MEMANG ada sesetengah hal yang orang kita terlalu sensitif. Sekiranya tersasul sebut, atau tersilap tulis dalam media sosial, kita boleh disaman.

Antara perkara yang kita cepat terasa, dan mudah tersinggung ialah mengenai agama, dan kaum.

Sebab itu berhati-hati sebelum membuat kenyataan mengenai kaum, lebih-lebih lagi jika anda orang politik.

Tersilap cakap buruk padahnya. Walaupun memohon maaf, ramai masih tidak puas hati.

Sebab terlanjur kata, sana-sini orang menunjuk perasaan, dan seluruh negara laporan polis dibuat atas keterlanjuran itu.

Hari ini ada perkataan tertentu yang tidak boleh disebut langsung. Jika sebut anda akan dianggap rasis, boleh dibuat laporan polis, boleh disoal siasat.

Contoh, perkataan ‘k...’ Saya tidak faham mengapa sesetengah pihak terlalu sensitif, padahal istilah ‘k’ telah digunakan sejak sekian lama.

Kita ada peribahasa ‘k karam’; jangan sebut lagi peribahasa itu! Kita ada destinasi popular di Melaka, bernama ‘Tanjung K’, kini terpaksa ditukar nama menjadi Tanjung Bidara.

Malah novel karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang menjadi teks subjek sastera sekolah menengah, pernah kontroversi, hanya kerana di dalamnya ada menyebut perkataan ‘k’.

Ada juga benda-benda lain yang jika anda tersilap kata, boleh dianggap rasis, boleh tunjuk perasaan, boleh menyebabkan anda diheret ke mahkamah.

Contoh, jangan mudah menyebut, ‘arak tidak boleh dijual di kawasan Melayu’, itu dianggap rasis. Jangan kata ‘babi tidak sesuai di tempat ini.’ Itu pun rasis.

Dan jangan kata ‘Melayu tidak layak buat itu, buat ini...’; itu rasis, dan NGO-NGO Melayu akan mengangkat sepanduk, beramai-ramai membuat laporan polis.

Pendek kata hari ini, lebih-lebih lagi pada era ‘kerajaan baharu, kerajaan lama’, tersilap sedikit bercakap atau membuat kenyataan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Melayu, Cina, India dan lain-lain suku, kita boleh dicap sebagai rasis @ perkauman.

Pantang tersilap cakap pasti akan ada orang politik atau ejen-ejen mereka yang sengaja mengapi-apikan perkara kecil lagi remeh sehingga mencetuskan kontroversi.

Maka tidak pasal-pasal kita akan dicap sebagai tidak sensitif, pengkhianat bangsa, menderhaka kepada raja, anti perlembagaan, macam-macam.

Hanya tersilap menyebut satu perkataan, kita boleh dianggap memecah-belah perpaduan. Pelik, setelah lebih 60 tahun merdeka, kita masih bercakap mengenai perpaduan kaum.

Padahal, perpaduan memang telah wujud sejak sekian lama. Semasa sekolah rendah di kampung setengah abad lalu, saya tidak ada masalah langsung bercampur dan bermain dengan rakan-rakan berlainan kaum dan agama.

Semasa makan di kantin, saya tidak pernah tanya kawan Cina saya bawa bekal ada daging babi atau tidak. Rakan India saya pun tidak ambil tahu sama ada bekal yang saya bawa dari rumah mengandungi daging lembu atau tidak.

Kami bermain sama-sama, macam adik-beradik. Tidak timbul langsung masalah kaum atau agama. Kita – juga ibu bapa kita – faham dan saling menghormati.

Kawan Cina boleh mengejek Melayu, kawan India boleh mengejek Cina, tidak ada masalah. Cakap apa sahaja tidak ada halangan. Kita bergaduh dan bertumbuk, kemudian berbaik semula.

Zaman itu tidak ada lagu patriotik, tidak ada lagu perpaduan, tidak ada slogan muhibah. Tetapi kita berbaik dan bermesra sesama kaum dan agama, secara semula jadi.

Hari ini, orang politik memecah-belah kita. Isu-isu mengenai kaum – dan agama – dijadikan modal untuk meraih sokongan politik.

Sebab itu perihal kedai dobi ‘Untuk Melayu Sahaja’ pun boleh dijadikan isu sehingga meletup sebagai kontroversi ‘satu Malaya’.

Macai politik bukan Melayu kata kedai dobi itu sengaja menyemai perkauman. Ada beribu-ribu kedai dobi lain, tetapi yang satu itu menjadi soksek-soksek siang malam selama beberapa bulan.

Macai politik Melayu pula menjadikan agama untuk mempertahankan kedai dobi di Muar itu. Kata mereka, demi menjaga kesucian Islam, ‘Malay Only’ dobi perlu ada. Tidak boleh bercampur dengan pakaian bukan Islam, takut ada unsur babi.

Kita begitu teliti hendak menunjukkan kemurnian agama dalam hal dobi, tetapi ‘buat dhek’ apabila Islam dengan jelas dikotori pelbagai rasuah dan skandal mega.

Apa boleh buat, politik kita membenarkan maksiat yang jauh lebih besar daripada najis babi.

Maka ada baiknya kita jangan dengar sangat cakap orang politik. Biarlah macai politik bercakaran sesama sendiri, bawa sepanduk dan berarak ke sana-sini, konon memperjuangkan bangsa dan agama.

Kita rakyat biasa, teruskan hidup berbaik-baik, tanpa mengira kaum, adat dan agama.

Tanpa taasub kepada mana-mana parti politik, kita boleh sama-sama bina negara.Khamis 2 Ogos 2018