi yang membezakan bandar ini dengan kota-kota besar lain di Indonesia ialah kebersihan. Keseorangan menyelusur jalan-jalan utama, di luar acara rasmi, saya mendapati bandar dengan penduduk hampir dua juta ini memang bersih.

Sebenarnya bandar ini diisytiharkan sebagai kota terbersih di seluruh Indonesia. Saya diberitahu kerja-kerja mengutip sampah oleh pihak berkuasa dilakukan tiga atau empat kali sehari.

Warga kota pun jelas menghormati dan mengamalkan kebersihan. Sama ada toko-toko besar, pusat-pusat beli-belah moden, restoran, hatta penjaga kecil menjual bakso di tepi jalan, semua bersih.

Kebersihan hanyalah antara ciri Islam yang ditonjolkan di sini. Nilai-nilai murni Islam lain juga jelas kelihatan. Sepanjang tiga hari di sini saya melihat hampir 90 peratus wanita – termasuk gadis-gadis jelita! – menutup aurat. Jarang sekali ditemui wanita berskirt atau berkain belah.

Bandar ini banyak masjid. Berhampiran hotel kami ada masjid besar. Setiap kali masuk waktu solat, azan kedengaran bersahut-sahutan, bukan sahaja dari corong masjid di hadapan bilik, tetapi dari sekian banyak masjid dan surau-surau lain yang berhampiran.

Secara peribadi, saya seperti berada di tempat sendiri sepanjang di Pekanbaru. Pertama, percakapan mereka lebih mirip Malaysia berbanding Indonesia. Sebutan perkataan Melayu sebiji macam KL, tidak seperti di Bandung atau Jakarta.

Kedua, makanan kegemaran di Malaysia dijual di sini. Baik di hotel atau di restoran, kuih-muih sama macam di Shah Alam atau di Muar. Ada lopes, tepung pelita, bingka @ bengkang. Banyak hidangan masakan Padang, tetapi di mana-mana ada juga nasi lemak, ikan patin masak asam pedas. Malah, ada roti canai!

Penduduk di sini mengaku mereka lebih dekat dan serasi dengan Malaysia, sebab lebih terbiasa dengan rangkaian radio dan TV Malaysia, berbanding stesen-stesen Indonesia.

Dalam forum kami diberitahu penduduk bandar ini boleh dengan mudah mendapat lebih 10 rangkaian TV Malaysia. Jadi mereka kenal Siti Nurhaliza, Neelofa, Aaron Aziz, Dr Vida Q-Putih, dan lain-lain.

Kepada kaki golf, Pekanbaru menawarkan prasarana dan kemudahan sukan tersebut. Kota ini tenang dan santai. Terbang 45 minit dari KL, main golf, tidur semalam di hotel, makan nasi Padang atau asam pedas patin, esok pagi boleh masuk semula pejabat di KL.

Satu lagi, untuk yang gian membeli-belah, bandar ini menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding Bandung atau Jakarta. Maka, suami ber-‘golof’, isteri boleh ‘nyoping’. Tetapi saya difahamkan ada juga suami yang tidak suka membawa isteri ke sini...

Oleh sebab harga lebih murah kawan-kawan saya yang turut serta dalam kunjungan ini membeli beberapa pakaian, kasut, tali pinggang, beg sandang dan lain-lain item untuk oleh-oleh.

Almaklumlah, namanya pun Pekanbaru, serba-serbi boleh tukar baharu. Gigi baharu pun boleh buat di sini. Sepatah kata pemandu pelancong yang sentiasa mengiringi kami: “Tidak sahaja baju baharu, Pak, yang lain-lain juga boleh dicarikan yang baharu, termasuk yang di KL itu...”

Dia memberitahu ramai suami dari KL turun sebulan sekali ke bandar ini kerana ketagih golf, lama-lama membeli rumah baharu. Sudah ada rumah baharu, kemudian cari pula suri rumah baharu. Maka banyaklah cawangan baharu dibuka di sini.

Tambah pemandu pelancong itu: “Kalau bapak mahu, bilang saja sama saya, bisa diuruskan. Pokoknya cara halal, Pak!”

Kata-katanya memang memberangsangkan, dan boleh menaikkan semangat. Tetapi, fikir punya fikir, cawangan baharu di Pekanbaru, mungkin juga akan menambahkan masalah baru. Jangan buat fasal!