BAGI yang betul-betul memerlukan, setitik air bersih adalah seribu nikmat dalam kehidupan. Tetapi bukan semua orang dikurniakan nikmat tersebut. Meski telah lama merdeka, ramai yang terus mimpikan air bersih. Tidak pasti bila mimpi itu menjadi kenyataan.

Di Sabah, rakyat, terutama di kawasan pedalaman, setiap hari merintih kerana tidak mendapat bekalan air bersih. Sudah sekian lama mereka bergantung sepenuhnya kepada air sungai untuk keperluan harian.

Tentulah amat menyakitkan hati – sekali gus meloyakan tekak – ketika beribu-ribu orang terus menunggu dan menangis tidak mendapat air bersih, ada seorang dua di ibu pejabat Jabatan Air Sabah sejak awal-awal sudah menerima habuan dari satu projek bekalan air bernilai RM3.3 bilion.

Seperti biasa dalam kebanyakan kes songlap duit haram, dan makan duit rakyat, tukang songlap tak lain tak bukan adalah pegawai atasan sendiri. Mereka ada kuasa; mereka tidak malu menyalahgunakan kuasa.

Seperti yang terbongkar awal minggu lalu, pengarah dan timbalan pengarah jabatan berkenaan telah menerima rasuah dari projek mega Kerajaan Persekutuan itu. Kerja kotor lagi rakus orang No.1 dan No.2 jabatan berkenaan tidak boleh dimaafkan.

Media melaporkan, serbuan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat dan kediaman pegawai tertinggi itu menemukan sesuatu yang amat luar biasa.

Sukar diterima akal wang tunai berjumlah lebih RM50 juta ditemukan dalam rumah, tersusun rapi dalam almari dan rak. Entah-entah dalam mangkuk tandas pun ada duit! Dulu-dulu orang megah memperagakan set ensiklopedia Britainica atau Americana.

Kini, dalam era super-rasuah, super-seleweng dan super-gila babi, orang tidak lagi menyimpan buku-buku tebal, tetapi bertepek-tepek melonggokkan wang tunai.

Ketika orang biasa – termasuk beribu-ribu yang diberhentikan kerja – selalu tidak cukup duit untuk meneruskan kehidupan harian, ada penyangak kolar putih, memakai topeng pegawai awam dengan slogan ‘berkhidmat untuk rakyat’ yang mempunyai wang tunai begitu banyak dalam almari.

Tidak sahaja wang tunai di dalam rumah, siasatan SPRM ke atas dua suspek juga menemukan RM60 juta dalam akaun bank, 127 geran tanah dengan harga pasaran bernilai lebih RM30 juta.

Seperti yang disahkan pasukan penyiasat, jumlah keseluruhan wang tunai, akaun bank – termasuk beberapa bank di luar negara – dan lain-lain aset ialah RM178 juta, setakat ini. Turut juga ditemukan dan disita ialah sembilan kenderaan mewah, barang kemas dan jam tangan mewah.

Hatta, ditemukan juga bukan satu atau dua tetapi 94 beg tangan mewah. Rupanya ramai juga yang minat menyimpan beg tangan mewah. Tidak dapat dibayangkan tangan hanya dua, mana hendak digantung beg tangan yang banyak itu?

Dua penyangak di Negeri Bawah Bayu itu dikatakan – seperti yang dilaporkan media – mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010, dan memonopoli kesemua projek untuk diserahkan kepada adik-beradik. Sedap betul mereka mengkhianati duit rakyat. Macamlah yang RM3.3 bilion itu opah mereka punya!

Pendedahan terbaru SPRM ini dengan sendirinya menjelaskan kepada rakyat betapa salah guna kuasa dan rasuah seolah-olah telah diterima sebagai budaya dalam negara Islam Hadhari yang selalu meneriakkan slogan makasyit syariah.

Dalam masa sebulan dua ini sahaja pihak berkuasa telah mengesan, menangkap dan menyiasat individu penting, bergelar Datuk dan Tan Sri, dalam beberapa institusi awam dan swasta yang disyaki terlibat dalam rasuah mega.

Dulu-dulu apabila disebut kaki rasuah kita selalu merujuk kepada beberapa negara jiran. Kita memperlekeh dan merendahkan pegawai dan petugas mereka – antaranya di lapangan terbang – yang tidak segan silu meminta ‘duit kopi’.

Hari ini ‘duit kopi’, ‘duit tomyam’, ‘duit bawah meja’, ‘duit dalam sampul’, ‘pengeras’, dan apa sahaja duit haram yang setaraf dengannya sudah menjadi perkara biasa dalam urusan harian. Semua orang tahu ini.

Sebenarnya dalam bab rasuah kita sudah jauh lebih teruk dari negara jiran. Bukan sahaja kaki rasuah, kita sudah ke tahap tangan rasuah, hidung rasuah, telinga rasuah, kepala rasuah, buntut rasuah.

Harap-harap pendedahan, tangkapan dan siasatan SPRM betul-betul berakhir dengan para penyangak dihadapkan ke muka pengadilan, dan dihukum. Biasa terjadi di tempat kita jerung rasuah akhirnya tidak dibawa ke mahkamah atas alasan tiada cukup bukti.

Malah, ada juga jerung yang telah dibuktikan rasuah – termasuk rasuah politik – diambil tindakan, tetapi kemudian diberikan jawatan lebih selesa dengan gaji lebih lumayan. Sebab itu orang tidak takut melakukan rasuah. Ini yang seluruh rakyat kena betulkan.