ALAM persekolahan @ pendidikan sepatutnya menyeronokkan, bukan membebankan, kata Dr Maszlee Malik. Setuju betul saya dengan Menteri Pendidikan itu. Bercakap menerusi pengalaman. sebenarnya keseronokan itulah yang saya rasakan sejak hari pertama masuk sekolah, kira-kira 50 tahun lalu.

Memang, ada sedikit gubra apabila mula masuk darjah satu Sekolah Rendah Sawah Ring di kampung terpencil, daerah Tangkak.

Tambahan pula apabila melihat ada seorang dua pelajar menangis, takut masuk darjah, dan meminta ibu atau penjaga duduk bersama dalam darjah.

Saya tidak dihantar oleh sesiapa, datang sendiri, berjalan kaki kira-kira sekilometer. Semua okey, dan semasa rehat hari pertama itu, saya betul-betul gembira dapat bersekolah.

Antara yang menggembirakan saya ialah pakai baju putih, seluar biru, kasut putih. Hari-hari sebelum sekolah, saya hanya berseluar katok, berlengeng, kaki ayam. Masuk sekolah ada uniform khas.

Menggembirakan juga kerana di sekolah ramai kawan baharu. Ada padang besar untuk main kejar-kejar, boleh main bola. Cikgu ajar bersenam.

Paling gembira ialah setiap hari sekolah, abah beri 10 sen. Boleh beli nasi lemak dan sirap bandung. Kalau tidak minum, baki 5 sen boleh simpan; lima hari sekolah dapat kumpul 25 sen!

Dalam kelas cikgu mengajar menulis, conteng-conteng kertas lukisan, lukis kartun. Ada warna untuk cantikkan lukisan. Cikgu juga bercerita, ada nyanyi-nyanyi.

Pendek kata sekolah memang menyeronokkan. Sebab itu sepanjang di sekolah rendah – dari darjah satu hingga darjah enam – saya tidak pernah ponteng, walau sehari pun.

Tetapi, kegembiraan saya setengah abad lalu tidak lagi dinikmati oleh pelajar sekarang. Tidak ada keseronokan; bagi kebanyakan murid hari ini ke sekolah adalah membebankan.

Beban itu boleh dilihat sejak awal sekolah rendah lagi. Beg yang mereka bawa terlalu berat untuk digalas. Berpeluh, silap-silap boleh terseliuh bahu.

Seksa betul melihat anak seusia tujuh atau lapan tahun mengheret beg seberat dua-tiga kg, mungkin lebih. Bayangkan dengan beban seberat itu mereka berebut menaiki bas!

Isu beg berat ini telah lama disuarakan, dan merisaukan ibu bapa. Tetapi, sampai kini belum selesai. Hakikatnya ialah murid membawa terlalu banyak buku. Buku latihan, buku teks, buku teks tambahan, macam-macam.

Selain beban beg terlebih muatan, pelajar sekarang juga dibebankan dengan sekian banyak kerja sekolah @ homeworks. Menjadi kegemaran cikgu memberi kerja sekolah.

Masa selepas waktu sekolah dihabiskan membuat macam-macam kerja sekolah. Sekiranya tidak buat, akan dihukum apabila tiba di bilik darjah esok. Ini pun satu beban.

Sudahlah dibebankan dengan kerja sekolah, pelajar juga dikehendaki menghadiri kelas-kelas tambahan. Ibu bapa rela membayar pusat-pusat tuisyen untuk subjek-subjek tertentu. Almaklumlah jika tidak ke tuisyen, bimbang tidak dapat banyak A.

Pelajar juga dibebani dengan kerja-kerja kokurikulum; jika tidak hadir akan didenda oleh cikgu. Pendek kata, langsung tidak ada masa untuk pelajar bersantai. Hari-hari tertekan.

Belajar yang sepatutnya satu proses menggembirakan, telah menjadi satu tekanan. Dan tekanan itu bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada pihak lain.

Ibu bapa tertekan sebab inginkan kecemerlangan anak. Pada musim peperiksaan, ibu bapa lebih gelisah dan resah. Siang malam berusaha dan berdoa anak mendapat 10 A.

Guru-guru juga tertekan, bimbang murid tidak mendapat A dalam subjek yang diajar. Pengetua tertekan, takut prestasi musim ini menjunam. Kalau boleh tahun ini semua pelajar lulus dengan semua A.

Hatta, pihak kementerian sendiri pun turut tertekan sekiranya prestasi keseluruhan peperiksaan – termasuk pencapaian A – merosot berbanding tahun sebelumnya.

Maka baik ibu bapa, guru, pengetua dan kementerian, semua mempunyai satu matlamat: setiap kali peperiksaan semua murid lulus dengan semua A.

Matlamat semua mesti A inilah yang menjadikan pendidikan satu yang membebankan. Pada hal pendidikan – tidak kira peringkat prasekolah atau menara gading – sepatutnya menyeronokkan.

Selama ini kita terlalu mengejar A. Ibu bapa akan bangga sekiranya anak mendapat 10 A. Cikgu dan pengetua akan bersorak sekiranya semua pelajar mendapat semua A pada setiap peperiksaan.

Pada hal 10 A bukan jaminan seseorang itu akan menjadi manusia. Dulu dan kini sejarah telah membuktikan ada yang tidak mendapat A tetapi boleh menjadi ternama. Ada yang keciciran dalam pelajaran, tetapi boleh menguasai dunia.

Boleh berusaha mendapat 10 A. Tetapi itu jangan menjadi satu bebanan.