ANDA boleh bermegah mempunyai gelaran ‘Datuk Seri’, atau boleh jadi lebih tinggi dari itu. Tetapi status itu tidak sama sekali membolehkan anda sesuka hati mengasari orang lain.

Seyogia diingat, pingat, bintang, darjah kebesaran – tidak kira setinggi mana – bukan lesen untuk melakukan jenayah, dan tidak menjadikan seseorang kebal undang-undang.

Sebaliknya anugerah tersebut sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih baik, lebih disegani, lebih dihormati. Itu adalah pengiktirafan dan ihsan daripada istana atas jasa yang disumbangkan seseorang.

Sayang sekali, seperti yang diketahui umum sejak akhir-akhir ini semakin kerap penerima anugerah terlibat dalam pelbagai kegiatan tidak bermoral.

Ada Datuk, Datuk Seri, Tan Sri ditangkap kerana penipuan, rasuah mega, melakukan perniagaan haram, merompak, malah membunuh.

Oleh sebab gelaran-gelaran tersebut berprestij, ramai juga yang menyamar ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’ untuk mengabui mata umum, dan melakukan jenayah.

Itu tidak termasuk ‘Datuk’ tidak diiktiraf yang juga menjadi penjenayah. Malah, ada juga tuduhan – dan tanggapan – bahawa sesetengah gelaran tersebut boleh dibeli dengan harga-harga tertentu.

Tuduhan pembelian darjah-darjah kebesaran mungkin tidak benar, hanya satu persepsi. Tetapi, mungkin juga satu kebenaran. Almaklumlah, di tempat kita persepsi boleh menjadi realiti.

Dengan semakin banyak ‘Datuk’ penipu, ‘Datuk’ kaki songlap, ‘Datuk’ rasuah, ‘Datuk’ palsu, ‘Datuk’ beli dan sebagainya, menyebabkan umum memandang sinis dan negatif terhadap gelaran-gelaran yang sepatutnya dihargai dan dihormati itu.

Terkini, seorang ‘Datuk Seri’ – tidak pasti tulen atau palsu – menjadi tajuk utama media kerana tindakannya mengasari dan mencederakan penjawat awam yang sedang bertugas.

Siapa juga yang menyaksikan aksi tular di media sosial itu, berasa kesal. Tidak patut perangai seperti itu dilakukan oleh seorang ‘Datuk Seri’. Angkuh.

Seperti yang dilaporkan media ‘Datuk Seri’ berusia 29 tahun itu, seorang ahli perniagaan, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas anggota Rela, Lee Weng Poh, 27, di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, pada pukul 6.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Selain Weng Poh, dua lagi anggota Rela yang turut dikasari ialah Melvin Cheong Mun Khai, 21, dan Leong Jun Jie, 21. Seorang lagi mangsa ialah Mun Khai.

Dia turut dituduh menawarkan RM10,000 kepada ketiga-tiga anggota Rela itu dengan syarat menarik balik laporan polis yang dibuat. ‘Datuk Seri’ berkenaan mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan.

Dalam pada itu, polis mengesahkan laporan pernah dibuat terhadap ‘Datuk Seri’ berkenaan kerana terlibat dalam beberapa kesalahan berkaitan dadah.

Sementara menunggu kesnya dibicarakan, umum kini bertanya, apakah jasa besar ahli perniagaan ini sehingga dia dianugerahkan gelaran ‘Datuk Seri’ pada usia muda?

Majlis Datuk Persekutuan mencadangkan sekiranya benar gelaran tersebut dianugerahkan oleh mana-mana istana, gelaran tersebut patut ditarik balik. Tingkah laku yang dipamerkan oleh ‘Datuk Seri’ berkenaan dibimbangi boleh mencemarkan pihak istana.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta polis menyiasat kesahihan gelaran ‘Datuk Seri’ itu.

Sebagai amalan turun-temurun institusi istana, adalah menjadi hak mana-mana istana untuk menganugerahkan apa juga gelaran, kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia.

Hatta, sekiranya yang hendak dikurniakan bintang kebesaran itu adalah bayi baru lahir, itu hak mutlak istana. Sejak sekian lama tiada siapa boleh menghujah hak tersebut.

Bagi saya, lagi banyak ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’, ‘Tan Sri’ dan sebagainya lagi baik, lagi meriah. Itu tanda pihak istana sayangkan dan prihatin terhadap rakyat yang berjasa.

Cuma dengan semakin kerap Datuk dan Datuk Seri – termasuk yang palsu dan yang celup – melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan tidak bermoral, pemberian anugerah ada baiknya diperhalusi.

Pada hemat saya ke Bawah Duli-Duli Tuanku wajar sekali meneliti senarai nama-nama yang dicadangkan untuk menerima anugerah.

Mungkin pihak istana boleh menyaring senarai tersebut dengan menyemak rekod-rekod polis untuk memastikan calon-calon betul-betul bersih dari sebarang kegiatan jenayah.

Malah, sekiranya meragukan, rujukan dengan agensi-agensi tertentu, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perlu juga dilakukan.

Ketelitian dalam menyaring dan memilih calon, akan memastikan hanya mereka yang betul-betul layak boleh menerima anugerah. Biarlah bilangan penerima sedikit, tetapi gelaran itu betul-betul berkualiti.

Barulah umum akan hormat dan memandang tinggi terhadap sesiapa juga yang dianugerahkan gelaran-gelaran dari istana. Maka tidak akan ada pihak yang mempersendakan dan sinis terhadap kurnia Tuanku.

Sebenarnya menghormati anugerah istana, samalah menghormati dan menjunjung kedaulatan Duli-Duli Tuanku. Dan, institusi istana akan kekal di tempat yang tinggi.