MENGHAMPIRI  dua tahun pelaksanaannya, cukai barangan dan perkhidmatan – GST – masih mencetuskan perdebatan asas antara pemerintah dengan massa. Kerajaan kata bagus, rakyat kata tidak bagus.

Kerajaan menegaskan inilah salah satu cara menambah pendapatan negara. Sepatah kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak: “Tanpa GST ekonomi Malaysia akan lumpuh.”

Seperti yang dibuktikan dengan angka-angka, perolehan cukai ini pada tahun 2015 ialah RM27.1 bilion, manakala setakat Oktober 2016 RM32.71 bilion telah masuk ke kantung kerajaan.

Pemain politik terus berbalas pantun. Kerajaan, menggunakan fakta dan angka, menuduh pembangkang sengaja menegatifkan GST untuk mengelirukan rakyat. Pembangkang, juga dengan fakta dan angka – sesetengahnya lebih meyakinkan – menuduh kerajaan menindas rakyat.

Ketepikan berbalas pantun sang politikus, orang biasa mengalami tekanan perasaan setiap saat. Baik di desa atau di kota rakyat terbanyak  macam tidak mendapat apa-apa dari kutipan RM bilion-bilion itu.

Apa yang mereka rasakan setiap hari hanya satu: kenaikan harga barang. Baik yang bergaji tetap, lebih-lebih lagi yang bekerja sendiri, semua berasa kehidupan semakin tertekan, dan mereka menyalahkan GST.

Sebenarnya sejak mula diuar-uarkan orang ramai tidak diberi penerangan sebenar mengenai cukai ini. Penjelasan daripada kerajaan memaparkan hanya yang manis-manis, muluk-muluk. Macam tidak ada cacat-cela langsung cukai yang hendak dilaksanakan.

Malah, ada seorang timbalan menteri – tidak perlu disebut namanya pun semua orang tahu – bermati-matian berhujah pagi petang siang malam, kononnya cukai yang akan diperkenalkan ini tidak sedikit pun membebankan rakyat.

Dengan penuh yakin beliau ketika itu menegaskan, baik menerusi media cetak dan media elektronik: “Saya memberi jaminan bahawa dengan pelaksanaan GST, harga barangan pasti akan turun!”

Agaknya bercakap hanya untuk membodek bosnya, almaklumlah ketika itu beliau merupakan timbalan menteri paling popular dari segi publisiti media.

Atau, boleh jadi – seperti yang diandaikan oleh banyak pihak, termasuk pakar ekonomi – beliau tidak berapa faham atau tidak faham langsung mengenai cukai baharu itu.

Samalah seperti burung kakak tua atau burung tiung peliharaan yang tidak kira waktu asyik bercakap “selamat pagi” atau “terima kasih” tetapi tidak tahu dan tidak faham apa yang dicakapkan. Seyogia diingat sekarang pun kita ada banyak burung kakak tua!

Hakikatnya ialah apa yang ditegaskan dan dijanjikan oleh timbalan menteri berkenaan tidak menjadi kenyataan. Hanya beberapa jam setelah GST dilaksanakan pada 1 April 2015, sesetengah barang sudah naik harga.

Belum sebulan cukai baharu dilaksanakan, orang ramai mengeluh sebab harga kebanyakan barang naik. GST hanya enam peratus, tetapi sesetengah barang naik lebih 10 peratus.

Peniaga dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang, atas alasan GST. Benda yang tidak bercukai pun dinaikkan harga. Pengguna kecewa dan tertekan. Hendak mengadu kepada pihak berkuasa pun tidak ada makna; sama macam bercakap dengan tunggul.

Kini keadaan lebih gawat. GST telah terbukti menaikkan harga sebahagian besar barang keperluan. Ditambah lagi dengan penyusutan nilai ringgit, harga barang melonjak lebih ketara.

Sesetengah peniaga, tidak kira besar atau kecil, hendak cepat untung lalu menjadi penghisap darah pengguna. Puntianak ini menaikkan harga atas alasan GST dan RM susut nilai. Memang, seekor dua puntianak telah dicekup, tetapi lebih ramai yang terus bebas menghisap.

Hatta ada penjual cendol dan penjaga goreng pisang pun menjadi dracula, menaikkan harga atas alasan “duit kita rendah berbanding dolar Amerika!” Apa kena mengena cendol dan pisang tanduk – kedua-duanya produk tempatan – dengan dolar?

Maka tentulah menyakitkan hati, lagi meruntun sanubari, apabila dalam keadaan tertekan menghadapi kesan GST, sesetengah pihak mengeluarkan kenyataan yang menggores perasaan. Langsung tidak mesra pengguna.

Kata seorang pemimpin – tidak perlu sebut nama, sebab wajah dan kata-katanya telah menjadi viral: “Kita tidak paksa rakyat membeli barangan berGST, sebab mereka boleh beli barang tanpa GST...” Apakah dia betul-betul faham apa yang dicakapkan?

Sehari dua lalu, seorang pegawai kanan kerajaan – gambarnya disiarkan media – berkata: “GST tidak ditujukan pada orang miskin, sebab ada beribu-ribu item dikecualikan GST.”

Memang, ada beribu item, termasuk beras, dikecualikan GST. Malah ada 4,215 jenama ubat dikecualikan dari cukai ini. Tetapi, tidak kira orang miskin atau orang kaya, mereka tidak boleh hidup hanya makan barangan tidak ber-GST.

Kecuali mereka robot, pengguna @ rakyat terbanyak tidak boleh terlepas daripada membeli barangan dan perkhidmatan bercukai.

Jadi, jangan memperlekeh dan merendahkan mentaliti rakyat dengan kenyataan-kenyataan tidak bijak.

Katakan yang betul, bahawa GST memang menekan buat masa ini, tetapi dalam jangka panjang cukai ini diharap boleh membantu negara.

Ada baiknya burung-burung kakak tua dikurung dalam sangkar emas, tetapi dilarang bercakap mengenai GST. Kata-kata burung ini boleh menyinggung perasaan!