LAMA sudah saya tidak berasa kemeriahan Aidiladha dan berkorban lembu secara kampung. Isnin lalu nostalgia zaman kanak-kanak menjelma. Bukan di tempat kelahiran saya di Muar, Johor, tetapi nun di negeri penyu.

Saya dan keluarga menyertai korban tiga ekor lembu, dan seekor lembu akikah, di sebuah kampung terpencil di Batu Rakit. Selepas beramai-ramai solat sunat Raya Haji di surau Ustaz Tarmizi, sembelihan dilakukan.

Lembu diikat kaki dan direbahkan ke tanah. Dalam gema takbir haiwan tersebut disembelih. Inilah saat penuh bermakna yang mengembalikan kenangan ketika saya masih kecil dulu.

Lebih setengah abad dulu kehidupan zaman kanak-kanak amat sederhana. Daging jarang sekali diperoleh, dan dikira makanan mewah. Setiap kali ada orang berkorban, seluruh kampung beraya sakan makan daging lembu.

Di Batu Rakit saya kagum melihat seorang pakar melapah kulit haiwan korban. Kerja melapah dilakukan begitu pantas dan sempurna sekali. Dia mengambil masa tidak sampai 20 minit melapah seekor lembu korban.

Semangat gotong-royong terserlah pada majlis pagi Aidiladha ini. Setelah dilapah, daging korban dipotong, dan dibungkus untuk diagihkan kepada siapa yang berhak. Daging akikah dan sebahagian daging korban kemudian dimasak.

Ada gulai kawah, ada sup, ada daging goreng yang semuanya dimasak ala tradisional Terengganu. Selepas solat Zuhur jamuan korban dibuka kepada seluruh penduduk kampung. Jamuan berselerak yang berlangsung hingga jam 4 petang betul-betul menjalin kemesraan, dan meriah sekali. YB Datuk Raja Kamarul Bahrin turut bersama menjamu selera.

Di sini Aidiladha ternyata lebih meriah berbanding Aidilfitri. Sana-sini orang melakukan ibadat korban. Setiap kampung orang berkongsi korban, bukan seekor malah berpuluh ekor lembu.

Bermula selepas solat Maghrib hingga tengah malam, ada pesta yang lebih meriah. Bukan pesta daging korban, tetapi pesta durian di sekitar Pasar Payang Kuala Terengganu.

Orang ramai, termasuk pelancong dari luar Terengganu, membanjiri kawasan tepi laut itu untuk menikmati raja buah. Selain durian, duku langsat, dukong dan rambutan menguasai pesta sebelah malam.

Masing-masing penjual menjerit dengan pelbagai gelagat untuk menarik pelanggan. “Bulih makang sini, bulih bawok balik, tapi dok leh bawok masuk hotel, raja buah hotel dok terima!”

Kerusi dan meja disediakan untuk pelanggan menikmati durian. Mineral water kena bayar, air basuh tangan percuma, tetapi tisu lap tangan kena bawa sendiri. Ada amaran daripada penjual: Hati-hati makan durian, jangan banyak cakap, takut tertelan biji.

Ada durian kampung, yang dikempenkan sebagai: “Deriang kampung ori, isi tipis, butir besor, kalau nak cepat kenyang, telang ngan butir-butir sekali!”

Ternyata orang lebih tertumpu pada durian dari spesies lain. Ada D12, D24. Ada 101, dan pastinya tidak ketinggalan Musang King yang dipopularkan sebagai “buoh paling ganas, buoh-buoh laing dok leh lawang!”

Macam-macam cara menarik pembeli. Seorang penjual meletakkan poster, dalam bahasa baku: ‘Hari ini Hari Jadi Tuan Kebun ke-62, Potongan Harga 50%’. Saya tidak pasti apakah poster itu masih dipasang esok, lusa dan sepanjang musim durian.

Kerana promosi hari jadi harga RM30 per kilo ditawarkan pada RM15. Di gerai yang sama ada Musang King pada harga RM40 per kilo, tetapi tidak ditawarkan potongan 50% atas alasan: “Hok ni tuang kebung laing, hari jadi dia bulang depang. Kena bayor harga penuh.”

Saya puji setiap penjual ada gimik tersendiri. Pelbagai cara melambung durian, cara memegang parang, dan cara menjerit, pelanggan jadi keliru yang mana satu paling betul, sebab semuanya kedengaran menarik. Bagi orang luar negeri penyu, sesetengah istilah mungkin tidak difahami.

Sesetengah penjual kedengaran amat pemurah, lagi peramah. Seorang pembeli bertanya: “Kenapa mahal sangat harga Musang King, kat KL pun tak mahal macam ni.” Penjual menjawab selamba: “Maaf bang, ni bukang KL, ni KT. KL guna RM, KT guna rial. Le ning RM jatuh, rial lagi tinggi...”

Seorang pembeli wanita bertanya: “RM40 sekilo mahal sangat, tak boleh kurang sikit ke harga?” Penjual menjawab: “No problem, bulih kurang harga. Kok nok RM20 pong bulih, tapi dapat setengah kilo jer.”

Ada juga pembeli tidak dapat membezakan antara Musang King dengan D24. Katanya yang hanya membeli sekilo dukong: “Saya tidak pasti betulkah yang dijual itu Musang King, apa yang saya pasti penjual sendiri yang betul-betul musang dok tentu fasal!” Musang bererti bengkeng dalam bahasa baku.

Apa pun harga yang ditawarkan, pembeli tidak banyak soal. Mereka makan ramai-ramai di situ juga. Siang berjamu daging korban, malam berjamu durian. Pasti suhu badan meningkat. Angin Laut Cina Selatan pun tidak dapat melegakan panas badan!