SEMALAM genap 59 tahun kemerdekaan. Saya bangga mengibarkan Jalur Gemilang pada anjung rumah, sejak dua hari lalu. Seperti tahun-tahun sebelumnya bendera hanya berkibar di rumah saya, pada hal ada lebih 100 rumah lagi di lorong yang sama. Apa boleh buat...

Ketika bendera Union Jack diturunkan pada tengah malam 31 Ogos 1957, saya baru berusia tiga tahun. Masih menghisap puting getah, dan tidak malu berbogel ke sana sini, saya tidak tahu apa-apa.

Hanya setelah masuk lima tahun, dan radio menjerit “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” saya pun menjerit sama dengan kawan-kawan di bawah pokok kuini besar depan rumah. Seronok betul!

Tidak lagi berbogel, tetapi berlengeng dengan seluar katok, dan berkaki ayam, kami lari keliling rumah, main kejar-kejar, sambil berulang kali menjerit: “Merdeka!” Pada hal hanya pandai menyebut, kami tidak tahu pun erti merdeka.

Ketika hendak masuk darjah satu, Tok Ki - kini telah arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat - memberi erti merdeka kepada saya: “Merdeka maknanya kita bebas daripada penjajah British, kita jadi anak watan sejati.”

Bebas? Penjajah? British? Watan? Tidak pernah saya dengar perkataan-perkataan itu. Semakin bingung saya hendak memahami erti merdeka.

Lebih setengah abad berlalu, kini usia meningkat 62, saya tahu sendiri - menerusi pembacaan, kajian, pergaulan, forum, seminar dan lain-lain - erti sebenar kemerdekaan. Tetapi saya menjadi semakin keliru, bingung.

Bukan sahaja bingung, tetapi kecewa. Sebab kemerdekaan yang saya tahu dan faham ertinya, semakin jauh dari realiti. Selalu saya dan kawan-kawan segenerasi bertanya: Apakah betul kita sudah merdeka?

Apa ertinya bebas daripada penjajah, sekiranya hak kita disonglap dengan rakus oleh anak watan sendiri? Ambil satu sahaja contoh paling mudah dan terkini, mengenai rasuah yang sudah begitu parah di keliling kita.

Sehari dua menjelang ulang tahun turunnya Union Jack, setiap hari media melaporkan secara besar-besaran perihal rasuah tahap mega yang dilakukan oleh anak-anak watan yang diamanahkan menjaga hak kita.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menangkap sekian banyak penjawat awam tingkat tinggi, juga individu terpenting di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang menyalahgunakan kuasa dan mengambil duit rakyat.

Dulu-dulu rasuah melibatkan kakitangan biasa @ ikan seluang yang disuap RM20 atau RM30. Kalau ada yang makan suap RM100,000 itu sudah riuh sedunia. Gamat senegara, orang memberontak, sehingga si pemakan suap meringkuk di dalam penjara.

Hari ini yang menjadi tajuk utama media - gambar-gambar dengan wajah ditutup seperti Zorro - bukan ikan seluang, puyu atau sepat siam, tetapi bapak jerung, paus, buaya tembaga dan naga.

Bukan kerani atau peon biasa, mutakhir ini ramai individu yang duduk di kerusi paling penting, memakai pula pelbagai gelaran dari istana - Datuk, Datuk Seri, Tan Sri - membalun duit rakyat, bukan RM100,000, bukan sejuta, tetapi berjuta-juta-juta.

Anak-bini dan keluarga kaki tibai dan kaki songlap duit rakyat ini tanpa segan - malah sombong! - hidup serba mewah dengan rumah besar, kereta besar, kepala besar, serba-serbi besar, macamlah semua opah dia punya!

Seperti yang dilaporkan, SPRM membeku akaun simpanan termasuk saham amanah berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam termasuk dua daripada mereka bergelar Datuk dan Datuk Seri selepas ditahan bagi membantu siasatan rasuah.

Sehari kemudian dilaporkan pula perihal seorang pengarah urusan bank - Datuk juga! - ditahan berhubung salah guna kusa melibatkan RM15 juta. SPRM turut merampas enam utas jam tangan yang setiap satunya bernilai RM20,000 serta wang tunai sebanyak RM30,000 daripada pegawai tinggi bank itu.

Apa ertinya Union Jack diturunkan dan diganti dengan bendera kebangsaan, sekiranya ada individu dengan mudah dan tanpa sedikit pun rasa bersalah merompak duit rakyat sesuka hati?

Ketika sebahagian besar rakyat rasa sempit dan tertekan walau untuk membeli sekilo ikan kembung, ada orang dengan mudah mengambil secara haram RM juta-juta.

Ini mungkin salah satu sebab orang tidak mengibarkan Jalur Gemilang pada hari merdeka. Mereka meluat melihat rasuah - dan lain-lain penyelewengan - yang dibiarkan berleluasa. Apa ertinya merdeka sekiranya semua lintang-pukang tidak tentu hala?

Maka sekiranya jarum jam boleh diputar ke belakang, saya lebih suka kembali ke zaman kanak-kanak enam dekad lalu, di sebuah kampung terpencil. Berbogel main kejar-kejar, berbogel mandi sungai, tiada siapa peduli. Saya ingat itulah kemerdekaan yang sebenar!