MEMANG ngeri! Wabak ini semakin tenat, dan merebak dengan amat pantas. Di mana pun saya berada, jelas di hadapan mata orang ramai diserang penyakit ini.

Baik di pasar raya, R&R, medan selera, pusat beli-belah, kawasan meletak kereta, stesen LRT, lapangan terbang, tandas awam, hatta di hadapan mimbar masjid, mangsa wabak ada di mana-mana.

Semua orang tahu virus bahaya ini semakin mengganas, menyerang tidak mengenal usia, tidak kira jantina. Siang atau malam, penghidap penyakit ini bagaikan tidak tahu waktu.

Memang, sekali terkena virus ini, mangsa bagaikan berada di alam tersendiri, tidak lagi peduli pada orang lain, termasuk anak-isteri atau ibu bapa.

Maaf cakap, bukan Aids, bukan pil kuda. Bukan anjing gila, tidak juga denggi berdarah. Saya bercakap mengenai gajet di tangan.

Itulah wabak yang sendang melanda di seluruh alam, termasuk di tempat kita. Walaupun belum dijangkiti, saya semakin lemas berada di tengah-tengah virus gila ini.

Saya pulang ke kampung sempena cuti panjang baru-baru ini. Ketika mengisi tangki di sebuah stesen minyak, saya cuba menegur seorang pemandu yang bermain gajet.

“Bahaya,” saya memberitahunya sambil menunjukkan tanda dilarang menggunakan telefon bimbit. Tetapi, dia hanya tersenyum, sambil berkata: “Sedang cek lokasi, guna Google...”

Tidakkah dia membaca berita mengenai beberapa kemalangan dan kebakaran di tempat mengisi minyak gara-gara menggunakan telefon bimbit?

Berhenti untuk secawan kopi-O di sebuah R&R berhampiran Seremban, saya tumpang duduk semeja dengan pasangan suami-isteri yang hampir selesai makan.

Saya memberi salam, tetapi tidak berjawab. Isterinya senyum tanpa mempersilakan saya duduk. Si suami tidak memberi sebarang reaksi, sebab asyik menekan telefon bimbit.

Isterinya juga tidak menghabiskan makanan, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap gajet di tangan, sesekali tersenyum sendiri.

Baik suami mahu pun isteri tidak bercakap sesama sendiri, kerana asyik bergajet dan berbicara di alam maya. Saya langsung tidak ditegur sapa!

Kemudian tanpa berbasa-basi, keduanya bangun, sambil terus menekan-nekan gajet, dan meninggalkan saya. Kerana asyik dengan gajet, mereka lupa pada orang tua seperti saya.

Gajet memang menjadikan manusia hilang kemanusiaan, hilang santun, hilang hormat. Mereka lebih senang bercakap dengan besi keluli, daripada menjawab salam sesama insan.

Dan, bukan pasangan suami isteri itu sahaja, malah hampir setiap meja di R&R itu ada orang bergajet. Lupa makanan, lupa minuman, masing-masing lebih sedap bermain telefon bimbit. Apa boleh buat...

Hari kedua di kampung, saya menjamu selera di sebuah restoran masakan Siam di pekan Bukit Gambir. Meja di hadapan saya duduk sekeluarga sedang menunggu hidangan.

Baik ayah, ibu dan dua anak gadis, tidak bercakap atau berbual sesama mereka. Masing-masing bermesra dengan gajet sendiri. Ibu ketawa bukan dengan ayah, tetapi dengan gajet. Kakak bercakap bukan dengan adik, tetapi dengan telefon bimbit. Sepanjang menunggu pesanan tiba keluarga berkenaan tidak bermesra, asyik bergajet.

Sepatutnya waktu sesekali makan anak-beranak seperti ini mereka mengakrabkan hubungan keluarga. Nyata sekali gajet telah merenggangkan kekeluargaan.

Ibu bapa tidak lagi menghiraukan anak-anak, sebab sibuk berwasap atau ber-FB. Maka tidak menghairankan apabila anak-anak pun tidak peduli terhadap ibu bapa.

Apa yang saya lihat dan alami di stesen minyak, di R&R Seremban, dan di restoran Siam di kampung, adalah sesuatu yang amat biasa sekarang.

Hakikatnya ialah kita tidak lagi sudi menjawab salam, tidak tahu lagi mengucapkan terima kasih. Hatta hendak berbalas senyum pun terasa berat.

Sana-sini masyarakat kita sedang dilanda virus, dan penyakit itu semakin hari semakin tenat. Kita tahu, tetapi kita bagaikan tidak berdaya berbuat apa-apa.

Malah, ada sesetengah ibu kini berasa megah bahawa anaknya yang baru masuk empat tahun, sudah pandai bermain ‘game’ di internet. Budak kecil itu dibelikan gajet tercanggih, supaya dapat berkawan dengan alat tersebut.

Megahlah si ibu bahawa dia dapat melakukan kerja-kerja rumah, tanpa gangguan anak yang asyik bergajet sepanjang masa, termasuk ketika hendak tidur.

Ibu seperti ini – bilangannya semakin ramai kini! – tidak sedar bahawa dia telah menyuntikkan virus bahaya ke jiwa si kecil. Virus yang kesannya jauh lebih teruk dari ketagihan ecstasy.

Maka kalau sayangkan anak, dan inginkan persekitaran yang ceria lagi harmoni, jangan biarkan si manja dengan gajet tercanggih itu, walaupun anda mampu membelikan yang terbaik untuknya.

Pesanan khidmat masyarakat ini ikhlas daripada saya.