HUJUNG minggu lalu saya balik kampung, dan singgah di sebuah kedai elektrik di pekan Bukit Gambir.

Seorang suri rumah gembira apabila diberitahu peti sejuk yang dia berkenan ditawarkan pada harga RM1,100. Itu harga tanpa GST.

“Sekarang sudah tidak pakai GST lagi ke?” pembeli itu bertanya; dijawab oleh pekedai: “Kita sudah buang GST, walaupun kerajaan hendak hapuskan mulai 1 Jun.”

Kegembiraan di wajah wanita itu adalah salah satu dari sekian banyak keceriaan orang ramai di pekan tersebut sebaik kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

Walaupun harga kebanyakan barang keperluan harian belum menunjukkan penurunan ketara, penduduk kampung di sekitar pekan itu yakin semua akan menjadi lebih murah dalam waktu terdekat.

Sama seperti apa yang dirasakan oleh seluruh rakyat, pengumuman kerajaan bahawa 0 peratus @ tanpa GST akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun, benar-benar melegakan penduduk berbilang kaum di kawasan tersebut.

Baik yang makan gaji, penoreh getah, pengait sawit, pesawah, pekebun kecil, peniaga kecil dan sebagainya, semua gembira dengan kerajaan baharu yang bagi mereka akan membawa sinar baharu.

“Kita sudah ubah,” kata Ah Boon, sambil menunjukkan jari telunjuknya yang masih berdakwat. Bekas peraih getah itu menambah: “Ini baru punya gomen, banyak bagus.”

Baik di pasar raya, pasar basah, pasar lambak, restoran, gerai, kedai buah, dan di mana sahaja, semua kawan yang saya temui, tidak kira Melayu, Cina India, puas hati kerana berjaya menolak BN.

Hatta, seorang warga emas Jawa yang sejak sekian lama memangkah Umno/BN, kali ini belot. “Wak syudah ubah, baru puwash...” katanya dalam nada Jawa.

Dulu Wak inilah yang bermati-matian mempertahankan Umno, dengan loghat Jawanya yang pekat: “Biar hidup aku syusyah, asal Umno memerintah...”

Pada PRU14, Dun Gambir yang selamanya dikuasai BN – sejak dua penggal lalu diwakili M Asojan dari MIC – kali ini mendapat Adun baharu dari Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malam itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu berkunjung ke pekan berkenaan untuk berbuka puasa dengan orang ramai.

Majlis iftar bersama rakyat itu adalah tanda kesyukuran dan terima kasih YB kepada pengundi Dun Gambir yang telah memilih beliau sebagai wakil.

Memang Muhyiddin bukan orang baharu di kawasan tersebut. Ketika dalam BN dan menjadi Timbalan Perdana Menteri, pernah beberapa kali beliau singgah di sini.

Tetapi, kali ini terasa benar perbezaannya. Orang ramai yang selama ini penyokong kuat BN/Umno, hari ini berani menyatakan secara terbuka mereka “menolak yang lama untuk satu pembaharuan.”

Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh bersemangat untuk membawa lebih pembangunan di Gambir.

Antaranya akan diwujudkan kawasan perindustrian baharu yang akan memberi peluang pekerjaan.

Juga dijanjikan ialah penambahbaikan pelbagai sektor termasuk pertanian, pendidikan, dan pelancongan yang semuanya bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk.

Saya membayangkan Bukit Gambir akan menjadi bandar penting selepas Muar.

 Sebenarnya sejak dua dekad lalu, apa yang satu ketika dulu dianggap pekan koboi, telah melalui transformasi.

Saya ingat lagi zaman sekolah dulu-dulu, mercu tanda di pekan tersebut, ialah balai polis, pasar pagi dan rumah kedai papan dua tingkat di kiri kanan jalan utama.

Tiada elektrik, tidak banyak kenderaan, pukul 5 petang, tempat jin bertendang itu sudah mati. Tiada kehidupan malam.

Hari ini neon bergemerlapan dan Bukit Gambir hidup sepanjang 24 jam, dengan beraneka ciri kehidupan moden seperti restoran makanan segera, kedai 24 jam, kopitiam, pusat hiburan.

Pekan koboi berubah menjadi bandar satelit dengan beberapa buah hotel, pasar raya moden, bank-bank utama, pusat beli-belah, dan lain-lain.

Hatta kampung tempat saya lahir dan dibesarkan, telah banyak berubah. Nama asalnya Kampung Sungai Ekor, ditukar menjadi Kampung Sungai Jaya.

Pelita minyak tanah, dan mandi air telaga hanya tinggal kenangan. Kampung saya sekarang serba membangun dengan pelbagai kemudahan.

Jangankan jin, biawak dan monyet pun tidak selesa hidup di kampung moden ini.

Pentadbiran baharu di bawah Kerajaan Pakatan Harapan diharapkan dapat memajukan lagi kampung ini, bukan saja pembangunan fizikal, tetapi juga mental, dan spiritual. Pada hemat saya perubahan infrastruktur mestilah sejalan dengan pembangunan insaniah.

Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kepada Hamid Majid, yang sejak beberapa tahun ini berusaha keras membawa perubahan di kampung saya.

Sekarang BN/Umno telah tumbang, saya harap orang seperti Hamid masih terus dapat menyumbang untuk Sungai Jaya.