ADA dua perkara yang dilakukan abah setiap pagi. Pertama, menziarahi mak sebaik hari cerah selepas solat Subuh.

Kedua, mendapatkan Sinar Harian, dan membaca akhbar tersebut di kerusi malas depan TV hingga azan Zuhur.

Selalu saya menasihatkan supaya abah tidak perlu mengunjungi isterinya setiap pagi, memadai sebulan sekali. Lagi pun mak sudah lama pergi.

Tetapi abah berazam, selagi ada hayat dia akan setiap hari ke pusara yang jaraknya kira-kira sekilometer dari rumah.

Katanya: “Tengok nisan mak kau baru rasa lega hati aku. Kalau aku mati nanti engkau tanam aku sebelah kubur mak kau...”

Saya faham perasaan abah. Hampir 60 tahun berkongsi badan dan perasaan dengan mak memang tidak mudah untuk dia melupakan kenangan silam sejak zaman Jepun.

Dua tahun lepas mak pergi saya pernah mencadangkan supaya abah kahwin baru. Ikhlas saya beritahu untuk meminang mana-mana janda yang dia berkenan.

Abah kata: “Kalau engkau boleh pinangkan Siti Nurhaliza naklah aku!”

Saya tahu dia bergurau, dan saya pun menjawab dalam gurauan: “Kalau Cik Siti tu abahlah yang pinangkan untuk saya...”

Walaupun tidak pernah diceritakan pada saya, saya tahu dia cinta betul pada mak. 14 tahun selepas mak pergi abah terus menyendiri.

Cuma ketika semakin lanjut dimakan usia - dan menerima nasihat saya - abah tidak lagi menziarahi mak setiap hari.

Setiap kali balik kampung dua minggu sekali; saya membawanya ke pusara. Puas saya memujuknya tinggal di KL tetapi dia hanya kata: “Aku sayang pokok-pokok kat tepi rumah; sapa nak jaga dia kalu aku duduk Kuala Lumpur?”

Itu cuma alasan. Saya tahu benar abah teringatkan mak. Saya mengalah dan mesti selang seminggu mengunjungi abah di kampung.

Walaupun tidak lagi ke pusara setiap pagi, membaca Sinar Harian diteruskan sebagai rutin hidup. Katanya tidak lengkap harinya tanpa Sinar. Bukan sebab anaknya bekerja di akhbar berkenaan!

Sebenarnya dia tidak seberapa berkenan saya jadi wartawan. Abah dan mak lebih suka terus jadi kerani di Bank Bumiputra, jawatan pertama saya setelah meninggalkan kampung selepas SPM awal 70-an.

Bila saya meninggalkan bank untuk menjadi wartawan kadet di Jalan Chan Sow Lin, abah dan mak datang ke KL. Abah kata kerja bank lagi besar gaji, “kenapa nak jadi orang surat kabor?”

Kemudian baru saya tahu bukan duit sangat yang dia tidak setuju saya menjadi wartawan. “Orang surat kabor ni suka bohong. Engkau nak masuk neraka?”

Pedih dan tersentap juga perasaan dengan kata-kata abah yang brutal itu. Tapi saya terus jadi ‘orang surat kabor’ sampai sekarang.

Saya tahu dia mengikuti setiap tulisan saya di Sinar Harian. Bila balik kampung ada sahaja komennya mengenai apa yang saya tulis di ruangan ini.

Selain ke masjid setiap waktu, selepas mak pergi, abah banyak menghabiskan masa membaca dan menonton TV. Sebab itu dia tahu banyak benda, sesetengahnya saya sendiri pun terlepas pandang.

Saya selalu kagum pada abah. Hanya sekolah kampung darjah dua - pelajarannya terhenti zaman Jepun - tidak tahu berbahasa Inggeris, abah boleh bercakap fasal politik, ekonomi dan apa-apa hal ehwal semasa. Malah dia tahu pemanasan global, WMD, Putin, Trump (dia sebut ‘Terumpah’) dan lain-lain ehwal global.

Setiap kali balik kampung saya ‘bertengkar’ dengan abah boleh kata setiap masa, tidak kira tempat - di kebun, di pasar, di meja makan, dalam perjalanan ke masjid, pendek kata di mana saja bila ada kesempatan.

Saya terpaksa bersuara tinggi macam orang bergaduh sebab abah ada masalah pendengaran. Hatta ketika dia mengajar ilmu agama pada saya pun semua jiran boleh dengar!

Beberapa hari menjelang Ai-diladha abah di rumah saya di KL. Dia banyak baring dan tidur di biliknya, dan ‘bertengkar’ dengan cucu-cucunya.

Isteri saya memasak makanan kesukaannya seperti pengat pisang, nasi lemak, pucuk ubi ikan masin masak lemak, nasi minyak, kurma ayam.

Pagi Khamis lalu ketika masuk ke biliknya sebelum saya ke pejabat abah mengadu bahunya sakit. Saya dan seorang cucunya membawa abah ke klinik dekat rumah.

Sebelah malamnya abah mengadu sakit belakang dan memanggil saya, isteri, anak-anak dan pembantu rumah.

“Tolong bacakan aku Yasin, kuat sikit...” katanya perlahan. Memang mengejutkan, abah okey sahaja sejak  sebelum Raya Haji, tiba-tiba kesihatannya turun mendadak.

Awal pagi Jumaat saya membawa abah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya. Di Unit Kecemasan dilakukan X-Ray dan MRI, tetapi tidak dapat dikesan apa punca penyakit abah.

Awal pagi Sabtu abah dipin-dahkan ke wad saraf. Jam 12 tengah hari saya siapkan abah bubur. Tiba-tiba abah tidak sedar diri. Beberapa orang doktor bergegas ke katil abah, mengusahakan apa yang terdaya. Abah diletakkan life support.

Betul-betul ketika azan subuh pagi Ahad, dalam bacaan Yasin anak-anak dan cucu, abah meninggalkan saya.

Sedih saya semasa memandikan, mengapankan dan menyembahyangkan jenazah abah di hospital. Lebih pilu lagi di kampung - di Muar - ketika saya menyambut abah di liang lahad, betul-betul di sebelah pusara kekasihnya. Saya telah menunaikan hasrat abah...

Terima kasih kepada para doktor dan seluruh kakitangan PPUM yang telah mengusahakan yang terbaik. Terima kasih juga kepada sesiapa juga yang memberikan bantuan, dan mengutus takziah.