SEKIRANYA kehadiran pada ceramah dijadikan ukuran, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti yang diwakilinya kelihatan menang mudah pada pilihan raya 9 Mei ini.

Sejak sebelum pembubaran Parlimen – sebenarnya sejak setahun dua kebelakangan ini – ceramah bekas perdana menteri itu, sentiasa mendapat sambutan hangat daripada hadirin.

Tidak kira di utara, selatan, timur dan barat, ceramah politik pemimpin parti Bersatu itu biasanya dibanjiri penonton. Tidak kira panas atau hujan, padang atau dewan penuh sesak.

Tidak syak lagi faktor utama yang menarik orang ramai hadir pada ceramah Tun M ialah hentaman terbukanya terhadap kerajaan secara am, khasnya serangan peribadi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Orang ingin tahu apa yang akan diulas oleh beliau mengenai isu-isu hangat semasa yang membangkitkan keresahan rakyat – GST, kenaikan harga barang, rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya.

Hadirin juga ghairah hendak mendengar apa lagi yang akan diungkit Tun M terhadap Najib terutama mengenai skandal 1MDB, wang RM2 bilion masuk akaun peribadi, DoJ, Jho Low, macam-macam.

Walaupun yang dibangkitkan itu adalah isu serupa yang telah diulang berkali-kali, ia tetap menarik perhatian. Almaklumlah, dulu, kini dan selamanya, orang kita memang suka mendengar suara-suara menghentam.

Puas sudah kerajaan, juga Najib membuat penjelasan dan penafian, orang masih juga mengerumuni pentas Tun M, sebab hentaman lebih seronok didengar berbanding penjelasan.

Tetapi, sama ada kehadiran dan sambutan hangat ceramah politik itu betul-betul faktor penentu di tempat mengundi, ini hanya akan terjawab pada malam pengiraan undi.

Sekiranya berdasarkan pengelaman PRU-PRU terdahulu, bukan semua ceramah hangat itu membawa kemenangan parti. Semasa ceramah beribu-ribu datang untuk seronok-seronok mendengar cacian.

Tetapi apabila berada di bilik memangkah, mereka mempunyai perkiraan dan kewajaran sendiri. Ertinya, belum tentu kehadiran beribu-ribu di pentas ceramah itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi.

Hatta, bukan tidak mungkin yang mengerumuni pentas ceramah itu adalah orang-orang sama yang sanggup ke mana sahaja mengikut penceramah.

Maka, mungkin juga mereka hanya seronok mendengar ceramah, tetapi tidak pun mendaftar sebagai pemilih!

Mengenai media sosial, baik kerajaan mahu pun pembangkang, masing-masing saling serang-menyerang di alam maya. Tentera siber tidak henti menyerang setiap hari.

Warga siber dapat melihat betapa hebat – dan kreatif – pemilik media sosial mencipta tampalan-tampalan pada Facebook, WhatsApp, Twitter, YouTube, dan lain-lain.

Ucapan-ucapan lama sesetengah pemimpin, disunting semula untuk diubahsuai mengikut kepentingan, ditambah dengan imej dan gambar-gambar terkini yang begitu meyakinkan.

Gambar-gambar asal mengenai satu-satu peristiwa, boleh diubah @ doctored, untuk mewujudkan sesuatu yang amat negatif pada individu-individu tertentu.

Gambar asal satu kemalangan di Sabah yang menunjukkan mangsa di tempat kejadian, telah ditambah @ ditampal dengan kotak berisi wang tunai, dengan keterangan kononnya mangsa adalah anggota sebuah parti yang membawa wang untuk membeli undi.

Pada hal gambar wang berkenaan yang dirakamkan beberapa tahun dulu, tidak ada kena mengena dengan kemalangan. Demikian betapa kreatif – dan jahatnya! – permainan media sosial.

Satu video yang ditularkan di media sosial ialah sebuah lagu Hindustan – penyanyinya menunggang motosikal, betul-betul seperti dalam sebuah filem Hindi popular.

Keseluruhan lagu tersebut liriknya ditukar ke dalam bahasa Melayu. Lagu ini mengisahkan kehebatan Rafizi Ramli dalam membongkar beberapa isu penting negara termasuk 1MDB dan GST. Sambil berhibur sambil berkempen.

Sekiranya diperhatikan mereka yang memberi komen dalam media sosial, kita boleh membuat andaian rambang parti mana yang disukai, parti mana yang dibenci. Individu mana yang dipuji, siapa pula yang dicaci.

Sesetengah tampalan pada internet dikongsi dan dikomen berpuluh ribu orang.

Macam-macam yang dikomen mengenai individu tertentu. Kata-kata lucah, biadab, kurang ajar semuanya terhambur melalui media sosial.

Kalau melihat komen – kebencian dan pujian – yang diluahkan menerusi media sosial, boleh dijangka siapa yang akan memenangi PRU14 ini.

Tetapi, sama seperti kehadiran pada ceramah politik, reaksi warga siber menerusi media sosial juga tidak boleh dijadikan ukuran menang atau kalah satu-satu parti.

Ada pun yang tergila-gila dengan tampalan pada internet sebahagian besarnya adalah golongan remaja, termasuk murid sekolah yang selalu gian gajet.

Mereka hanya ghairah memberi komen dan menghentam sesetengah pemimpin. Tetapi mereka mungkin tidak mengundi, atau boleh jadi tidak mendaftar pun sebagai pemilih.

Jadi ‘gempak’ dalam media sosial tidak semestinya diterjemah dalam bentuk undi!

ABD JALIL ALI - abd.jalil@karangkraf.com.my