BARU lebih sikit empat tahun ketika itu, masih terlalu awal untuk saya memahami erti ‘merdeka’. Tetapi orang kampung menyebut perkataan itu pagi-petang, siang-malam.

Maka saya dan rakan-rakan sebaya – mereka pun tidak tahu ertinya – turut sama menjerit perkataan itu, berulang kali tanpa jemu-jemu.

Berseluar katuk, tanpa baju, tanpa selipar, malah ada yang berbogel bulat, kami main kejar-kejar di halaman rumah, sambil berteriak: “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

Tidak tahu makna, tetapi menyebutnya penuh semangat, melompat-lompat, hingga terlondeh seluar katok. Indah sekali zaman kanak-kanak itu. Kalaulah jarum jam boleh diputar ke belakang!

Apabila masuk sekolah rendah, cikgu menjelaskan, dan saya mula memahami erti perkataan yang dijeritkan ketika berbogel di keliling rumah.

Kemudian, dibantu oleh cakap-cakap ustaz ketika mengajar agama di surau, juga menerusi penerangan @ propaganda menerusi ‘Radio Malaya’, setiap tahun menjelang 31 Ogos, pemahaman saya mengenai kemerdekaan semakin bertambah.

Terlepas daripaada belenggu penjajah, kibaran bendera sendiri, nyahkan bendera Union Jack, hidup sendiri sebagai negara berdaulat, tiada gangguan unsur-unsur luar, ada jati diri... itu sebahagian daripada sekian banyak erti merdeka yang kita difahamkan.

Tetapi, secara peribadi – dan saya percaya semua orang setuju – erti sebenar ‘merdeka’ adalah ‘bebas’. Dan, bebas itu melangkaui sempadan negara, bukan sahaja bebas dari taklukan British.

Pendek kata bebas dalam erti yang lebih luas – bebas berfikir, bebas berbudaya, bebas bersilaturahim, bebas makan, bebas bergajet, bebas berak, bebas kencing, bebas macam-macam.

Arakian semakin luas kebebasan yang kita ketahui – dan tuntut – semakin terasa banyak pula sekatan di sana-sini, baik yang terang di hadapan mata, atau yang terpendam di minda.

Maka setiap tahun menyambut kemerdekaan pada penghujung Ogos, saya berasa semakin tidak merdeka. Apakah orang lain juga merasakan yang sama?

Semasa kecil saya bebas berkawan dengan budak-budak India, Cina, Serani. Emak cuma pesan jangan makan babi, jangan minum ‘samsu’.

Selain sekatan emak perihal babi dan samsu itu, kami bebas bermain, bertumbuk, baik semula , berkubang dalam parit, berbogel dan terjun macam Tarzan di Sungai.

Saya dan kawan-kawan boleh cakap sesuka hati, kata-mengata, ejek-mengejek, tungging punggung depan muka kawan, mengorat adik atau kakak kawan.

Tetapi sekarang hendak berkawan pun macam-macam sekatan. Jangan masuk grup pelampau agama. Silap masuk grup, kita dicap Wahabi. Silap bercampur, kita dituduh Syiah. Silap berkawan, kita dikata LGBT.

Silap cakap, kita dituduh ekstrem, rasis, perkauman. Silap buat kenyataan, kita dituduh penderhaka, pembelot bangsa, kena report polis, kena tangkap.

Silap lastik monyet, NGO akan buat report polis, menuduh kita menyekat hak monyet. Tetapi tidak ada NGO menyebelahi kita apabila monyet memusnahkan tanaman dan harta kita. Bukan tidak boleh memperjuangkan hak monyet, tetapi hak manusia pun kena diambil kira juga!

Zaman sekolah rendah dulu-dulu, kita bebas main dalam belukar, lepak dalam kolong, buat pondok dan relaks atas pokok. Emak cuma pesan, mesti balik rumah sebelum bang Maghrib. Bahaya ketika itu hanya diserang tebuan tanah, atau disengat lipan bara.

Tetapi hari ini, sebaik melangkah kaki ke luar rumah, macam-macam bahaya menanti. Ada kaki ragut, ada pemeras ugut, ada ‘pusher’, mat rempit, kaki pukau, kaki balon.

Hatta, sekiranya tidak keluar rumah dan memerap dalam bilik bermain gajet pun, kita tidak betul-betul merdeka. Silap berwasap kita boleh disaman kerana menyebar fitnah. Silap memberi data peribadi, kita mungkin terperangkap dalam macam-macam ‘scam’.

Sekarang kita bercakap tentang negara berdaulat, jati diri, berdikari, blah, blah, blah, pada hal kedaulatan makin terhakis, negara hampir tergadai, hutang lebih satu trilion. Jati diri? Tanya diri sendiri!

Pendek kata kita merdeka tetapi tidak bebas. Sentiasa ada sekatan, sebab sekatan pun adalah ciri kemerdekaan. Sekiranya kita hendak hak kita dihormati, kita juga kena menghormati hak orang lain.

Alangkah merdeka dan bebasnya zaman kanak-kanak apabila saya boleh berseluar katok atau berbogel sambil berkejar-kejar di halaman rumah. Tiada siapa kisah.

Tetapi pada usia 64 tahun, ketika menyambut kemerdekaan ke-61, tentulah tidak munasabah untuk saya berseluar katok atau berbogel, mundar-mandir di Dataran Merdeka.

* abd.jalil@karangkraf.com.my