SELANG beberapa hari setelah Putrajaya mengakhiri cabaran 100 hari pertama kerajaan baharu Pakatan Harapan, di Perak orang Melayu diajak berkumpul ramai-ramai.

Tidak pasti berapa yang hadir pada ‘Himpunan Melayu Bangkit’ anjuran Umno Perak, di Dataran Teksi Kampung Gajah, Pasir Salak itu. Tetapi beberapa pemimpin parti meluangkan masa pada malam 1 September itu – sehari setelah sambutan Merdeka-61 – untuk memberi semangat kepada hadirin.

Antara orang kuat Umno yang kelihatan ialah Ketua Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Umno Negeri, Datuk Saarani Mohamad, Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Seperti yang ditegaskan oleh Dr Asyraf, himpunan itu merupakan isyarat kepada parti politik terutama DAP yang mempersoalkan institusi beraja dan Islam yang boleh menggugat keamanan negara.

Dalam poster awal mengenai program tersebut, telah dinyatakan beberapa perkara tidak baik yang memerlukan orang Melayu bangkit.

Antaranya: Islam semakin tergugat, institusi raja dipersoal, bahasa Melayu diperlekeh, hak orang Melayu dipertikai. Tidak ada pilihan, orang Melayu perlu bangkit.

Ucapan pemimpin yang hadir begitu bersemangat – berapi-api dan beremosi – seolah-olah kedudukan Melayu dan institusi-institusi yang disebutkan itu sudah ranap langsung.

Dan, pihak yang dipertanggungjawabkan atas keranapan tersebut ialah PH, khasnya DAP yang selama ini digambarkan sebagai dalang yang menggugat Melayu.

Hairan, PH dipersalah kononnya menyebabkan kehancuran Melayu, mengetepikan hak Melayu, meminggirkan bahasa Melayu... Padahal parti itu baru 100 hari memerintah!

Orang Melayu diminta berhimpun untuk bangkit semula mempertahankan Islam dan institusi raja, pada hal semua orang faham – dan menerima hakikat – bahawa perkara-perkara itu telah dijamin dalam perlembagaan.

Semua orang akur bahawa selagi Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda, selama itulah Islam, raja-raja, bahasa Melayu, dan hak istimewa Melayu tidak akan disanggah.

Maka tidak perlulah menyeru dan meniupkan semangat agar orang Melayu bangkit untuk mempertahankan hak dan kedaulatan. Tidak perlu menyalahkan PH yang belum setahun jagung memerintah. Sebaliknya, Umno sebagai parti terbesar dan terunggul orang Melayu, patut bertanya apa yang telah dilakukan selama memerintah lebih enam dekad?

Contoh: Kalau bahasa Melayu terpinggir, apa yang telah diperjuangkan oleh parti itu selama ini untuk mendaulatkan bahasa itu?

Sebenarnya tanpa himpunan di Pasir Salak itu pun orang Melayu telah sedar dan bangkit lebih awal – pada 9 Mei – meniupkan tsunami sehingga merubah landskap politik negara.

Orang Melayu sudah bangkit menolak Umno kerana menganggap, dan melihat dengan jelas, parti itu tidak lagi berupaya membela nasib bangsa.

Malah sudah terbukti parti yang asalnya didukung oleh para pemimpin yang benar-benar berjuang demi maruah bangsa, akhirnya diterajui oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab, menyimpang jauh daripada perjuangan asal. Korup.

Maka bukan orang Melayu, tetapi Umno sendiri yang perlu bangkit. Parti dengan keahlian lebih 3 juta orang itu patut menilai kembali diri dan berusaha untuk terus relevan.

Umno tidak ada pilihan, kecuali menjadi pembela rakyat menerusi Parlimen. Dengan 56 kerusi – satu-satunya parti dengan kerusi terbanyak – Umno boleh menjadi pembangkang yang berkesan.

Untuk membela bangsa tidak perlu menjadi kerajaan. Pembangkang yang baik dan bertanggungjawab akan membantu dan membimbing kerajaan untuk bergerak di atas landasan yang betul. PH yang hingusan dan ubun-ubun masih lembut memerlukan teguran demi teguran. Sebagai pembangkang tegurlah dengan berani dan penuh tanggungjawab.

Tetapi bukan pembangkang yang baik dan berwibawa sekiranya hanya pandai menghentam peribadi, seperti menggelar seseorang dengan perkataan-perkataan tidak sopan.

Seperti diketahui ada pemimpin-pemimpin Umno yang dulu celopar menuduh Tun Dr Mahathir sebagai nyanyuk, sewel, gila, meroyan. Malah, ada yang mengungkit negarawan itu sebagai bukan Melayu tulen, ‘Kutty’.

Pemimpin-pemimpin Umno berkenaan menganggap mereka terlalu hebat, tidak boleh digugat. Mereka angkuh, biadab, tidak hormat orang tua, bercakap ikut sedap mulut. Sedap pulut santan kelapa; sebab mulut badan binasa. Setelah diranapkan tsunami 9 Mei, seorang demi seorang pemimpin Umno yang terlepas cakap itu, datang melutut kepada Tun Mahathir.

Hatta, seorang dua yang dulu mengata ‘orang tua meroyan’, kini mereka pula yang pagi-petang, siang-malam meroyan sebab tidak dapat menerima kejatuhan Umno.

Hentikan meroyan. Memang jatuh, tetapi parti itu belum berakhir. Umno perlu bangkit semula!

* abd.jalil@karangkraf.com.my