SUDAH masuk minggu kedua berpuasa, saya baru sekali menghadiri majlis iftar atas undangan, iaitu dari Perdana Menteri baharu, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Agaknya masing-masing masih terkejut dan terkedu  juga tersedu! dengan keputusan PRU14, jadi semua tidak berminat untuk mengadakan jamuan berbuka puasa.

Anggota Kabinet pun baru diumumkan sehari dua, mungkin tidak sempat mengajak kawan-kawan berbuka. Tambahan pula gaji menteri dipotong 10 peratus, maka terasa sempit untuk berjamu sate atau nasi beriani.

Berbeza betul dengan bulan-bulan puasa sebelum ini, apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja kementerian atau agensi-agensi kerajaan menganjurkan majlis berbuka.

Tidak sahaja kementerian dan agensi, menjadi kebiasaan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan @ GLC turut berebut mengadakan majlis sama.

Sebenarnya undangan untuk beriftar telah saya terima seawal seminggu sebelum anak bulan al-Mubarak muncul. Undangan dibuat melalui e-mail, atau menerusi kad dengan logo rasmi kerajaan.

Menjadi amalan, dua hari sebelum tarikh berbuka, bahagian perhubungan awam kementerian akan menghubungi saya, atau pembantu saya, untuk mendapatkan pengesahan kehadiran.

Bukanlah saya tidak menghargai undangan dan ingatan tersebut, tetapi bukan semua dapat dipenuhi, lebih-lebih lagi majlis serupa diadakan serentak pada hari yang sama.

Ada ketikanya dalam sehari ada tiga undangan berbuka dari kementerian, agensi, GLC; kita hanya hadir satu. Almaklumlah berbuka puasa masanya serentak, tidak mungkin untuk hadir dua atau tiga empat.

Bergantung pada venue dan pakej – kalau di hotel antara RM50 – RM100 per kepala – juadah yang disajikan memang mewah. Pilih sahaja, semua ada.

Meski yang terhidang beraneka, dan serba mewah, berapa sangat yang terlarat kita makan. Maka, kerap terjadi pembaziran makanan.

Hatta, pada tahun-tahun kemurungan ekonomi pun kita berbelanja besar untuk makan-makan bulan puasa, pada hal ustaz dan ulama kita terus berpesan supaya elakkan pembaziran, dan makanlah seadanya.

Pada ketika ramai di luar sana mengeluh kesukaran untuk mendapatkan makanan asas gara-gara kos yang meningkat, ada sesetengah pihak terlalu mewah beriftar menggunakan wang kementerian @ wang pembayar cukai @ wang rakyat.

Maka, ada baiknya acara berbuka oleh kementerian, agensi dan GLC dan lain-lain seumpamanya, tidak diteruskan di bawah kerajaan sekarang.

Secara peribadi saya tidak nampak manfaat di sebalik majlis seperti itu. Tujuannya mungkin baik, untuk saling mengenali antara tetamu dengan menteri dan ketua-ketua jabatan.

Tetapi hakikatnya baik menteri atau pegawai-pegawai kanan tidak ada masa untuk berkenalan dengan tetamu yang ramai. Setelah kekenyangan masing-masing meninggalkan majlis, mungkin solat Maghrib pun tidak!

Rasanya ramai lebih suka sepanjang bulan puasa dapat berbuka bersama keluarga, sama-sama solat berjemaah di rumah, dan sama-sama ke surau untuk bertarawih.

Itu pasti lebih bermakna daripada bermewah-mewah pada majlis iftar, takut-takut terlepas peluang bersunat tarawih yang datang hanya pada Ramadan.

Tidak sahaja bergilir-gilir menganjurkan iftar sepanjang puasa, rumah terbuka pun tidak perlu diadakan setiap kementerian. Cukup satu sahaja raya rasmi kerajaan yang diadakan oleh Perdana Menteri.

Sejak bertahun hampir setiap kementerian mengadakan rumah terbuka raya, dengan tetamu terdiri daripada pelanggan, kakitangan semua peringkat, dan orang ramai. Sama seperti iftar, rumah terbuka pun hebat.

Tujuannya untuk saling berkenalan dan bermesra antara rakyat @ tetamu dengan menteri. Tetapi yang selalu duduk semeja dengan YB adalah kenalan-kenalan rapat, tetamu lain hendak bersalam dengan menteri pun susah.

Malah ada ketikanya suasana rumah terbuka itu pun tidak benar-benar menyerapkan silaturahim patuh Islam. Contoh, ada karaoke – malah menari poco-poco – pada majlis raya.

Tidak perlu iftar dan rumah terbuka. Kalau ada YB yang betul-betul hendak bersama rakyat, sepanjang bulan puasa pergi ke masjid atau surau di kawasan masing-masing, bertarawih dan bermoreh bersama rakyat.

Tetapi bagai sebahagian besar rakyat, khasnya pengundi, mereka tidak berharap sangat menteri atau YB makan-makan atau bersembahyang bersama mereka. Tidak juga berkaraoke atau berpoco-poco.

Apa yang betul-betul diharapkan seluruh rakyat ialah setiap YB tidak kira Parlimen atau Dun, mesti melaksanakan tanggungjawab dengan baik, tiada penyelewengan, tiada ketirisan.

Rakyat telah memilih untuk satu perubahan. Para YB – juga YAB – juga kena berubah.