GARA-GARA menampar seorang wanita di sebuah perhentian bas, seorang lelaki ditahan polis untuk siasatan. Insiden yang tular itu pun segera menjadi berita dunia, apabila dimuat naik dan disebarkan menerusi portal berita Daily Mail, London.

Nama Malaysia sekali lagi menjadi sebutan – dan ingatan – global, untuk perkara yang tidak berapa sedap.

Seperti yang dilaporkan media, dalam insiden di Pulau Pinang, lelaki berusia 30-an itu bertindak kasar, menjerit dan menengking, setelah melihat wanita berkenaan tidak memakai tudung.

Ditampar kerana mendedahkan rambut? Semua orang menganggap itu ekstrem. Exco agama negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata lelaki tersebut mungkin kurang siuman.

Katanya, seperti yang dipetik media: “Jangan dilayan lelaki seperti itu, dia telah memberi gambaran tidak baik kepada agama kita.”

Saya harap lelaki berkenaan benar-benar tidak siuman, sewel, meroyan. Tetapi sekiranya dia siuman pun bukanlah sesuatu yang mengejutkan dia bertindak demikian.

Sesetengah orang mungkin menganggap tukang tampar itu sebagai ekstrem. Tetapi dia sendiri mungkin menganggap tindakannya itu adalah sesuatu yang baik, untuk berdakwah.

Di tempat kita dakwah secara berkasar bukan sesuatu yang luar biasa, malah sudah menjadi semacam trend terkini. Macam tidak sah berceramah agama sekiranya tanpa tengking dan marah-marah.

Malah, sesetengah – ulang sekali lagi: sesetengah – penceramah, ustaz, ulama @ yang mendakwa ulama, menjadikan marah-marah dan maki-hamun sebagai ‘branding’ kuliah mereka.

Contoh, dalam YouTube, seorang ustaz sedang berceramah di hadapan para jemaah di sebuah surau. Sebahagian besar yang hadir adalah orang tua, boleh jadi pesara.

Penceramah bukan sahaja menjerit dan menengking, seba-liknya mencerca hadirin. Dia bersemangat, bercakap sesedap lidah, pada hal di hadapannya orang berusia, bukan budak tadika.

Kalau berkesempatan, sila cari dalam YouTube, dengar dan lihat sendiri, betapa sesetengah ustaz kita, menganggap dialah paling hebat, paling suci. Lebih kurang ini antara kata-kata tidak sopan yang diceramahkan:

“Pakcik-pakcik tua bangka ini, waktu bertugas dulu baham rasuah, mentekedarah benda-benda haram, sekarang dah pencen... mati esok semua masuk neraka, jangan harap masuk syurga!”

Dia memberi kuliah agama di hadapan orang-orang tua, sepatutnya menggunakan bahasa lemah-lembut, bukan menengking atau memaki-hamun. Betapa marah pun, sebagai seorang ustaz pasti ada ayat dan kata-kata yang lebih beradab.

Nilai murni apa yang hendak diterapkan dengan kata-kata kesat itu? Lagi pun siapa dia yang begitu angkuh dan dengan mudah boleh menentukan orang itu masuk neraka atau masuk syurga?

Ada juga sesetengah penceramah bebas yang diingati bukan sangat kerana ajaran atau ilmu agamanya, tetapi lebih kerana kata-kata dan maki-hamun membodohkan orang.

Bodoh macam lembu, bangang, otak letak di lutut... ini adalah antara kata-kata yang menjadi kemestian dalam setiap ceramah. Dakwah jenis apa yang hendak mereka kongsikan?

Apabila ustaz dan ulama sendiri suka berkasar, bengkeng, mengherdik, mencerca, maka tidak menghairankan para pendengar @ pengikutnya lebih cenderung untuk ‘berdakwah’ tidak mengikut nilai-nilai murni Islam. Ekstrem.

Lebih menyedihkan lagi apabila dalam kalangan ulama sendiri sering bertelagah. Ada isu-isu yang menimbulkan perselisihan pandangan, tidak dibincangkan secara ilmiah sesama mereka, sebaliknya masing-masing mendebatkan secara terbuka dalam kuliah atau ceramah mereka.

Masing-masing akan menuduh dan menyerang sesama sendiri. Mereka menjadikan kuliah dan ceramah sebagai medium untuk mencerca dan mengaibkan antara satu dengan lain.

Malah menjadi kecenderungan juga pertelagahan ilmu mereka diluahkan secara terbuka – lagi penuh keegoan dan emosi – menerusi media sosial. Ada kalanya hingga ke peringkat saling menuduh masuk neraka.

Apabila sesama ulama pun tidak menunjukkan kesefahaman, akan ada dua kesan. Pertama, penganut agama lain mudah memperlekehkan kita. Kedua, umat Islam menjadi keliru, dan hilang hala tuju.

Memang, ulama jenis ini bilangannya tidak banyak. Tetapi mereka telah mewujudkan keta-asuban melampau sehingga memecahbelahkan masyarakat. Kecenderungan ini mesti dihen-tikan.

Saya selalu percaya golongan agamawan – dari ulama besar hingga ustaz di peringkat kampung – memainkan peranan amat penting dalam membimbing dan membentuk ummah.

Mereka patut memikirkan dan mencari jalan bagaimana hendak membetulkan sebilangan kecil ulama yang dianggap ekstrem ini.

Umat Islam tidak sepatutnya dikucar-kacirkan oleh sekumpulan kecil ulama jenis ini. Berdakwah mesti berhemah, bukan dengan menengking dan membodohkan orang.