BAHASA Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Eekeleh! Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan? Yeenadey! Mohon maaf banyak-banyak, mungkin kedengaran sinis, tetapi saya tidak percaya – dan sudah hilang keyakinan – bahawa bahasa datuk-nenek-moyang saya itu masih relevan di negara ini.

Bahasa kebangsaan, bahasa Malaysia, bahasa perpaduan, bahasa rasmi, sebutlah apa sahaja untuk menyedapkan hati sendiri. Tetapi semua orang tahu hari demi hari bahasa itu semakin tidak digunakan.

Barangkali, sekiranya Hang Tuah masih hidup, pahlawan unggul Melayu itu pun tidak bercakap bahasa Melayu lagi. Dia pernah berkata: “Tak kan Melayu hilang di dunia.” Tetapi bahasa Melayu mungkin boleh hilang!

Memang, Perkara 152 masih termaktub dalam undang-undang, tiada siapa berani memadamkannya. Sayang sekali, hanya wujud dalam Perlembagaan, sedangkan pada hakikatnya Perkara 152 sudah lama dihumban ke dalam loji najis.

Dan, lebih sedih lagi, yang memijak dan memberakkan bahasa tersebut, ialah orang Melayu sendiri. Sejak dulu kerajaan pimpinan Melayu hanya bersemangat memperjuangkan ketuanan Melayu.

Terbukti sampai saat ini apa yang dikatakan ketuanan Melayu masih gagal memartabatkan bahasa Melayu. Orang politik, orang korporat tidak memartabatkan tetapi ‘memurtabakkan’ bahasa Melayu.

Kalau ada iltizam pasti yang ditekankan ialah bahasa Melayu, bukan bahasa penjajah. Mesti ‘PDDM’ @ Pusat Dagangan Dunia Putera, dan bukan ‘PWTC’ @ Putra World Trade Centre. Sepatutnya ‘LTAKL’ @ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, bukan ‘KLIA’ @ Kuala Lumpur International Airport.

Sepatutnya pertahankan ‘LKTP’ @ Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, bukan Felda @ Federal Land Development Authority. Tetapi kita lebih senang Risda, Mida, Lada. Hatta, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu pun diinggeriskan menjadi Umno @ United Malay National Organisation. Malu sebut Pekembar, koman sangat bunyinya!

Orang kita pun lebih senang dan selesa dengan Bintang Walk, Exchange Square, Halal Hub. Sehinggakan di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan pun menggunakan precinct (jalan), boulevard (dataran). Istilah Melayu dibuang dalam tong sampah.

Dalam kehidupan harian, terutama di KL, orang lebih mudah berbahasa Inggeris, sebab banyak urusan di pejabat kerajaan pun cakap Inggeris. Kalau cakap Melayu orang buat tidak dengar. Mesyuarat jabatan lebih banyak cakap orang putih.

Dalam TV dan radio, bahasa rojak – Melayu campur, Inggeris – sudah diterima sebagai bahasa utama siaran. Konon kalau tidak ada bahasa campur Inggeris, kurang ummph, hilang nilai komersial.

Sebab itu drama Melayu, watak Melayu hidung kemik, pun guna dialog Inggeris campur Melayu: “So kita boleh tengok what happen if father dia...” Pengacara rancangan Melayu, terutama hiburan, bercakap bahasa rojak, lintang-pukang macam bahasa dalam WhatsApp.

Waima sesetengah menteri Melayu sendiri pun apabila bercakap di skrin TV, tidak berasa malu – malah megah! – menggunakan bahasa campur-campur. Agaknya tidak ada kelas jika cakap Melayu sepenuhnya. Tetapi, apabila disuruh bercakap Inggeris dalam rancangan berbahasa Inggeris, lintang-pukang pula bahasa dan nahunya.

Saya sudah berulang kali – menerusi ruangan ini, dan tulisan-tulisan saya di tempat lain – menegur dan meminta semua pihak memberi perhatian terhadap bahasa ibunda yang semakin terhakis. Tetapi tiada siapa peduli. Sebab itu saya bosan, dan mula terikut-ikut trend bahasa murtabak. I like, so what?

Cuma sehari dua ini, oleh sebab masih dalam suasana sambutan merdeka, ada pejuang bahasa Melayu yang cakna dan ingin memartabatkan bahasa rasmi negara. Seperti yang dilaporkan media, satu Sidang Khas Perjuangan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan diadakan di ibu negara, anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Beberapa NGO hadir, termasuk Gapena, Pena, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) serta pensyarah kanan universiti tempatan.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad menyifatkan pihak yang tidak memartabatkan bahasa rasmi negara sebagai ‘pengganas.’ Katanya, seperti yang disiarkan akhbar:

“Kami menganggap golongan yang menentang perkara ini sama seperti puak militan Daesh yang mahu ‘membunuh’ bahasa Melayu dan mereka harus dilawan habis-habisan.”

Fullamak, saya pun naik semangat dengan kata-kata itu. Meremang bulu roma. Tetapi fikir punya fikir, siapa yang hendak mendengar cakap kita? Sudah 59 tahun merdeka kita masih tidak habis-habis bercakap mengenai memartabatkan bahasa Melayu. Tetapi bahasa itu terus di’murtabakkan’.

Saya tidak berasa rendah diri, tidak malu sedikit pun kalau orang berkata Timbalan Perdana Menteri kita tidak pandai berbahasa Inggeris. Sebaliknya saya lebih terharu, apabila ada warga negara kita – tidak kira daripada kaum mana – tidak mahir berbahasa Melayu.

Mereka mengaku warga negara; lahir, membesar, makan, minum, kencing dan berak di sini, tetapi tidak tahu bercakap Melayu.