HUJAN masih mencurah ketika saya tiba di rumah, petang awal minggu. Tempias membasahi ruang meletak kereta. Lopak-lopak di halaman sudah menakung air, harap-harap tidak jadi banjir kilat.

Terus menuju ke sinki di dapur untuk mencuci tangan dan muka, saya terkejut. Paip tidak berair! Puas dipulas kepalanya, yang keluar hanya angin, sisss... 

Rupa-rupanya ada catuan air. Tiada notis amaran, tiada juga bil tertunggak, tiba-tiba sahaja bekalan air terputus. Ironis, di luar hujan lebat, di dalam rumah paip kontang. 

Oleh sebab isteri dan anak-anak masih bercuti di luar kawasan, tiada siapa menadah air untuk kegunaan harian. Kalau tidak kerana air simpanan di tangki, saya mungkin tidak mandi.

Tetapi saya tidak sendiri. Mengikut laporan media ada seramai 3,892,641 pengguna di Lembah Klang turut rimas dan kekeringan kerana terlibat dengan gangguan bekalan air bermula 19 hingga 24 Disember.

Seperti yang diberitahu, catuan air selama seminggu itu – malang sekali pada musim cuti sekolah, dan menjelang perayaan Krismas! – melibatkan 814 kawasan seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan 707,759 akaun.

Memanglah marah, tetapi saya masih dikira beruntung, sebab air tangki boleh menampung keperluan mandi untuk tiga-empat hari. Tiada air terus dari paip untuk minuman, tetapi boleh beli air minuman dari supermarket.

Saya membayangkan betapa halnya keluarga yang mempunyai ramai anak. Anak lima, masuk ibu dan ayah, jadi tujuh. Dengan tujuh sekeluarga air dalam tangki mungkin boleh habis sehari.

Ertinya, hari kedua sudah tidak boleh mandi, sama ada mandi biasa atau mandi luar biasa – bagi mereka yang berkenaan. Tidak mandi mungkin boleh tahan, tetapi bagaimana hendak membuang air kecil atau air besar. 

Bayangkan sekiranya tandas yang baru digunakan tangkinya tidak berair! Betapa sekiranya tujuh orang menggunakan tandas yang sama, dan tidak ada air untuk mengepam apa yang terkumpul di sinki tandas?

Dan, betapa halnya cucian pakaian harian, termasuk lampin bayi? Jangan kata bayi, orang dewasa pun berasa gelisah dan amat tidak selesa sekiranya terpaksa memakai semula seluar dalam dan coli yang dua atau tiga hari tidak dicuci.

Bayangkan juga musim cuti sekolah @ musim walimatulurus, kenduri kahwin pasti menjadi masalah tanpa bekalan air mencukupi. Jangankan hendak mencuci pinggan-mangkuk, hendak mencuci tangan pun satu masalah.

Itu tidak termasuk beribu premis perniagaan – kilang, restoran, kedai dobi, tempat mencuci kereta, hospital, sekolah, pasar, dan sebagainya – yang pasti terjejas sekiranya bekalan air terputus. 

Hatta pili bomba pun tidak berfungsi untuk menghadapi kebakaran.

Demikianlah pentingnya air dalam apa juga kegiatan harian. Semua orang tahu, dan pernah merasakan, tanpa air kehidupan terhenti. Tanpa air, boleh mati.

Tetapi, entah mengapa, entah di mana silapnya, dan entah jin tanah mana menjadi penyebabnya, air yang penting itu semakin kerap pula dicatu atau terputus terus.

Sebelum ini pun sudah beberapa kali orang ramai hidup dalam kekeringan. Malah pernah terjadi di Balakong, bekalan air terganggu hingga berbulan-bulan.

Orang ramai mengeluh dan menjerit, ada yang separuh sewel, sebab paip di rumah hanya mengeluarkan angin. Malah ada wanita hamil keguguran bayi gara-gara mengangkut air ke kediaman rumah pangsa. 

Lebih malang lagi kekerapan paip kering itu berlaku di Selangor, sebuah negeri contoh yang sejak sekian lama menjadi tumpuan pelabur asing. Tentu semua tahu bahawa gangguan bekalan air yang berulang-ulang boleh menjejaskan kemasukan pelabur luar. Air kering, laba pun kering.

Insiden terkini berpunca daripada kerja-kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Bukit Badong, Hulu Selangor, menyebabkan loji rawatan air tidak dapat berfungsi. Tugas besar TNB itu, terpaksa dilakukan untuk mengelakkan kemungkinan gangguan bekalan elektrik, mengambil masa 16 jam.

Tetapi meski bekalan elektrik terhenti hanya 16 jam, air tidak dapat dibekalkan sebaik elektrik pulih. 

Kata Syabas, seperti disiarkan media: “Air bukan elektrik apabila petik sudah ada elektrik. Ia (air) perlu melalui proses rawatan dan disalurkan kepada ratusan kilometer kolam takungan air.”

Alasan demi alasan. Alasan tinggal alasan. Kita ada kementerian air, ada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), ada Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash), ada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Semua nama sedap-sedap, tetapi masalah air masih berterusan.

‘Splash’ ialah istilah Inggeris, maknanya percikan atau limpahan (air). Tetapi di negeri Darul Ehsan kerap kali air tidak melimpah. Ada Syabas, tetapi apabila air tidak merecik, pengguna pun marah-marah, dan tidak mengucapkan “syabas”.

 

* Terkini (jam 9 pagi semalam) bekalan air telah pulih sepenuhnya di KL, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor. Syabas!