MEMANG kedengaran pelik lagi lucu. Lari dari gelanggang tinju, Mike Tyson tiba-tiba bercakap mengenai Miss World @ ratu cantik.

Maaf, saya tidak bermaksud peninju profesional dunia yang hobinya menggigit telinga lawan, tetapi Mike Tyson Malaysia, atau nama sebenarnya Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib.

Bekas naib presiden Umno yang pernah berpaling tadah, dan baru-baru ini diraikan dalam sidang media khas PM kerana kembali semula ke pengkalan lama, memberi andaian menarik mengenai calon bagi PRU14.

Beliau menyarankan, seperti yang dilaporkan media, parti perlu meletakkan calon yang betul-betul layak sekiranya hendak menang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kriteria pemilihan calon perlulah sama seperti yang dilakukan ketika memilih ratu cantik di peringkat antarabangsa,” kata beliau sambil menegaskan:

“Orang mesti ghairah tengok calon kita. Takkan kita nak hantar yang kemetot jer rupanya. Kita kena cari the best, terbaik dari semua segi...”

Semua orang faham apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Muhammad ialah calon yang bertanding untuk Umno mesti berkebolehan dalam apa juga, atau dalam PRU yang lalu disebut winnable candidate.

Apa yang disuarakan oleh ‘peninjau’ tersebut patut sekali diambil perhatian bukan sahaja oleh BN, khasnya Umno, tetapi juga parti-parti lain.

Semua mengandaikan bahawa PRU14 – tarikhnya hanya PM yang tahu – adalah raja segala pilihan raya, paling hebat, paling hangat.

Hakikatnya ialah pemilih @ pengundi lama sudah semakin matang, semakin bijak. Pengundi baharu @ muda pula semakin peka dengan suasana persekitaran dan iklim semasa.

Dengan era siber yang serba-serbi di hujung jari, sebarang maklumat, termasuk yang paling hendak dirahsiakan pun, kini mampu diakses.

Isu-isu hangat dimainkan oleh media alternatif, sehingga media arus perdana semakin dipinggirkan. Dulu-dulu sekiranya ada berita tidak sedap disiarkan oleh media cetak, akhbar boleh digantung permit.

Tetapi sekarang tutup akhbar atau gantung permit tidak akan dapat menyekat penyebaran maklumat, sebab ada sekian banyak portal berita dan media sosial yang mampu menyebarkan informasi.

Memang, sebahagian besar yang tersebar menerusi FB, WhatsApp, Twitter dan sebagainya adalah sampah-sarap juga fakta yang telah diputarbelitkan.

Tetapi, seyogia diingat dalam bertimbun sampah-sarap itu ada juga satu dua fakta yang jelas, berwibawa, dan boleh membuka minda. Ada isu-isu yang dipaparkan dengan jelas, lengkap dengan fakta, angka, malah gambar dan imej-imej yang yang jelas lagi nyata.

Tambahan pula sesetengah isu semasa tidak perlu disebarkan menerusi jaringan media sosial, sebaliknya boleh dialami sendiri dalam kehidupan harian. Contoh: orang ramai tidak perlu melayari atau membaca tampalan di media sosial untuk mengetahui kenaikan harga barang. Mereka sendiri boleh ke pasar dan mendapati ikan kembung yang dulu hanya RM6 per kilo, kini mencecah hingga RM12, malah di sesetengah tempat RM15.

Kita tidak perlu membaca sosial media untuk mengetahui keadaan rasuah yang berleluasa, sebab saban hari media arus perdana pun menyiarkan berita-berita juga gambar mengenai pelbagai rasuah mega.

Ketika orang ramai berasa tertekan hanya untuk membeli sekilo ikan kembung atau satu tin sardin, ada kaki rasuah yang dengan mudah membaham berjuta-juta duit rakyat.

Dalam situasi bergejala negatif seperti ini, apa sahaja parti yang bertanding pada pilihan raya akan datang perlu menyediakan calon-calon yang bukan sahaja bersih, tetapi mesti dilihat bersih.

Ertinya, tidak kira parti lama mahu pun baru setahun jagung, perlu menyiapkan calon-calon terbaik. Jangan ambil calon-calon yang rakyat sudah tahu sebagai kaki putar alam, kaki songlap, kaki tibai dan kaki-kaki busuk lain.

Pilihlah Miss World yang betul-betul gebu, kulit putih melepak dan seluruh tubuh tidak ada parut walau sebesar duit sepuluh sen. Maka yang ada kayap, kudis buta, pekung hatta bisul, nyahkan daripada senarai calon.

Cari calon – tidak kira lelaki atau wanita, gadis atau teruna – yang seksi mengghairahkan. Pastikan betul-betul seksi lagi menggiurkan, yang membuat siapa juga melihat boleh meleleh air liur.

Jangan nampak sahaja seksi, tetapi bila didekati ketiak berbau hangit boleh menyesakkan nafas. Atau nampak ghairah, tetapi kentutnya seperti bom hidrogen yang boleh membunuh.

Percayalah di kotak mengundi, bau ketiak dan gema kentut boleh menyebabkan Miss World ditolak!