AHLUL  nujum tidak diperlukan lagi, teka-teki sudah terjawab. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi PRU14 pada hari Rabu, 9 Mei.

Seperti biasa ada sahaja suara-suara tidak puas hati, dan memprotes. Menerusi media sosial mereka marah-marah kepada suruhanjaya bebas itu.

Mereka menghujah kenapa SPR memilih hari bekerja untuk orang ramai membuang undi? Mengapa hari memangkah tidak dibuat Sabtu atau Ahad?

Sesetengah pihak menganggap pembuangan undi pada hari bekerja sebagai usaha membunuh demokrasi.

Sebenarnya ini bukan kali pertama kita mengundi pada hari bekerja!

Malah, ada yang membuat andaian SPR sengaja memilih hari bekerja untuk menyusahkan pemilih. Pengundi yang jauh mungkin tidak dapat pulang untuk mengundi.

Mereka mencongak, Kelantan ramai pengundi tinggal jauh kerana bekerja di luar, termasuk di Singapura. Untuk pulang ke tempat mengundi kena ambil cuti dua tiga hari.

Bagi yang sudah habis cuti tahun tidak dapat mengundi. Kata mereka jika ramai tidak balik mengundi mungkin peluang untuk calon dacing menang lebih cerah, atas andaian pengundi negeri itu akan mengekalkan dominasi bulan.

Pada hal pengundi yang tinggal di luar Serambi Makkah itu pulang tidak semestinya mengundi bulan, mungkin mereka memangkah calon parti-parti lain juga.

Apa pun tidak kira di mana berada mereka yang cintakan negara, dan sayangkan demokrasi, pasti akan pulang untuk menunaikan hak, tidak kira parti mana di hati mereka.

Lagi pun selalu ada imbuhan bagi perantau yang pulang mengundi. Mereka akan disediakan pengangkutan, dan diberi wang saku. Ini sudah bukan rahsia lagi.

Ada pengangkutan, naik. Ada imbuhan, ambil. Tetapi undi tetap rahsia, pangkahlah dengan lapang dada, undilah mana calon yang anda suka!

Perangkaan SPR menunjukkan daftar pemilih Suku Keempat 2017, terdapat 14,940,624 pemilih layak mengundi pada PRU kali ini.

Bagi pemilih tegar peluang lima tahun sekali ini tidak akan dilepaskan. Rasa marah dan tidak puas hati selama ini pasti dilepaskan menerusi undian.

Jauh atau dekat, hari cuti atau hari kerja, sentiasa ada keyakinan bahawa satu undi daripada mereka boleh menentukan hala tuju negara tercinta. 9 Mei kita ramai-ramai memangkah.

Memang, penantian tarikh PRU14 telah berakhir. Tetapi debaran sebenar baru bermula bagi ‘raja segala pilihan raya’ yang menurut SPR akan memakan kos lebih RM400 juta.

Setelah diketahui hari mengundi, debaran kini tertumpu pada 28 April, hari penamaan calon.

Siapa yang bertuah dan akan dipilih parti sebagai calon bagi 222 kerusi Parlimen, dan 587 kerusi Dewan negeri?

Walaupun seperti yang dilaporkan, kebanyakan parti telah mempunyai senarai calon masing-masing, belum betul-betul diputuskan siapa bertanding di mana.

Tambahan pula senarai calon bukan seratus peratus muktamad. Hingga saat-saat akhir akan ada perubahan dibuat.

Jadi, jangan cepat-cepat membuat kenduri doa selamat untuk bertanding. Takut-takut nama ada terhakis beberapa jam sebelum penamaan calon.

Pendek kata dalam hal ini, makanan yang sudah ada di mulut pun mungkin tidak jadi ditelan, terpaksa diluahkan, dan terjadilah kempunan.

Debaran pada orang yang telah lama bergelar YB, apakah kali ini mereka akan dicalonkan lagi? Sebenarnya mereka boleh menilai diri sendiri.

Kalau diketahui sepanjang bergelar YB mereka tidak kerja kuat, atau sibuk membuncitkan kroni atau menggemukkan perut sendiri, jangan kecil hati sekiranya tidak dicalonkan.

Sekiranya selama bergelar YB pernah terlibat dalam macam-macam kerja tidak baik – rasuah, kaki peras ugut, kaki judi, kaki sakau, kaki kelab malam, dan kaki-kaki busuk lain – jangan menangis hentak-hentak kaki sekiranya diketepikan kali ini.

Hatta mereka yang telah berpenggal-penggal menjadi calon dan memegang jawatan penting, jangan merajuk sekiranya kali ini mereka dipenggal. Terimalah hakikat mereka tidak boleh menongkat dunia.

Biasa juga ada sesetengah YB yang sedar diri dan sejak awal berkata, “saya tidak mahu dicalonkan kali ini.” Tetapi, apabila dicalonkan semula, mereka tidak menolak, sebaliknya berkata:

“Saya ni bukan apa, tetapi pucuk pimpinan hendakkan saya lagi...saya kira ini pengorbanan dan tanggungjawab saya untuk parti dan negara.” Eekelah, sempoinya!

Pendek kata, yang veteran, yang setengah tua, hatta yang masih muda, semua berharap nama mereka akan tersenarai sebagai calon. Mereka inilah yang tidak lena tidur, dan kerap bercakap seorang diri sementara menunggu hari penamaan calon.