TIBA-tiba teringat Panggung Selamat, pawagam pertama di Bukit Gambir, sebuah pekan kecil dekat kampung saya. Waktu itu filem @ wayang gambar adalah satu-satunya sumber hiburan rakyat, sebab TV belum ada.

Orang kampung tidak perlu lagi ke bandar Muar untuk menonton. Tentu sekali pawagam di pekan koboi itu mendapat sambutan hangat, terutama tayangan filem Melayu – Semerah Padi, Batu Belah Batu Bertangkup, Megat Terawis dan sebagainya.

Paling saya ingat ialah filem Hindi, Zimbo Comes To Town, lakonan Chitra, Shammi, dan Bhagwan. Ada lagu Nazaro Ne Maara Hum Kya Kare (Mohammed Rafi) dan Itna To Bata De Aye Dil (Lata Mangeshkar).

Filem itu mengenalkan saya pada ulat, satu istilah yang merujuk kepada dua tiga orang samseng kampung yang membeli tiket secara pukal untuk dijual semula kepada penonton pada harga dua kali lebih mahal.

Tiket kelas pertama 65 sen dijual pada harga RM1.20, dan tiket barisan depan atau disebut ‘kelas kambing’, 45 sen dijual 80 sen. Ulat tiket mengugut pihak pawagam dan memerah penonton. Dapat untung besar beli basikal Raleigh, jenama paling hebat ketika itu.

Itu perihal setengah abad dulu. Panggung Selamat sudah lama gulung tikar, sebab orang boleh menonton wayang percuma di skrin TV. Pekan koboi itu pun kini berubah menjadi bandar satelit dengan sekian banyak pusat hiburan, restoran, kopitiam, kafe siber, pasar raya dan lain-lain kecanggihan prasarana moden.

Sesuatu yang masih kekal ialah ulat. Bukan di Panggung Selamat, tetapi di seluruh negara. Seperti yang diketahui dan dialami umum setiap musim perayaan, ulat tiket terang-terang menjual tiket kepada penumpang yang terdesak, pada harga berkali-kali-kali ganda.

Namanya tiket pasaran gelap, tetapi dijual terang-terangan, dan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa. Sehingga timbul kemarahan, apakah ulat lebih berkuasa daripada pihak berkuasa?

Tidak sahaja tiket haram, kita ada macam-macam ulat yang melakukan aktiviti tidak mengikut undang-undang. Ulat haram jadah ini mengaut laba besar dengan mencekik orang lain.

Seperti diakui baru-baru ini oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, kegiatan teksi haram di KLIA dan KLIA2 semakin berleluasa. Kata Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib, ulat teksi meraih pendapatan lumayan antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.

Mengikut statistik, seperti yang diberitahu kepada media, bermula Januari hingga 24 September lalu, JPJ menahan 67 ulat teksi dan juga bas atas kesalahan mengambil penumpang tanpa permit di dua pintu masuk utama itu. Diakui juga antara ulat yang ditahan itu ialah warga Bangladesh dan Pakistan. Pendatang asing pun berani jadi ulat!

Seperti yang diakui, ulat di KLIA dan KLIA2 menyasarkan pelancong asing sebagai mangsa dengan kadar tambang yang sangat tinggi sehingga RM350 bagi perjalanan sehala ke destinasi biasa.

Ulat teksi telah wujud sejak sekian lama, semua orang tahu. Pelik, JPJ hanya tangkap 67 ‘ekor’ ulat dari Januari hingga September, purata 7 sebulan, atau ‘seekor’ sehari. Sedangkan ada beribu lagi ulat teksi yang aktif sepanjang masa. Kelakar!

Di tempat lain pun ada ulat. Ada ulat yang pendapkan permohonan tanah pihak tertentu, tetapi meluluskan permohonan pihak lain. Kerja ulat juga yang sign, cap dan okeykan projek tidak mengikut spesifikasi, sebab itu sana-sini banyak projek kantoi.

Ada pemohon merayu berkali-kali untuk mendapatkan rumah PPRT – projek perumahan rakyat termiskin – tetapi gagal. Tiba-tiba ada yang tidak termasuk golongan termiskin boleh pula dapat rumah berkenaan. Mesti ada ulat di situ!

Selalu terjadi orang biasa naik bank, turun bank, bawa kertas kerja setebal tiga sentimeter, berbuih mulut berhujah, masih gagal mendapatkan pinjaman RM100,000. Tetapi ada yang tanpa kertas kerja, hanya dengan air liur boleh dapat pinjaman bukan ratus ribu, tetapi juta-juta.

Seperti yang didedahkan SPRM – dan masih disiasat oleh pihak berkuasa – baru-baru ini, sebuah bank telah meluluskan peruntukan RM15 juta hanya untuk satu projek penerbitan buku orang ternama. Buku tidak terbit, tetapi RM15 juta lesap.

Semua orang dapat merasakan sana-sini kita sudah berulat. Dari serendah-rendah ulat seperti peon biasa di pejabat tanah, hingga ulat berstatus tinggi bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan lain-lain pangkat. Ulat-ulat inilah yang membusukkan suasana. Mereka perlu dinyahkan.