GENAP setahun menerajui FAM, orang ramai khasnya peminat bola sepak, mengharapkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu sesuatu yang menggembirakan.

Sebaliknya Tunku Mahkota Johor itu mengumumkan peletakan jawatan Presiden Persatuan Bola-sepak Malaysia, kerusi yang mula disandangnya pada 25 Mac 2017.

Pengumuman rasmi itu bagai-manapun tidak mengejutkan sebab beberapa minggu sebelum ulang tahun pertama itu telah ada desas-desus bahawa kerusi No.1 itu mungkin dikosongkan.

Malah, menerusi Facebook beliau sendiri telah pun membayangkan hasrat untuk melepaskan jawa-tan, dengan menjelaskan beberapa sebab yang membawa kepada tindakan mengejut itu:

“Baru-baru ini kedudukan pasukan kebangsaan jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar!

“Oleh itu saya rasa presiden FAM harus letak jawatan. Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bola sepak Malaysia. Selamat maju jaya.”

Seperti yang diketahui ‘ranking’ terbaharu yang dikeluarkan Perse-kutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan Malaysia pada kedudukan 178, berbanding 175 pada Januari lalu.

Dalam pada itu skuad negara juga gagal memenangi sebarang perlawanan sejak November 2016. Meski usaha telah banyak dilakukan selama setahun, skuad kita tetap tidak menyerlah di persada dunia. Apa boleh buat...

Sebenarnya putera dari istana Johor itu telah melakukan apa yang terdaya – dan terbaik – seperti yang dijanjikan semasa kempen untuk merebut kerusi berprestij tetapi sentiasa panas itu.

Memang beliau mungkin memecah rekod sebagai Presiden FAM paling singkat menduduki kerusi penting itu. Namun dalam masa 12 bulan mengemudi badan induk bola sepak negara banyak juga yang telah dilakukan ke arah memperbaiki mutu bola kita.

Antaranya beliau telah memperkemas struktur bola sepak tanah air, menarik penaja dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara, termasuk bekerjasama dengan La Liga.

Seperti yang beliau akui: “Saya juga memperjuangkan hak penyiaran untuk semua pasukan di Liga Malaysia untuk meningkatkan kestabilan kewangan.

“Ini adalah sejarah apabila kali pertama pasukan menerima RM1 hingga RM3 juta daripada hak penyiaran. Setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada kerajaan.”

Seyogia diingat, di bawah kepimpinan beliau juga skuad B23, B19 dan B16 negara melakar sejarah apabila kali pertama mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia.

Semua orang tahu TMJ memang sinonim dengan bola sepak negara. Sebagai pemilik kelab Johor Southern Tigers (JDT), beliau membelanjakan banyak wang untuk memajukan kelab berkenaan.

Malah idea dan sentuhan peribadi beliau telah menyuntik semangat pasukan sehingga JDT menonjol sebagai antara kelab yang paling ditakuti dan disegani. Sebut JDT, ingat TMJ.

Sebab itu beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi FAM. Dengan pengalaman dan komitmen menjayakan JDT, beliau berharap dapat beri sentuhan emas kepada skuad negara.

Ternyata mengendalikan badan induk FAM tidak semudah menjaga JDT. Dan, beliau sangat kecewa dengan jatuhnya ranking bola kita di peringkat dunia.

Bagi beliau merosotnya ranking ini merupakan satu kegagalan yang amat besar, dan sebagai pemimpin yang berhemah dan berintegriti, beliau meletak jawatan.

Tentu sekali ada yang tidak dapat menerima hakikat TMJ berpisah dari FAM. Peminat bola meluahkan perasaan di media sosial, berharap beliau perlu duduk lebih lama.

Pemimpin badan-badan gabu-ngan peringkat negeri merayu agar TMJ menimbangkan semula hasrat untuk berundur. Semua menyatakan idea dan sumbangan beliau masih amat diperlukan dalam meningkatkan bola sepak negara.

Malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta TMJ kekal menerajui FAM kerana bimbang tanpa Tunku FAM bakal kehilangan beberapa penaja utama yang menyumbang jutaan RM.

Kata menteri itu, seperti yang dilaporkan media: “Bagi saya, beliau tidak boleh meninggalkan sukan bola sepak kebangsaan kerana wawasan dan peranan beliau amat besar.

“Saya diberitahu oleh beberapa penaja utama bahawa tanpa kepemimpinan beliau, mereka tidak akan melabur untuk bola sepak. Tidak ada orang lain yang boleh meyakinkan pelabur...”

Memang ramai yang mahu TMJ terus kekal, sebab beliau mempunyai potensi untuk mencari jalan memajukan bola sepak negara. Beliau banyak idea, banyak kontak untuk sumber kewangan.

Tetapi beliau telah pun memutuskan untuk meletak jawatan, atas rasa tanggungjawab. Pada hemat saya keputusan Tunku harus dihormati. Lagi pun dengan mendesak Tunku untuk kekal menerajui FAM, kita seperti menidakkan kebolehan orang lain. Percayalah, patah tumbuh hilang berganti.