TENTU sekali saya bersimpati kepada ibu bapa yang menjelang subuh hari itu telah kehilangan anak-anak tersayang. Betapa sedihnya, sebelum maghrib masih berbual dan makan bersama, tiba-tiba...

Tetapi, air mata tidak akan mengembalikan semula orang yang pergi. Jarum jam tidak boleh diputar ke belakang. Hatta seribu sesalan pun tidak bererti lagi.

Tragedi pagi Sabtu itu amat menyayat. Seperti yang dilaporkan media, lapan remaja – berusia 13 hingga 17 tahun – maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru.

Kejadian 3.30 lewat malam di laluan gelap dan berbukit itu turut menyebabkan dua lagi remaja kritikal dan enam mengalami cedera ringan.

Menurut polis, sekumpulan 30 hingga 40 orang sering melakukan aktiviti berbasikal di kawasan berkenaan.

Seperti yang segera menular di media sosial, kelihatan mayat remaja bergelimpangan berlumuran darah, dengan basikal masing-masing lintang pukang, amat mengerikan.

Kalau baca warga maya, rata-rata mereka mengkritik dan menyesali sikap ibu bapa yang tidak prihatin terhadap aktiviti anak bawah umur. Mereka marah-marah dan bertanya, antaranya:

Bagaimana anak berusia 13 tahun, masih terlalu muda, boleh dibiarkan keluar malam dan pulang menjelang subuh? Apakah mereka tidak tahu bahawa anak-anak bawah umur terdedah kepada seribu satu bahaya apabila berembun hingga lewat malam?

Kesimpulan dari sekian banyak kritikan dan kesalan yang diluahkan di media sosial hanyalah satu; bahawa sekiranya ibu bapa ada sedikit keprihatinan dan rasa tanggungjawab, kecelakaan itu mungkin dapat dielakkan.

Memang, tidak guna memanjangkan dan menambahkan kesalahan terhadap ibu bapa. Sepatah kata salah seorang ibu mangsa: “Siapa yang suka kejadian seperti ini. Saya sudah larang, tetapi...”

Tidak perlu juga menuding jari kepada mana-mana pihak – polis, JPJ, PBT, dan lain-lain agensi berkaitan. Undang-undang sudah ada. Masalahnya ialah kita tidak mematuhi peraturan.

Seperti yang dinyatakan polis, juga diakui oleh penduduk sekitar kawasan berkenaan, adalah perkara biasa remaja bawah umur berkumpul selepas tengah malam dengan basikal masing-masing yang telah diubahsuai.

Timbul pertanyaan: apakah tujuan mereka berkumpul? Sekiranya untuk aktiviti lumba haram, jelas sekali itu melanggar undang-undang. Malah, mengubahsuai basikal tanpa mengikut spesifikasi, termasuk menanggalkan brek, juga satu kesalahan.

Ada cadangan @ desakan supaya polis sentiasa mengadakan rondaan dan mengawasi aktiviti remaja di kawasan berkenaan. Ini cadangan biasa setiap kali ada insiden lumba haram. Tetapi, secara logik ini tidak mudah dilaksanakan.

Kita kena berlaku adil kepada polis dan lain-lain agensi terlibat. Ada sekian banyak lokasi lumba haram, dan polis tidak cukup anggota untuk mengawasi setiap lokasi, apatah lagi sekiranya aktiviti haram itu dilakukan serentak menjelang subuh.

Lagi pun, selain dari lumba basikal haram, ada sekian banyak lagi perkara yang perlu dipantau polis – judi haram, pusat hiburan haram, rumah urut haram, VCD haram, teksi haram, pendek kata banyak sangat yang haram-haram.

Itu tidak termasuk macam-macam kes jenayah yang terpaksa diselesaikan seperti pembunuhan, rogol bersiri, pecah rumah, peras ugut, curi motor, ragut, lesen palsu, nombor plat palsu, pasport palsu, bomoh palsu, Datuk palsu, dan macam-macam kepalsuan lagi.

Pendek kata dalam suasana yang penuh kepalsuan, dan dengan sekian banyak aktiviti haram, maka lumba basikal haram mungkin tidak diberi keutamaan langsung.

Harap maklum, ada banyak lagi kerja polis – terkini untuk mengesan dan menangkap pembunuh abang tiri pemerintah Korea Utara – tidak ada masa dan tenaga hanya untuk memeriksa basikal yang telah ditanggalkan brek.

Ada juga permintaan supaya pihak sekolah memeriksa keadaan basikal, dan mengawasi serta mengambil tindakan ke atas murid-murid yang berpotensi untuk aktiviti lumba haram.

Ini pun pada hemat saya tidak munasabah. Guru-guru selama ini mengeluh dengan beban tugas yang sentiasa bertambah, kini hendak ditambah satu lagi tugas memeriksa basikal murid?

Tak fasal-fasal nanti ada cikgu kena tumbuk murid. Atau, mungkin juga ada bapa murid datang ke sekolah membawa parang, dan menengking guru besar: “Apa hak cikgu nak periksa brek basikal anak saya?”

Pendek kata dalam hal budak-budak main basikal tengah malam buta, jangan harap sangat pada pengawasan polis, atau guru, atau PBT yang lain. Jangan salahkan juga JKK, Tok Penghulu, Tok Ketua Kampung, Tok Imam, Tok Siak.

Sebab, apa pun keadaannya, anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa.