MALAYSIA Baharu: Di Mana Melayu? Itu tajuk Wacana Sinar dua hari lalu, dibincangkan oleh panel yang mewakili PH, Umno dan Abim.

Tidak ada kepastian di mana suku-sakat Hang Tuah itu dalam pentadbiran kerajaan baharu sekarang. Tetapi pada akhir sesi dua jam itu semua sepakat dan bersetuju bahawa “Melayu mesti berubah.”

Saya betul-betul berharap ada perubahan – dari yang paling kecil hingga yang paling besar – dalam kalangan orang kita. Saya tidak layak mengulas benda-benda besar, hanya mampu menyentuh benda kecil, mungkin remeh bagi sesetengah orang.

Jangan tuduh saya rasis kerana membuat perbandingan ini. Tetapi pada hemat saya memang ada perbezaan amat ketara antara orang Melayu dengan bukan Melayu.

Saya bercakap tentang layanan terhadap pelanggan. Tanpa sebarang prejudis, saya selalu berasa lebih selesa berurusan dengan petugas bukan Melayu, berbanding berdepan dengan bangsa saya sendiri.

Baik di pusat beli-belah, pasar raya, pasar malam, farmasi, restoran besar, restoran kecil, hatta warung kecil tepi longkang, saya dapati petugas @ pelayan bukan Melayu, terutama Cina, lebih mesra pelanggan.

Sebab itu ketika menemankan isteri membeli-belah di pasar raya saya memilih kaunter dengan petugas Cina atau India. Tidak kira berapa panjang pelanggan beratur, petugas sentiasa murah senyuman.

Ada ketikanya sambil mengimbas harga barangan, mereka sempat berbasa-basi menunjukkan kemesraan. Dan setiap kali menerima bayaran, pasti mereka mengucapkan terima kasih, senyum lagi!

Maaf cakap, di kaunter Melayu, tiada basa-basi, tiada kemesraan, lebih-lebih lagi sekiranya ramai pelanggan. Tidaklah saya mengharapkan senyuman, sebab saya menerima hakikat bahawa petugas Melayu di kaunter sudah putus urat senyum.

Tetapi janganlah pamerkan wajah muncung ikan todak ketika berdepan dengan pelanggan. Walaupun putus urat senyum, pastikan sel-sel otak masih bersambung, bertugaslah dengan baik.

Nasihat ikhlas saya kepada petugas Melayu di kaunter pembayaran: Belajarlah mengucapkan terima kasih kepada pelanggan, walaupun yang dibeli hanya sekotak ubat nyamuk!

Sama jugalah ketika ‘menyoping’ di pusat beli-belah, saya sentiasa berasa dialu-alukan ketika berurusan dengan gadis jurujual Cina.

Meski tanpa senyuman menggoda, biasanya dia bertanya dengan santun yang tinggi: “Pakcik nak cari apa, boleh saya tolong?” Walaupun tidak membeli, saya tetap dilayan dengan baik.

Berbeza dengan jurujual Melayu, hati dan mulutnya sentiasa terkunci, sehinggakan menjawab salam pun macam terpaksa. Dia tidak sedar setiap pelanggan yang datang itu mungkin membawa rezeki untuknya.

Selalu buat tidak acuh pada pelanggan. Malah, dia macam gelisah sekiranya kita lama membelek-belek pakaian yang diperagakan, macamlah saya datang hendak mencuri.

Dengan wajah ikan todak – agaknya baru bergaduh dengan pakwe, boleh jadi juga suaminya kahwin seorang lagi! – pelanggan boleh membatalkan hasrat untuk membeli.

Hujung minggu lalu saya singgah di sebuah restoran di pusat beli-belah terkenal di Shah Alam. Orang tidak ramai petang itu, tetapi saya menunggu agak lama sebelum pelayan datang.

Langsung tidak mesra pelanggan. Tidak memberi salam, tidak bertegur-sapa, jauh sekali memberi senyuman. Saya memesan mi goreng dan teh-O limau, kurang manis.

Setelah mengambil pesanan, si gadis terus pergi, tanpa sepatah kata, malah wajah terus mencuka. Saya menahan sabar. Agaknya dia baru menerima surat saman dari PTPTN. Atau boleh jadi juga perutnya sedang memulas sebab terlebih makan Musang King!

Selesai makan, saya ke kaunter. Wanita di tempat pembayaran – saya tidak pasti pekerja atau tauke – berwajah keruh, macam orang hendak bergaduh. Agaknya dia marah pada kerajaan lalu, atau sakit hati pada kerajaan baharu.

Kali ini saya hilang sabar, lebih-lebih lagi apabila dia berkata, dengan nada kurang ajar, macam menengking: “Tak ada duit kecik ker? Saya tak ada tukar tau!”

Sengaja saya meninggikan suara, untuk mengajarnya: “Itu duit paling kecil yang saya ada, dalam dompet saya semua duit seratus-seratus, seribu-seribu!”

Wanita itu memandang tajam, dan saya terus menembak: “Puan, saya makan RM7.40, betul tak ada duit RM10, sebab itu saya bayar dengan duit RM20. Saya tidak setuju cara puan bertanya, tidak sopan. Saya orang tua, jangan main tengking-tengking, hormatlah sikit...”

“Orang macam engkau tak layak kerja di tempat ini! Engkau sepatutnya kerja jaga kandang harimau di Zoo Negara!” Ada pun yang ini saya kata hanya dalam hati, tidak tergamak hendak luahkan di hadapannya.

Saya tidak kata semua Melayu tidak baik. Ada banyak yang baik di luar sana. Tetapi seorang dua ‘penjaga harimau’ ini boleh memberi imej negatif terhadap bangsa saya.

Maka yang seorang dua inilah kena berubah. Malulah sikit pada Hang Tuah!

abd.jalil@karangkraf.com.my