PUKUL  6.15 petang – kira-kira sejam lagi azan Maghrib – matahari masih membahang, dan tekak kering terasa amat dahaga setelah sepanjang hari berpuasa.

Di hadapan mata, sepasang suami-isteri selamba sahaja menyedut air tembikai dari bungkusan plastik. Nampak ketul-ketul ais bergesel dengan straw. Betul-betul menguji perasaan.

Tidak boleh hendak disalahkan, sebab keduanya bukan Islam. Walaupun geram kerana sikap tidak peduli dan macam provokasi itu, saya masih bersangka baik. Mungkin mereka tidak memahami peraturan berpuasa. Boleh jadi juga keduanya sudah dua hari tidak minum.

Sebenarnya bukan saya sahaja, semua orang Islam yang sedang berpuasa boleh bersabar dengan rakan bukan seagama yang tidak prihatin itu. Untuk makluman, bukan pasangan suami-isteri itu sahaja, ada ramai lagi bukan Islam yang bersikap demikian.

Dan, bukan setakat menyedut air tembikai, ada yang makan karipap, mengunyah rojak buah, hatta ada yang macam tidak nampak orang meratah paha ayam percik yang masih panas itu.

Tetapi, kerana kesabaran menghadapi ujian, dan sikap toleran umah yang tinggi, maka tidak ada yang menegur atau marah-marah. Waimma dalam keadaan lapar dahaga, tidak ada yang mengasari rakan-rakan bukan Melayu itu.

Secara peribadi saya seronok apabila berkunjung ke mana-mana bazar Ramadan, dan mendapati ramai orang bukan Islam dari pelbagai suku kaum turut sama memeriahkan suasana menjelang iftar.

Orang Cina membeli popia, orang India membeli tepung pelita, pakcik Punjabi membeli mi rebus. Pendek kata pelbagai juadah juga kuih-muih – moden dan tradisional – untuk pelbagai kaum. 

Orang Islam boleh beli, bukan Islam pun tidak salah turut serta dan membeli. Itu yang menyeronokkan. Tetapi saya akan lebih seronok dan selesa sekiranya kawan-kawan bukan Islam tidak makan apa yang dibeli itu di hadapan orang yang sedang letih berpuasa. Jom sama-sama kita bertoleransi.

Dalam pada itu, ada juga benda-benda yang orang Melayu @ Islam sukar hendak mengawal perasaan. Contohnya apabila orang bukan Islam membawa anjing di tempat yang tidak sepatutnya.

Terkini, seperti yang telah menular di laman sosial dan menjadi siaran media, seekor anjing duduk di atas kerusi bersama pelanggan-pelanggan lain, di restoran McDonald’s Bukit Indah di Johor Bahru.

Sekumpulan remaja dikatakan telah membawa haiwan peliharaan itu masuk ke restoran makanan segera yang popular dan sentiasa mematuhi syariah Islam itu.

Seperti yang dijelaskan restoran berkenaan terpaksa melakukan pembersihan mengikut syariah – sertu – serta-merta di ruang lobi luar premis itu dengan panduan masjid berhampiran.

“Kami (McDonald’s Malaysia) sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan dan pematuhan halal di semua premis kami,” kata pengurusan restoran tersebut dalam satu kenyataan.

Maka ada yang berhujah, mengapa dihalang pelanggan membawa ternakan kesayangan? Dia ada hak untuk membawa anjing ke mana-mana? Jangan fikirkan hak pelanggan beranjing sahaja; fikirkan juga hak pelanggan lain.

Restoran tersebut juga ada hak untuk menghalang anjing-anjing masuk. Lagi pun tindakan sekumpulan remaja tersebut jelas melanggar kod kebersihan Kementerian Kesihatan yang melarang haiwan peliharaan dibawa ke kedai makan, juga bercanggah dengan peraturan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Seyogia diingat sebelum ini pun ada beberapa insiden yang jelas membuktikan pemilik anjing tidak menghormati hak orang lain. Pernah ditularkan perihal dua orang wanita meletakkan seekor anjing dalam troli di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada hal ada notis terpampang bahawa

“Binatang peliharaan tidak dibenarkan berada di dalam bangunan terminal di dalam lapangan terbang.”

Hanya seminggu sebelum insiden di KLIA, satu kejadian yang lebih teruk berlaku di sebuah pasar raya terkenal di Plentong, Johor Baharu. Seorang pelanggan – wanita juga! – telah memasukkan anjing ke dalam troli ketika membeli-belah di situ.

Lebih menyakitkan hati, haiwan dalam troli itu kencing dan air najis itu melimpah ke lantai dan terkena pada banyak lagi troli. Pihak pasar raya kemudian menjelaskan 500 troli di situ telah disamak.

Apakah pemilik anjing tidak memahami sensitiviti orang Islam terhadap haiwan tersebut? Atau apakah mereka sengaja hendak menguji perasaan orang Islam? Biasanya dalam kes seperti ini yang selalu dibangkitkan ialah hak pemilik anjing. Memang sesiapa pun ada hak untuk memelihara haiwan, selagi tidak mengganggu orang lain.

Jangan pentingkan hak pemilik anjing sahaja; timbangkan juga hak orang lain. Dalam insiden di restoran makanan segera itu, sekumpulan remaja berkenaan patut sedar bahawa restoran itu mendapat persijilan halal, yang antara syaratnya ialah melarang anjing masuk ke premis berkenaan.

Tunjukkan rasa hormat-menghormati, dan fahami sensitiviti sesama kita. Saya yakin Mat Over tidak berapa berkenan anjing duduk di kerusi restoran halal itu!