INI hukum kehidupan sekarang, lebih-lebih lagi di KL. Kalau hendak harga lama, saiznya akan berubah. Kalau hendak saiz lama, harganya akan berubah. Saya bercakap mengenai roti canai.

Di gerai bawah pokok ketapang berhampiran pasar Kampung Medan, Jalan Klang Lama, KL, roti canai semakin kecil saiznya. Kalau ikut nafsu – dan semangat lapar – dua kali ‘ngap’ sudah habis.

Sudahlah saiznya semakin kecil, tipis pula hingga lut sinar @ transparent. Tidak layak lagi disebut ‘sekeping’, lebih sesuai ‘sehelai’ roti canai. Semakin kecil, semakin tipis, tetapi harganya tetap sama, RM1.

Di sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman roti canai, makanan kegemaran ramai itu saiznya masih sama. Kepadatan, kegebuan dan ketebalan pun tidak berubah. Tetapi, harganya berubah; dulu RM1.10, sekarang RM1.30.

Tentu sekali bukan roti canai sahaja, banyak lagi makanan kesukaan ramai sama ada berubah saiz, atau berubah harga, atau berubah keduanya. Banyak yang dahulu ‘sekeping’ kini bertukar ‘sehelai’. Apam balik yang selalunya gebu, kini tidak lagi memberahikan.

Sesetengah benda tidak boleh diubah saiz, maka harganya yang terpaksa diubah. Contoh, kelapa tidak boleh diubah saiz, maka harganya diubah. Dulu sebiji RM1.50, kini RM2. Nanas, cempedak, durian, pisang tanduk tidak boleh diubah saiz, maka harganya semua telah berubah.

Peminat nasi kandar pun terkesan dengan perubahan harga. Dulu-dulu sepinggan nasi putih dengan seketul kari ikan bawal berserta bendi harganya paling tinggi RM5. Sekarang hidangan serupa harganya RM6.50; bendi kira lain harga. Nasi tambah dulu 50 sen, kini RM1.

Ada baiknya RM semakin menguncup dan kehidupan semakin sempit. Ramai yang mula prihatin dengan kenaikan harga, dan tidak lagi makan di gerai atau restoran. Sudah ramai yang ke tempat kerja membawa bekal dari rumah. Kata mereka, masak sendiri, bawa sendiri, jimat belanja.

Tetapi ramai juga tidak tahu masak, atau malas masak, dan tidak mampu lagi makan di luar, maka terpaksa menahan lapar. Kalau biasa makan tiga kali sehari, kini kurangkan menjadi hanya dua kali sehari. Kata mereka, ada baiknya berdiet untuk kesihatan!

Pada ketika RM mengecut dan ramai mula mengikat perut, masih ada insan prihatin, menawarkan hidangan lazat – lagi mengenyangkan! – pada harga yang termampu oleh kebanyakan orang.

RM6 masih dikira murah untuk set makan tengah hari dengan lauk bukan seekor, tetapi dua ekor ikan keli goreng garing masih panas, dilengkapi sambal dan ulam.

Lebih murah lagi apabila nasi tambah diberi percuma, boleh ambil sehingga kenyang. Juga percuma ialah kuah sup, dan kaki ayam goreng tumis untuk melengkapi selera.

Itu ditawarkan di Restoran Pecel Lele di Padang Jawa, Shah Alam. Saya ke sana dua hari lalu. Waktu makan tengah hari, pelanggan penuh sesak, dan berbaris di kaunter membuat pesanan.

Ada set ayam penyet, daging penyet, nasi goreng. Ada juga gulai nangka. Tetapi paling mendapat sambutan ialah set pecel lele (ikan keli) yang rangup dengan sambal istimewa dan ulam segar itu.

Menurut Heiri, pemilik restoran, bermula dengan hanya menyewa satu pintu, hidangan ikan lele mendapat sambutan luar biasa, dan kini dia beroperasi tiga pintu, bermula 9 pagi hingga 5 subuh, setiap hari termasuk hujung minggu. Banyak ruang meletak kereta, tempat makan yang sesuai untuk seisi keluarga.

Untuk memenuhi permintaan pelanggan dia kini memerlukan 100 kg ikan keli setiap hari. Ikan segar dibekalkan terus dari kolam-kolam ternakan, dan diproses bersih dan teliti sebelum digoreng. Kebersihan memproses adalah punca keenakan ikan lele. Mereka yang tidak suka ikan keli pun boleh terbuka selera.

Walaupun kos meningkat dia tidak berhajat menaikkan harga, memandangkan sebahagian pelanggan tetapnya adalah pelajar universiti berhampiran yang mengunjungi restoran hingga larut malam.

“Saya berniaga sambil berbuat sedikit amal kepada pelanggan, khasnya pelajar-pelajar yang memerlukan cukup makanan berzat agar dapat belajar dengan baik,” katanya.

Dalam zaman serba-serbi mahal, diharapkan ramai lagi pengusaha restoran yang mesra pengguna, menghidangkan makanan lazat pada harga yang termampu oleh kebanyakan orang. Biar untung sedikit, tetapi berkat.