AKHIR-AKHIR ini angka juta-juta selalu menjadi perhatian dan perbincangan umum di tempat kita. Sering kali pula angka juta yang disiarkan media boleh melonjakkan emo rakyat.

Contoh, RM15.5 juta. Itu adalah jumlah simpanan dalam bank @  pendedahan terkini SPRM mengenai skandal hartanah di Johor yang melibatkan enam individu, termasuk anak seorang Exco Negeri.

Sebelum ini agensi anti suap itu telah menemui – dan membekukan, menyita – RM ratus-ratus juta dalam bentuk tunai dan nilai harta, termasuk beg tangan, dari sekian banyak kes rasuah di seluruh negara.

Namun, ada juga angka yang tidak disahkan oleh SPRM, tetapi terus menjadi bualan, perdebatan, dan sindiran – juga lawakan! – setiap orang. Itulah angka lebih RM2 bilion yang penuh misteri.

Tidak sahaja angka besar-besar, angka paling kecil pun ada ketikanya boleh menjadi perhatian. Contoh, sehari dua ini satu angka kecil telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Bukan angka RM juta-juta, tidak juga RM bilion-bilion, tetapi hanya 11 sen! Itulah angka kenaikan harga gula pasir per kilo yang membuat jutaan rakyat, khasnya peminat tegar teh tarik, berwalang durja.

Pendek kata, kalau tidak kena caranya, dari sebesar-besar angka hingga sekecil-kecil angka, boleh menjadi perhatian dan meningkatkan kepekaan umum.

Tetapi ada angka besar, yang setakat rencana ini ditulis, tidak diambil perhatian secara serius, iaitu angka 4.1 juta. Itu adalah jumlah rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah telah berulang kali mengumumkan perkara ini, tetapi semua yang terlibat nampaknya ‘buat dhek’.

Mengundi semasa pilihan raya adalah tanggungjawab setiap mereka yang berusia 21 tahun ke atas. Setiap orang tidak kira jantina, warna kulit, ideologi, mempunyai hak peribadi untuk memilih siapa yang patut menjadi wakil rakyat mereka.

Hak yang satu ini sebenarnya lebih bermakna dan lebih berharga daripada hak mengundi dan memilih siapa paling layak menjadi juara dalam Maharaja Lawak, Gegar Vaganza, Mentor dan lain-lain program realiti TV.

Perihal setakat Februari lalu ada 4.1 juta warganegara yang layak, tetapi tidak berdaftar sebagai pemilih, menunjukkan orang kita hanya gila-gila untuk menonton dan memilih idola hiburan.

Pada hal orang kita, termasuk golongan muda, nampaknya minat sangat terhadap politik. Baik di bandar mahu pun di pelosok desa orang kita berkobar-kobar bercakap tentang politik.

Tidak kira waktu, mereka borak politik – makan politik, minum politik, mandi politik, main politik, tidur politik, mimpi pun politik. Malah, ada yang ekstrem borak politik hingga gaduh dan bertumbuk.

Setiap hari mereka saling tuduh-menuduh. Pemimpin itu korup, YB si polan balun tanah rakyat, menteri sekian-sekian main duit, anak pemimpin sekian-sekian dapat projek raksasa, bla, bla, bla...

Kalau ada ceramah politik, berbondong-bondong mereka pergi. Lupa teh tarik, lupa nasi dagang, lupa nasi ambeng, lupa apam, lupa karipap. Tinggal anak, tinggal isteri, tinggal kekasih, mereka hendak mengikuti ceramah politik idola-idola parti tertentu.

Dan, dari semasa ke semasa sana-sini ada demo, perhimpunan haram. Bawa sepanduk, angkat poster, sambil berteriak penuh semangat: “Jatuhkan pemimpin A!”, “Siasat pengkhianat negara!”, macam-macam. Orang yang berkumpul berpuluh ribu ini, rela menghadapi risiko. Sanggup ditahan polis, sanggup masuk lokap.

Patut tanyakan kepada mereka yang bersemangat ini: Sudahkah anda mendaftar sebagai pemilih? Suara mereka di Dataran Merdeka – menjerit demokrasi – patut diterjemahkan dalam bentuk undi semasa pilihan raya.

Bagi yang layak, mendaftarlah sebagai pemilih. Kalau memilih dalam Maharaja Lawak anda tidak dapat apa. Tetapi kalau anda mendaftar sebagai pemilih, anda mungkin dapat melancong ke Hawaii, Tokyo dan lain-lain destinasi di dalam dan luar negara.

Seperti yang disiarkan media, SPR kini bekerjasama dengan AirAsia X Berhad dalam menggalakkan orang ramai, khasnya remaja, mendaftar sebagai pemilih.

Selama tiga bulan ini syarikat penerbangan berkenaan akan menawarkan 1,100 tiket penerbangan percuma ke beberapa destinasi dalam dan luar negara kepada mereka yang berdaftar sebagai pemilih.

Ini bukan kempen politik. Ini program kesedaran kepada mereka yang sudah 21 tahun. Tidak kira siapa di hati anda, warna apa kesukaan anda, mendaftarlah di mana-mana kaunter pendaftaran SPR.

Kalau nasib boleh ke Hawaii. Tetapi kalau tidak ke sana pun anda masih amat bernasib baik sebab ada peluang untuk anda memilih pemimpin anda pada pilihan raya akan datang. Jom!