MINGGU terakhir puasa. Setakat semalam tidak sampai 20 kad raya yang saya terima. Itu pun kira baik sedikit dari 12 yang saya dapat tahun lalu, termasuk tiga yang tiba di meja saya selepas cuti Aidilfitri.

Berbeza betul dengan suasana empat-lima tahun dulu apabila kad beraneka bentuk, design, warna dan kata-kata – ada syahdu, lucu, malah semi lucah – memenuhi ruang kerja. Biasanya saya menerima tidak kurang 200 kad.

Bayangkan dari lebih 200 kad, kini tinggal tidak sampai 20 kad! Boleh jadi ini ada kaitan dengan kemelesetan ekonomi. Almaklumlah, pening-pening lalat kesan GST masih terasa, tambah pula dengan nilai RM yang menyusut.

Dan, ada pula orang 'bersoseh-soseh' siang-malam bahawa berbilion duit kita kena songlap sana-sini. Juta-juta RM lesap melalui rasuah-rasuah mega. Juta-juta lagi rugi kerana pelaburan entah apa-apa.

Hatta, sehari dua ini heboh konon ada orang membeli kapal mewah berharga lebih RM100 juta. Ada juga yang dikatakan mendapat pemberian cincin permata delima berharga RM27 juta.

Ada orang dikatakan beraya sakan dengan kemewahan melimpah dan duit juta-juta-juta dalam bank. Tetapi sebahagian besar rakyat masih berasa amat tidak lega, dibelenggu kemelut ekonomi pagi-petang, siang-malam.

Dalam keadaan serba-serbi sempit dan semput, orang mementingkan makanan lebih dari segala-galanya. Mengisi perut anak-anak dan cucu-cicit adalah keutamaan.

Bagi kebanyakan orang, beras, tepung, ikan, ayam, telur, bawang, cili kering, kunyit, hatta garam, adalah makanan asas yang mesti ada, terutama pada musim perayaan. Sedih sangat sekiranya takbir raya berlalu tanpa makan-makan.

Oleh sebab makanan menjadi keutamaan, tentu sekali tidak ada duit untuk baju baharu, kasut baharu, anting-anting baharu, beg tangan baharu, songkok baharu. Tidak ada juga peruntukan kusyen, langsir, cadar dan sarung bantal baharu.

Dalam keadaan kewangan paras-paras hidung, kad raya adalah perkara terakhir dalam senarai keutamaan. Atau, mungkin tidak ada langsung dalam senarai. Boleh jadi jumlah kad yang saya terima tahun ini ada kaitan dengan mendung ekonomi.

Namun, fikir punya fikir, ada sebab lain mengapa saya dapat hanya 20 kad. Hakikatnya ialah sekiranya ekonomi tidak meleset pun, zaman orang berkirim kad sudah berlalu. Pada era serba-serbi siber, kad sudah dianggap kuno.

Memang, tidak banyak kad diterima. Tetapi, sejak minggu pertama Ramadan – seawal hari ketiga puasa – sudah ada yang menghantar ucapan selamat lebaran kepada saya, menerusi media sosial.

Masuk minggu kedua puasa, telefon bimbit berdecit dari semasa ke semasa. Tidak payah dilihat pada paparan HP pun boleh diteka kebanyakan yang berdecit-decit itu pasti ucapan selamat Aidilfitri.

Sejak pertengahan puasa, HP berdecit hampir setiap minit, termasuk menjelang waktu sahur. Sama ada menerusi SMS, Facebook, WhatsApp, Twitter dan lain-lain kecanggihan siber, apa yang dihantar adalah ucapan selamat hari raya.

Maka teringat saya zaman remaja dulu-dulu. Awal puasa sudah membeli kad raya – saya hanya mampu untuk yang berharga 30 sen! Kemudian ke pejabat pos beli setem 15 sen.

Kena tulis madah yang indah-indah pada kad. Kalau untuk si dia, di hujung madah pasti ada tanda hati yang ditusuk anak panah! Paling popular ketika itu ialah ucapan pantun dua baris pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas, fullamak!

Menjadi kebiasaan – dan kemegahan – waktu itu sekiranya menerima banyak kad, akan digantung di atas pintu atau pada langsir tingkap untuk menceriakan lagi suasana raya. Kad daripada si dia biasanya tidak gantung, sebaliknya diletakkan di bawah bantal, dan dicium beberapa kali setiap malam, hingga habis raya.

Bayangkan kesusahan untuk mengutus kad ucapan zaman itu. Kena beli kad, tulis madah, tulis alamat di sampul, berbaris panjang untuk membeli setem, jilat setem dan masukkan kad dalam peti warna merah depan pejabat pos.

Paling cepat kiriman tiba ke destinasi tiga atau empat hari kerja. Kerap juga terjadi, kad dihantar oleh posmen ke rumah saya seminggu selepas raya. Malah, ada juga kes kad tidak diterima, lesap di tengah jalan.

Era siber semua mudah, tanpa kad, tanpa jilat setem. Semuanya di hujung jari, menerusi gajet. Tulis apa sahaja, masukkan gambar yang kita suka, malah ada muzik dan lagu raya.

Tidak payah beratur di pejabat pos, tekan sahaja butang pada gajet, ucapan berserta gambar dan muzik boleh tiba ke destinasi dalam sedetik, bukan kepada seorang, tetapi beribu-ribu orang sekali gus.

Kalau hendak dibalas setiap kali HP berdecit, lenguh jari-jemari. Maka untuk semua saya sekalikan di ruangan ini: Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.