HANYA menunggu hari! Segalanya sudah tidak dapat  dielakkan lagi. Bagaikan sudah hilang semua upaya untuk menyelamatkannya.

Lampu hijau telah diberi, kelulusan pihak berkuasa pun telah diperoleh dan restoran A&W di Jalan Selangor itu akan dimusnahkan tidak lama lagi.

Maka akan lenyaplah salah satu ikon @ mercu tanda di Petaling Jaya yang secara peribadi amat nostalgik kepada saya.

Saya mula mengenali lokasi istimewa ini ketika mula berkelana di KL awal 70-an sebaik menamatkan SPM yang keputusannya tidak membenarkan saya untuk menyambung ke tingkatan enam sekolah kerajaan.

Sebagai anak kampung totok yang hanya biasa dengan gerai makan di desa terpencil saya terpegun sakan bila satu malam minggu pertama kali diajak seorang rakan wartawan ke restoran ini.

Kerusi cantik tersusun rapi, neon mengerdip tidak berhenti, ada aircon lagi. Dan, gadis-gadis manis yang peramah  lagi mesra lidah dan bibir itu. Fullamak.

Mana goreng pisang? Mana nasi lemak? Mana tempe goreng cicah sambal kicap? Tentu sekali makanan kampung lagi Jawa yang menjadi kesukaan itu tidak terdapat dalam menu di restoran mat salih ini.

Gambar pelbagai hidangan dalam menu itu semuanya amat asing bagi rusa yang baru masuk kampung. Terus terang hendak menyebutnya pun tidak boleh, berpintal lidah - burger, french fries, wafle...

Untuk kunjungan pertama itu - atas pujukan pelayan manis - saya makan hotdog dan segelas besar root beer.

Sudahlah makan anjing panas minum pula bir. Kalau opah dan toki di kampung dengar pasti mereka menangis dan menjerit: “Cucu aku mentekedarah benda haram!”

Restoran di Jalan Selangor itu dari semasa ke semasa menjadi tempat lepak saya dan kawan-kawan, juga sesekali menjadi lokasi persembunyian saya dan makwe.

Biasanya ‘dating’ dengan buah hati pada hujung minggu akan bermula di Pawagam State - sekarang masih ada - kemudian menjamu selera di restoran ini, dan berakhir di Tasik Taman Jaya, hanya sepelaung dari restoran.

Pendek kata selama lebih empat dekad restoran di tepi tasik ini telah melakarkan seribu kenangan - manis, pahit juga masam-masam manis - sepanjang zaman remaja, era berumah tangga, hatta masa kini.

Restoran ini sesekali menukar selera saya dari tekak bertempe-tempe kepada selera ala-ala mat salih. Sampai saat ini saya pasti memesan coney dog setiap kali singgah di Taman Jaya.

Adusss, tidak lama lagi, mungkin esok atau lusa atau bulan depan, restoran mercu tanda lagi mercu kenangan itu akan dirobohkan, tanpa belas ihsan.

Betapa pun indahnya ber-hotdog dan beraiskrim juga ber-love-love dalam hawa dingin di sini, restoran ikonik ini pasti akan diratakan tanpa mengambil kira sebarang sentimental.

Almaklumlah, bagi sesetengah pihak apa sangatlah sebuah nostalgia dan secebis sentimental. Sedangkan RM juta-juta-juta pasti lebih bernilai dari sebuah kenangan.

Hakikatnya ialah tanah tapak restoran itu adalah milik sah syarikat KUB Bhd. Tapak itu kini menjadi hartanah yang amat berharga di tengah-tengah kawasan emas Petaling Jaya.

Setelah berbalas pantun dan berding-dong-ding-dong sejak 2014, akhirnya kemenangan dan kekuatan tetap di pihak pemilik tanah yang sah.

Seperti yang dilaporkan media, kediaman ‘anjing panas’ itu akan dilenyapkan, dan di tapak itu akan dibangunkan kompleks komersial 20 tingkat.

Restoran makanan segera berhampiran Tasik Taman Jaya itu akan lenyap. Namun bagi saya - mungkin juga bagi ramai lagi - kenangan silam di restoran A&W itu tidak dapat dilenyapkan, sampai bila-bila.

Walaupun restoran itu telah tiada, secara peribadi saya akan berkunjung di sekitar lokasi tersebut, paling tidak pun sekali sebulan. Bukan untuk melihat tapak ‘anjing panas’ tetapi untuk satu lagi ikon peribadi.

Sebenarnya tidak jauh dari tapak restoran popular ada satu lagi tempat yang menjadi kunjungan tetap saya, iaitu Zainul Nasi Kandar. Selalu saya berjumpa Kak Nab di situ.

Setiap kali saya singgah Kak Nab sudah tahu, dan akan menghidangkan kegemaran saya: nasi putih, kari kepala ikan bawal kuah campur bendi lebih, papadum, dan teh tarik kurang manis.

Ikhlas cakap, kari kepala ikan bawal Zainul setanding dengan coney dog di restoran segera. Jom pekena!