SESETENGAH orang kita – tanpa mengira bangsa dan agama – macam fobia terhadap perkataan ‘halal’. Ada ketikanya mereka terlebih sensitif, malah boleh menjadi rasis, dengan istilah asal Arab itu.

Contoh terkini ialah kontroversi yang tercetus, dan digembar-gemburkan menerusi media sosial, berhubung satu kenyataan oleh sebuah rangkaian restoran makanan segera jenama Amerika Syarikat.

Seperti yang disiarkan media, penutup tahun 2016 McDonald’s menegaskan bahawa hanya kek hari jadi yang disahkan halal akan dibenarkan untuk majlis ulang tahun kelahiran yang hendak diadakan di restoran berkenaan.

Restoran yang terkenal dengan burger dan ayam goreng itu mempunyai alasan kukuh di sebalik kenyataan tersebut. “Syarat ini bagi mengekalkan integriti sijil halal kami,” kata syarikat itu seperti yang dipetik oleh portal berita Malaysiakini.

Kenyataan itu telah menjadi viral, dan segera mengundang beribu reaksi warga siber. Ramai yang marah-marah pada pihak pengurusan restoran berkenaan kerana syarat halal. Ramai juga yang menganggap syarat itu sebagai rasis.

Rasis? Apakah meletakkan syarat demi menegakkan piawaian halal itu satu rasis? Restoran yang telah beroperasi di negara ini sejak  30 tahun berhak untuk mempertahankan status halal, maka tidak timbul langsung isu perkauman.

Tambahan pula semua rangkaian restoran berkenaan di seluruh Malaysia telah diberi perakuan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), maka menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan piawaian halal dipelihara.

Seperti yang ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman dan Ahli Lembaga Pengarah, McDonald’s Malaysia, Wan Mohd Zam Wan Embong:

“Jabatan dan jawatankuasa ini bertanggungjawab menilai, meneliti, dan memperhalusi standard halal di restoran kami. Pada masa sama, kami akan pastikan setiap restoran kami di Malaysia memperoleh pensijilan halal dan memenuhi syarat-syarat halal yang ditetapkan pada setiap masa.”

Pada hemat saya syarat halal pada kek hari jadi itu adalah usaha berterusan pihak pengurusan untuk memastikan makanan yang dijamu di restoran berkenaan 100 peratus halal. Ini patut dipuji.

Sebenarnya restoran berkenaan telah sejak sekian lama melaksanakan dasar tiada makanan luar bagi memastikan semua produk yang disediakan dan dinikmati di restoran mereka adalah halal.

Mereka bagaimanapun memberikan pengecualian kepada kek hari jadi yang dibawa pelanggan, dengan syarat ia mempunyai sijil halal Jakim. Malangnya sesetengah orang tidak sahaja marah kepada restoran berkenaan tetapi marah juga kepada Jakim.

Malah, gara-gara syarat kek halal itu, ada yang meminta supaya restoran berkenaan diboikot, sampai begitu sekali! Siapa sebenarnya yang rasis?

Terus terang saya bukan pengunjung tetap restoran makanan segera berkenaan. Tidak juga saya tergila-gila atau setengah sewel sekiranya tidak mengunjungi lain-lain restoran jenama antarabangsa yang semakin banyak dibuka di tempat kita, dan menjadi gaya hidup anak-anak muda.

Lidah saya bukan lidah orang putih, maka tidak berapa sesuai dengan burger, kentang goreng, piza, float dan lain-lain makanan dan minuman ala mat salih.

Dulu, kini dan selamanya, saya masih 100 peratus selera Melayu totok, lebih sesuai dengan ayam percik, nasi beryani gam, nasi kerabu, nasi lemak, keropok lekor, sup gearbox, kari kepala ikan, lempeng pisang, karipap.

Saya tidak megah makan spageti, sebab saya adalah generasi mi bandung, mi Jawa, mi kari, hatta mi segera. Saya tetap memilih roti canai berbanding waffle. Dan tentu sekali saya lebih senang teh tarik atau sirap bandung.

Tetapi dalam hal piawaian halal, saya menyokong penuh tindakan restoran berkenaan. Mereka telah menerima pengiktirafan halal Jakim, jadi mereka mesti mempertahankan status tersebut. Tidak ada masalah pun.

Ada pun yang menjadi masalah ialah mana-mana pihak yang dengan sengaja menggunakan sijil dan logo halal palsu untuk mengabui mata dan hati pengguna Islam. Ada logo halal, tetapi menghidangkan arak.

Malah, ada beribu restoran dan kopitiam yang langsung tidak menggunakan logo halal, tetapi berani sewenang-wenangnya mendakwa menjual hanya makanan dan minuman halal.

Sesiapa pun – tidak kira warna kulit, bentuk hidung, bentuk mata, atau fahaman – boleh menentukan piawaian mutu masing-masing, selagi ia tidak melanggar peraturan dan undang-undang.

McDonald’s berhak mempertahankan status halal. Mereka yang tidak suka pula berhak untuk tidak menyambut majlis hari jadi di situ. Buatlah hari jadi di tempat lain. Semudah itu, kan?