TIBA-tiba saya teringat kisah – dan kata-kata – ibu bapa dulu-dulu ketika menyerahkan anak mereka belajar, baik di sekolah agama mahu pun sekolah biasa.

Seperti yang selalu diceritakan, ibu bapa akan berpesan kepada ustaz atau guru, lebih kurang begini: “Saya serahkan budak ini kepada cikgu, kalau dia buat tidak betul, terpulanglah kepada cikgu untuk menghukumnya, asalkan jangan sampai patah-riuk sudahlah...”

Abah tidak berpesan demikian ketika menemani saya mendaftar sebagai murid darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Sawah Ring, awal tahun 1961.

Tidak juga saya patah-riuk dikerjakan oleh guru-guru sepan-jang belajar di sekolah rendah di kampung terpencil itu. Namun, ada ketikanya punggung dan betis saya lebam akibat dirotan.

Sekali peristiwa, saya bersama tiga murid lain, dipanggil ke hadapan semasa perhimpunan mingguan pagi Ahad. Saya tahu akan dihukum. Kesalahan saya: ponteng latihan sukan pada hari Sabtu.

Memang degil dan salah sendiri. Ketika murid lain berlatih sukan di padang sekolah, saya dan beberapa rakan sebaya asyik berkubang di sungai, main terjun-terjun macam Tarzan.

Setiap orang kena dua rotan di tapak tangan, kiri dan kanan. Zappp! Perit rotan sebesar jari kelengkeng itu hinggap di tapak tangan kiri. ‘Si Algojo’ meminta saya membuka tapak tangan kanan untuk zappp kedua.

Saya minta kedua sebatan itu di atas tangan kiri. Alasan: tangan kanan saya ada kudis. Tetapi akhirnya terpaksa juga buka tangan berkudis itu, dan zappp!

Pedih terasa hingga tulang sumsum. Lebih pedih lagi sebatan kedua itu mengenai kudis buta di tepi tapak tangan, dan berdarah. Kedua kawan saya menangis, tetapi tidak saya. Malulah jika hero menangis kena rotan!

Dan, tentu sekali kisah dua zappp yang melukakan tapak tangan itu tidak saya beritahu kepada abah atau emak. Sebab jika mengadu pun, saya tidak akan mendapat simpati dan pembelaan daripada orang tua.

Lebih-lebih pun abah hanya akan kata: “Dah engkau degil macam cempiang, eloklah cikgu rotan!” Malah, kalau nasib tidak baik, abah akan tambah lagi satu rotan. Untuk makluman, rotan abah lebih panjang daripada rotan cikgu.

Rotan menjadi hukuman biasa ketika itu, untuk kesalahan-kesalahan seperti ponteng, mencuri dalam kawasan sekolah, melawan cikgu dan sebagainya.

Ada juga hukuman-hakam lain untuk kesalahan yang lebih kecil, termasuk tidak buat kerja rumah, bising ketika cikgu tiada atau bertumbuk dalam kelas. Antara hukumannya ialah berdiri atas bangku, berjemur tengah panas, mencuci tandas, mengutip sampah.

Ada juga cikgu yang suka menjentik telinga, mencubit paha, sekeh kepala, tempeleng. Saya pernah kena tarik hidung hingga merah gara-gara benak menghafal sifir 7. Pendek kata waktu itu ada ramai ‘Cikgu Azizan’ di mana-mana sekolah.

Lain cikgu, lain pula cara menghukum murid. Tetapi apa pun hukumannya, tidak ada ibu bapa yang mengamuk atau membawa parang datang ke sekolah menyerang cikgu.

Juga, seingat saya, tidak ada mana-mana cikgu yang diheret ke mahkamah, gara-gara menampar murid.

Sebab ketika itu ibu bapa, tidak kira apa kedudukan dan status, menghormati guru. Mereka percaya apa yang dilakukan cikgu di sekolah adalah untuk membentuk tingkah laku anak-anak.

Tambahan pula hubungan ibu bapa-guru amat mesra, baik di sekolah atau pun di luar sekolah. Guru rapat dengan masyarakat, boleh menjadi imam solat, tolong melapah daging korban, boleh minta pandangan kalau tidak ada Tok Ketua.

Tidak menunggu Hari Guru, ibu bapa selalu membawa buah tangan – pisang tanduk, nanas moris, bacang, rambutan gading, dan sebagainya – sebagai penghargaan kepada guru.

Semuanya jauh berubah sekarang. Hari ini semua tahu murid semakin degil, lebih cempiang, tidak menghormati guru, tidak ada disiplin. Dan, guru tidak boleh terkasar sedikit.

Cubit paha murid, ibu bapa akan menelefon pengetua atau guru besar, mengherdik – malah mengugut – akan bertindak ke atas pencubit. Buat silap sikit pada murid, ibu bapa akan menulis surat ke kementerian, mendesak guru berkenaan ditukar.

Hakikat sekarang ialah ibu bapa terlalu memihak kepada murid, terlalu melindungi anak mereka, selalu yakin anak mereka adalah sebaik-baik manusia.

Pada hal kesalahan yang dilakukan murid-murid sekarang jauh lebih teruk dari sekadar ponteng latihan sukan atau berkubang dalam sungai.

Seperti yang selalu disiarkan media, murid-murid sekarang sudah berani menumbuk cikgu, merokok dalam tandas sekolah, menghidu gam, membuli. Malah, ada yang berani membakar bilik guru.

Semua sudah mengakui disiplin murid – baik sekolah bandar, mahu pun sekolah luar bandar, hatta sekolah agama – semakin teruk. Guru sudah kecewa untuk mengawal.

Bolehkah ibu bapa membentuk peribadi anak-anak nakal ini ketika mereka di luar kawalan guru?