ISU larangan memakai tudung ke atas pekerja hotel timbul lagi di Parlimen, awal minggu ini. Tentu sekali ia menjadi lebih hangat sebab dibangkitkan oleh Bung Moktar.

Anggota Parlimen Kinabatangan yang terkenal selalu lepas cakap itu mengherdik MAH. Kata beliau, seperti yang disebut media, kecantikan seseorang tiada kaitan dengan penampilannya.

Lalu beliau berkata: “Apa masalah pakai tudung? Kalau dia perempuan cantik, walaupun pakai tudung, tetap cantik juga.”

Saya setuju betul dengan Bung dalam bab ini. Wa caya lu! Tambah YB berkenaan: “Kalau dia tidak cantik, telanjang pun, siapa mahu?” Bab ini saya tidak berani komen. Tak tun tuang, tak tun tuang!

Apa yang jelas Bung – juga beberapa menteri dan ulama lain – tidak setuju dengan MAH atau Persatuan Hotel Malaysia @ Malaysian Association of Hotels.

Oleh sebab saya telah mengulas perkara ini minggu lalu, tidak perlu lagi saya memanjangkan isu tersebut. Biarlah pihak persatuan berkenaan tampil memberi penjelasan.

Lebih baik saya bercakap hanya mengenai tudung. Maka teringat saya ketika mula-mula menjadi orang surat khabar di Jalan Chan Sow Lin kita-kira empat dekad lalu.

Waktu itu di KL  jarang sekali melihat wanita, lebih-lebih lagi anak gadis, bertudung. Kecuali ada kematian atau kenduri, kebanyakan Muslimah lebih selesa bergerak ke sana-sini dengan mendedahkan kepala.

Sekali peristiwa, saya diminta membuat berita mengenai dua gadis adik-beradik yang baru tiba dari luar negara. Mereka membuat kejutan sebaik mendarat di lapangan terbang Subang.

Kedua mereka, anak seorang kenamaan, memakai hijab dengan menutup wajah. Itulah kejutannya! Gambar kedua mereka disiarkan di muka depan akhbar keesokan harinya.

Ketika itu wanita menutup kepala sudah dianggap luar biasa; menutup seluruh muka lagilah pelik. Pada era semua wanita mendedahkan rambut, serang dua yang menutup rambut dicemuh dan dipinggirkan.

Ada pejabat dan bank meletakkan notis, melarang wanita bertudung seperti itu. Macamlah yang bertudung itu penjenayah. Menutup kepala dianggap kolot, ekstremis.

Hari ini keadaan berubah. Rata-rata wanita dan gadis Islam menutup kepala. Walaupun tidak ada paksaan atau tidak termasuk etika berpakaian, wanita menutup aurat di mana sahaja.

Dulu-dulu bertudung dianggap melampau dan dipandang negatif, malah dipulaukan. Hari ini yang tidak bertudung pula terasa dipinggirkan, dan akhirnya dengan rela memakai tudung.

Tudung pelbagai jenis dan corak – saya hanya tahu tudung bawal! – menjadi satu perniagaan, dan trend berfesyen, termasuk dalam kalangan wanita bukan Islam.

Ada selebriti menjadi jutawan kerana nama mereka diletakkan sebagai jenama beraneka produk menutup kepala. Bahan terpilih, corak eksklusif dan jenama yang dipromosikan menjadi trend berfesyen orang berduit.

Maka tentulah pelik apabila tiba-tiba memakai tudung dianggap tidak sesuai untuk bekerja di sektor perhotelan. Larangan dan fikiran seperti ini adalah satu yang terkebelakang empat puluh tahun!

Memang, boleh sahaja mana-mana wanita hendak mendedahkan rambut yang cantik lagi ikal mayang, atau mengurai seperti puntianak, hatta yang menggerbang seperti sarang lebah. Itu hak mereka.

Tetapi, jangan pula menegah wanita atau gadis yang sengaja memilih untuk bertudung. Itu pun hak mereka. Dan, siapa dapat menafikan bahawa bertudung boleh menyerlahkan keindahan seseorang?

Saya tidak ada masalah langsung dengan artis dan aktres yang memilih untuk membuka kepala – juga buka-bukaan bahagian aurat yang lain. Almaklumlah, kita tidak boleh memaksa mereka.

Tetapi, saya suka yang memakai tudung. Siti Nurhaliza tidak berubah kemerduan setelah memakai tudung. Malah artis ngetop itu kelihatan lebih manis dengan tudung.

Saya juga suka Fazura. Keayuan aktres drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu tidak sedikit pun terjejas dengan memakai tudung.

Walaupun menutup kepala dan seluruh rambutnya terlindung, tudung tidak sedikit pun menyembunyikan kemanisan semula jadi wajah aktres berkenaan. Seperti beribu-ribu peminat, saya pun syok pada Fazura.

Agak-agak sekiranya aktres manis manja itu berhasrat untuk berkerjaya di hotel bertaraf antarabangsa di KL, apakah MAH akan terus berkeras dengan SOP diskriminasi itu?

Saya yakin baik dalam bidang perhotelan mahupun bidang seni, hatta bidang apa sekali pun keupayaan Fazura, atau sesiapa sahaja, tidak akan terjejas dengan bertudung.

Cuma sehari dua ini saya diberitahu ramai peminat Fazura bermuram durja, menangis sakan, hingga ada yang hentak-hentak kepala ke dinding. Malah ada yang tidak lalu makan.

Mereka – lebih-lebih lagi peminat lelaki – bersedih bukan kerana Fazura memakai tudung, tetapi kerana aktres kesayangan ramai itu dikhabarkan hendak berkahwin dengan Fattah Amin.

Adusss, saya pun hendak menangis ni!