PERMAINAN itu namanya All Out. Jika diterjemahkan bulat-bulat dalam bahasa Melayu ertinya ‘semua keluar’. Pendek kata tiada satu pun yang perlu ditutup atau dikurung.

Sebenarnya kalau ikut adat dan kesopanan orang kita, bukan semua boleh dikeluarkan. Ada benda yang perlu disimpan, tidak sewenang-wenang didedahkan.

Tetapi pada sesi motivasi petang itu All Out betul-betul bermakna semua mesti dikeluarkan, termasuk senjata sulit @ alat kelamin @ kemaluan.

Alkisah 23 orang yang menyertai sesi itu pun diminta menanggalkan pakaian, termasuk seluar dalam dan berbogel sakan tanpa seurat benang pun di tubuh.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dikehendaki membuat garisan panjang dengan menggunakan alatan yang ada pada mereka, menyebabkan peserta menanggalkan pakaian masing-masing.

Maka burung-burung pun terkeluar bebas dan terkoteng-koteng seperti hendak terbang. Nasib baik semuanya lelaki, kalau ada perempuan pasti burung yang terlepas dari sangkar masuk pula ke sangkar lain!

Memang kedengaran lucah, lagi lucu, tetapi itulah yang terjadi pada satu program motivasi yang diadakan di sebuah resort di Bentong, Pahang, Sabtu lalu. Seperti yang didedahkan media, 23 peserta itu terdiri daripada pelajar berusia antara 19 hingga 23 tahun.

Adegan melampau dan memalukan itu telah divideokan dan menular di laman sosial. Polis menahan dan menyoal siasat 39 orang termasuk 23 pelajar yang terlibat dalam program tersebut.

Seperti yang dilaporkan Bernama, hasil soal siasat mendapati pelajar berkenaan hanya mengikut arahan yang diberikan kepada mereka oleh pengendali motivasi berkenaan.

Tentu sekali pemilik burung tidak boleh disalahkan. Tetapi pengendali program mesti dipertanggungjawabkan atas insiden yang amat memalukan itu. Ini bukan motivasi; ini kes buli.

Pemilik resort pun perlu bertanggungjawab kerana membenarkan aksi lucah berjalan di situ. Jangan diulang insiden mengaibkan ini. Bagaimana program seperti ini boleh dibenarkan di tempat terbuka kepada orang ramai.

Memang mana-mana resort boleh menjadikan unggas dan burung sebagai tarikan pengunjung. Tetapi bukan burung yang satu ini. Bagaimana orang yang waras boleh membenarkan pameran burung seperti ini!

Ketika disoal siasat pengendali kem motivasi berkenaan mengakui mereka keterlaluan dalam menjalankan program tersebut. Mereka sedar itu melampau, tetapi mengapa tergamak membogelkan peserta?

Lagi pun apa kena-mengena aksi berbogel dengan motivasi? Modul motivasi dari planet mana yang digunakan dalam program ini? Apakah pengendali program sudah sewel hingga menjadikan bogel sebagai satu aktiviti?

Semua orang yang waras tahu berbogel dan memperagakan kemaluan hanyalah untuk menikmati seks, itu pun dilakukan secara tertutup. Kemaluan bukan untuk dipamerkan di tempat terbuka. Atas alasan apa pun kegilaan seperti ini perlu dihentikan segera.

Sekiranya fasilitator memang gian dan minat berbogel dan menganggap itu sebagai hak asasi peribadi, dia boleh berbogel seorang diri sama ada di dalam gelap atau di Dataran Merdeka. Tetapi jangan paksa orang lain berbogel atas alasan motivasi.

Belum lama dulu sudah ada aksi bogel seperti ini, cuma bukan di tempat terbuka. Tentu masih ingat perihal 15 orang, termasuk dua wanita, bertelanjang bulat di pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang dalam apa yang dipanggil Penang Nude Sports Games 2014.

Tanpa seurat benang di tubuh, mereka bersantai dan bergembira melakukan berbagai-bagai kegiatan pantai. Beruk dan monyet – juga haiwan lain – pasti bergembira sebab mendapat rakan baharu menyertai kumpulan mereka.

Polis telah menyoal siasat penganjur dan beberapa orang yang terlibat dalam sukan bogel pertama negara itu. Seperti yang sedia maklum sebahagian daripada insan sewel di Teluk Bahang itu telah dibawa ke muka pengadilan dan didenda.

Kita juga tentu masih ingat beberapa pelancong dari luar negara berbogel di puncak Kinabalu. Kita mengutuk mereka habis-habisan atas alasan kelakuan itu tidak sesuai dan mencemar budaya kita.

Kita marah pelancong asing berbogel di tempat kita, tetapi sekarang orang kita sendiri disuruh telanjang bulat konon atas alasan motivasi. Ini motivasi gila, ciptaan fasilitator tidak siuman.

Ada ketikanya fasilitator dan pengendali program motivasi memang keterlaluan. Masih ingatkah kes ular hidup yang digunakan untuk latihan bina semangat tidak berapa lama dulu?

Sekumpulan murid perempuan sekolah rendah diminta meredah kolam pada satu sesi bina semangat kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Dalam kolam itu dilepaskan ular hidup, menyebabkan peserta ketakutan dan menjerit tidak keruan.

Pihak penganjur program tersebut mengakui apa yang dilakukan itu tidak mengikut SOP, tetapi dibuat atas kehendak fasilitator yang keterlaluan. Rupanya ada ramai fasilitator gila di luar sana. Sebab itu agaknya masyarakat kita menjadi semakin gila!