NAMPAKNYA kita hendak memerangi rasuah habis-habisan, syabas! Kalau melihat reaksi dan gelagat sehari dua ini, macam tidak ada siapa akan terlepas sekiranya terlibat dengan amalan busuk itu.

Daripada pemimpin tertinggi hingga macai-macai bawahan semua bercakap berkobar-kobar, berapi-api, dengan nada sama: Elakkan dan jauhkan diri dari rasuah.

Mula-mula yang bersemangat ialah Datuk Seri Najib Razak sendiri. Katanya, seperti yang dilaporkan semua media: “Jangan ambil hak rakyat. Ia milik mereka.”

Bercakap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pemimpin No 1 itu menegaskan: “Mengambil hak rakyat adalah satu pembaziran. Jadi apabila ada pembaziran, orang ramai akan kecewa dan hilang keyakinan.”

Sehari selepas kenyataan Perdana Menteri, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan bahawa usaha melawan rasuah tidak hanya melibatkan ikan bilis, dan “kita akan terus menangkap jerung!”

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pun tumpang sekaki membuat kenyataan, dengan menyamakan pengamal rasuah seperti anai-anai  yang “akan memamah rakus keutuhan negara sedikit demi sedikit tanpa disedari.”

Ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai Undang-Undang Jabatan Peguam Negara 2017 di Melaka beliau menegaskan, gejala rasuah di negara ini lebih dahsyat kesannya daripada mana-mana wabak yang wujud di dunia.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa juga mengingatkan penjawat awam, terutama di peringkat tinggi, supaya mengelakkan rasuah. Beliau menyindir: “Main golf sebagai hobi tidak mengapa, asal jangan bergolf di luar negara bersama kontraktor...”

Dan banyak lagi macai-macai serta juak-juak menyatakan sokongan terhadap kenyataan-kenyataan dan hubaya-hubaya daripada tekong dan para pemimpin tertinggi.

Sama ada yang bercakap atau yang terus sepi, satu hal yang patut kita puji dalam hal ini ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya, Datuk Dzulkifli Ahmad dan timbalannya, Datuk Azam Baki.

Jaringan awal tahun agensi antirasuah itu berjaya menangkap jerung yang sejak bertahun lalu telah memakan banyak mangsa. Seorang ketua setiausaha sebuah kementerian dicekup dan direman atas tuduhan rasuah dan seleweng kuasa.

Kalau mengikut yang tersiar, nampak ganas dan rakus sungguh jerung yang satu ini. Hasil pemeriksaan selama 12 jam di rumahnya di Subang Jaya, SPRM merampas wang tunai lebih RM3 juta daripada akaun, mata wang asing serta jongkong emas.

Ada 150 barangan terdiri daripada tas tangan pelbagai jenama seperti Prada, Louis Vuitton dan Chanel selain jam tangan berjenama Swarovski. Ingatlah, tidak kira berapa mahal, beg-beg tangan jenama hebat itu tidak akan dibawa ke dalam kubur.

Memang tidak adil dan menyakitkan hati, pembayar cukai dan rakyat biasa merintih kesusahan hanya untuk menukar beg sekolah anak yang koyak sana-sini; ada pula orang dengan mudah kebas duit rakyat untuk membeli berpuluh-puluh beg tangan mewah yang harganya RM ratusan ribu.

Beberapa bulan sebelum kes di Subang Jaya, seekor jerung masuk dalam pukat SPRM di Negeri Bawah Bayu. Seperti yang dilaporkan, pegawai tinggi Jabatan Air Sabah menyimpan RM114.5 juta wang tunai di rumahnya. Sukar diterima akal wang sebegitu banyak boleh disimpan dalam almari. Agaknya bank pun tidak tergamak menerima duit rasuah. Memang dia jerung yang hebat.

Sebelum ini terbongkar beberapa kes berprofil tinggi dilakukan oleh pelbagai pihak pengurusan – termasuk di Bank Rakyat – melibatkan wang jutaan ringgit.

Hatta, pegawai tertinggi yang menguruskan bantuan kewangan untuk peniaga kecil Bumiputera pun sakau duit awam RM juta-juta. Peminjam hendak mendapat RM10,000 susah, tetapi ada pegawai kebas juta-juta ringgit seolah-olah agensi berkenaan tok wan dia punya. Demikianlah teruknya rasuah di tempat kita.

Sebenarnya semua orang tahu bahawa rasuah kecil-kecilan sudah sejak sekian lama berleluasa dalam jabatan dan agensi kerajaan. Ini bukan rahsia lagi. Urusan yang paling mudah pun menjadi susah kalau tidak merasuah.

Semua orang tahu, kaki rasuah @ kaki ‘ngap’ ada di mana-mana. Rasuah, tumbuk rusuk, makan suap, duit kopi, duit tomyam, pengeras atau apa sahaja istilah yang seerti dengannya sudah membudaya di tempat kita. Memang dari semasa ke semasa ada seekor dua bilis ditangkap, tetapi beribu-ribu lagi terus mengganas dan membuncit.

Semoga dengan penangkapan ikan-ikan jerung ia dapat menakutkan anak-anak bilis, juga menyedarkan jerung-jerung lain yang masih dalam persembunyian.

Syabas kepada SPRM yang berjanji akan terus memburu dan menangkap jerung. Harapan umum ialah agensi anti suap itu menangkap setiap jerung – tidak kira jerung kecil atau jerung raksasa - yang diketahui korup. Kalau tidak nanti timbul pula persepsi SPRM pilih jerung!