ADA satu produk Malaysia yang selalu menjadi sebutan - dan topik perbualan - setiap kali saya menaiki teksi di Jakarta: Upin & Ipin.

Baik pemandu teksi dari lapangan terbang atau ketika bersiar-siar di ibu kota Indonesia, apabila diberitahu saya dari KL, pasti mereka akan bercakap mengenai siri animasi popular itu.

Malah supir bajaj, sejenis pengangkutan awam termurah, pun suka menyebut watak-watak dalam siri tersebut. Sepatah kata seorang pengemudi bajaj yang melalui ‘lorong-lorong tikus’ untuk membawa saya ke sebuah warung nasi uduk di Menteng:

“Saya dan anak-anak di rumah banyak belajar mengenai Malaysia dengan menonton Upin & Ipin di TV...” Megah saya sebab ada juga yang baik orang ingat mengenai Malaysia.

Tetapi hujung minggu lalu ketika mendarat di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta, pemandu teksi yang membawa saya tidak menyebut Upin & Ipin, sebaliknya banyak bertanya mengenai Kim Jong-nam.

Nampaknya dia tahu banyak fasal pembunuhan di klia2 yang antara lain turut melibatkan seorang gadis warga Indonesia. “Tak mungkin Siti terlibat,” katanya.

Sebulan dua ini saya kerap ke Jakarta, mengunjungi anak gadis bongsu yang menjalani internship - istilah Indonesia ‘magang’ - di akhbar harian The Jakarta Post. Banyak hal terkini Indonesia saya peroleh setiap kali turun ke bandar raya paling sibuk ini.

Selain pengunjung di coffee house, pemandu teksi dan penjual bakso di warung-warung tepi jalan juga banyak memberitahu tentang isu-isu menarik semasa, termasuk Ahok yang dituduh di mahkamah atas kesalahan menghina Islam.

Dari sumber-sumber tidak rasmi ini juga saya mengetahui tanggapan mereka mengenai isu-isu menarik Malaysia. Mereka rupanya banyak tahu apa yang kita di KL tidak tahu, atau buat-buat tidak tahu!

Secara peribadi kota metro dengan penduduk 30 juta ini memang banyak kenangan. Sebab itu sudah berpuluh kali ke sini - sebahagian besar kerana tugas kewartawanan - saya tidak pernah jemu.

Ada yang suka ‘nyoping’, ada syok berhibur, ada gila golf, malah khabarnya ada juga suami yang membuka ‘cawangan’ baharu di sini. Almaklumlah gadis di sini manis menawan.

Tetapi saya hanya suka satu benda: makanan Padang. Tidak sah ke kota metro ini kalau tidak singgah dan berjamu di mana-mana restoran nasi Padang. Macet macam mana pun mesti pekena juga dendeng daging dan ayam gulai.

Saya mula menikmati hidangan Padang ketika pertama kali ke Jakarta semasa menjadi wartawan pelatih kira-kira 40 tahun lalu. Saya masih ingat Rumah Makan Padang Natrabu, cabang Gambir, Jakarta Pusat.

Terkejut saya sebaik duduk, pelayan datang membawa dan meletakkan lebih 20 piring berisi beraneka lauk-pauk di atas meja. Itu pertama kali saya makan daging dendeng. Sekali makan terus jatuh cinta!

Kini empat dekad setelah cinta pertama yang mengasyikkan itu saya terus menagih makanan Padang setiap kali ke Indonesia.

Dulu-dulu saya kerap ke Natrabu atau Sari Bundo. Tetapi sekarang saya senang ke Restoran Garuda atau Restoran Sederhana yang cawangannya ada di mana-mana.

Selain daging dendeng yang menjadi menu wajib, beberapa lauk-pauk yang selalu menjadi pilihan saya ialah ayam gulai, telur itik masak lemak, tunjang (kaki lembu), otak dan gulai nangka. Teristimewa ialah pucuk ubi cecah sambal hijau, hmmm.

Di KL kisah cinta saya dengan nasi kandar juga bermula ketika berkelana sebagai kutu brahak di bandar raya. Di kampung saya suka nasi mak, bila jadi warga kota saya beralih kepada nasi mamak.

Hidup membujang dan malas memasak, boleh dikatakan saban hari saya singgah makan di Restoran Yassem atau Restoran Kudu di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Menu pilihan saya untuk nasi kandar ialah kari kepala ikan bawal bersama bendi atau ayam masak kicap. Sampai kini setelah empat dekad hidangan itu menjadi menu wajib setiap kali saya mengunjungi dua restoran tersebut.

Baik nasi kandar KL mahupun nasi Padang Jakarta, keenakannya tetap ‘ori’ seperti dulu; yang berbeza harganya. Dulu nasi kandar dengan kari kepala bawal hanya RM2.50, ais kosong percuma. Sekarang hidangan sama paling tidak RM7 belum masuk GST; ais kosong 30 sen.

Nasi Padang di Jakarta pun tidak macam dulu-dulu. Semalam saya kena 275,000 untuk makan tengah hari saya, isteri dan si bongsu. Angka itu bukan RM tetapi Rupiah. Almaklumlah di Jakarta saya jutawan!