SEMALAM saya makan tengah hari – di sebuah restoran Arab – dengan seorang sahabat lama yang kini menjadi Naib Canselor sebuah universiti.

Sambil menghirup teh sebelum hidangan utama tiba, beliau berkisah perihal kesukaran mentadbir universiti sekarang berikutan pemotongan peruntukan RM bagi IPT.

Saya pula bercakap mengenai isu yang selalu saya bangkitkan setiap kali berjumpa dengan pentadbiran dan pensyarah mana-mana menara gading: masalah kurangnya – atau tiada langsung – kemahiran berkomunikasi dalam kalangan graduan kita.

Tidak kira dari universiti mana, apa jurusan yang diambil, dan setinggi mana pencapaian akademik, kebanyakan graduan kita tidak tahu berhujah, gagal menonjolkan keilmuan. Mereka kelu, tidak tahu berbicara.

Apakah kongkongan akta menjadi penyebab graduan kita bisu dan lesu? Sahabat saya mengakui anak-anak muda lepasan universiti semakin pasif, dan tidak ada kemahiran berkomunikasi.

Beliau bersetuju kemahiran berkomunikasi amat penting untuk menonjolkan graduan dalam pasaran pekerjaan. Lagi pula telah terbukti dalam kerjaya, kelulusan akademik hanya membantu 30 peratus, selebihnya adalah keupayaan dan kepintaran berkomunikasi.

Naib Canselor itu menjelaskan: “Sebab itu sejak mengambil alih pentadbiran kira-kira dua tahun lalu, saya mewajibkan subjek komunikasi dalam setiap program di universiti saya.

“Kita hendak melahirkan graduan yang bukan sahaja menyerlah dalam bidang pengkhususan masing-masing, tetapi mesti juga ada kemahiran berkomunikasi. Tidak guna dapat CGPA 4 kalau tidak tahu bercakap...”

Pengalaman saya menemu duga sekian banyak graduan jelas membuktikan hal ini. Biasanya calon untuk jawatan wartawan disaring oleh kerani di Jabatan Sumber Manusia.

Antara kriteria penyaringan: Pertama jantina; lelaki biasanya akan diberi keutamaan. Ini bukan soal diskriminasi seks, tetapi kita sudah berlebihan kakitangan wanita.

Kedua, kelulusan akademik. Dulu-dulu keutamaan diberi kepada ijazah atau diploma di bidang kewartawanan. Sekarang tidak lagi, apa sahaja bidang boleh dipertimbangkan. Ketiga, kegiatan kokurikulum seperti penglibatan dalam sukan, persatuan, kerja amal, dan sebagainya.

Saya mempengerusikan panel penemu duga, biasanya tiga orang. Sebagai pembuka bicara calon akan diberi masa tiga hingga lima minit bagi “memperkenalkan diri dan meyakinkan kami untuk mengambil anda sebagai pekerja.”

Pada minit pertama lagi saya dapat mengesan siapa yang layak, siapa yang kantoi. Tentulah sukar hendak dipertimbangkan sekiranya dia berintro: “Hmm...Nama saya fulan bin fulan, umur 25, anak nombor dua. Suka nasi lemak...Hmm, minuman kegemaran saya ialah sirap limau...”

Selain nasi lemak dan sirap limau, dua tiga minit pertama dihabiskan dengan kata-kata dalam halkum, sukar hendak difahami, tidak jelas didengar. Banyak sangat hmm...hmm...

Ada calon yang pengenalan dirinya diurai secara terperinci bidang dipelajari sepanjang di kampus. Kalau dia belajar kejuruteraan, habis lima minit dia bercerita mengenai apa yang dipelajari.

Dia tahu semua yang dikaji selama tiga tahun. Tetapi, apabila ditanya di luar bidang tersebut, dia gubra. Jangankan hal-hal antarabangsa, hal dalam negeri pun dia kosong. Tanya GST, senyap. Tanya SPRM? Senyap. 1MDB? Geleng kepala. Tanya nama Peguam Negara pun dia tidak tahu.

Sejak sedekad lalu saya telah menemu duga lebih 500 calon, sebahagian besar adalah graduan baharu. Mereka baik – malah sesetengahnya cemerlang – dalam akademik. Tetapi tidak meyakinkan saya. Saya berkesimpulan:

Pertama, mereka tidak ada kemahiran berkomunikasi. Menghairankan setelah sekian lama belajar sejak sekolah rendah hingga ke universiti, mereka gagal menyampaikan fakta walaupun menggunakan bahasa dan ayat mudah.

Bahasa Inggeris mereka tidak boleh, gagap dan macam satu seksaan. Hatta bercakap dalam bahasa Melayu pun mereka tidak mahir, lintang-pukang, lebih teruk dari bahasa rojak atau bahasa pasar borong.

Kedua, pengetahuan am mereka kosong. Agaknya di perpustakaan kampus terlalu tertumpu pada buku-buku teks untuk bidang pengajian, jadi mereka langsung tidak membaca bahan-bahan lain. Mungkin surat khabar pun mereka tidak baca.

Ketiga, mereka tiada keyakinan diri. Nampak sangat gubra ketika berdepan penemu duga. Ini mungkin kerana mereka tidak biasa bercampur dengan masyarakat di luar kampus atau rendah diri kerana mereka kurang ilmu pengetahuan.

Hatta sesetengah mereka nampak terlalu cincai – tidak bersungguh-sungguh – ketika membuat permohonan kerja. Ada yang tidak menandatangani surat permohonan, ada tertinggal alamat.

Ada juga menyertakan gambar dalam surat permohonan. Tetapi gambar itu pun tidak meyakinkan. Ada yang lentuk kepala dan kuyu mata seperti baru bangun tidur. Ada yang wajah seperti terkejut kena cahaya kamera di studio.

Seyogia diingat, gambar pun satu bentuk komunikasi. Gambar yang baik boleh membuka mata dan perasaan.