KALAULAH tidak viral di media sosial, perkara ini mungkin disenyapkan begitu sahaja, dan mereka yang bertanggungjawab akan terlepas, malah boleh mengulangi kesilapan serupa.

Terima kasih kepada sesiapa juga yang berani menyebarkan video sepanjang tiga minit itu. Insiden tidak mematuhi SOP pun terdedah, dan sudah ada janji pihak berkuasa untuk menyiasat apa yang berlaku di Kuala Kangsar itu.

Sekumpulan murid perempuan sekolah rendah diminta meredah kolam pada satu sesi bina semangat kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Itu biasa, mengikut SOP dan sudah kerap dilakukan sebelum ini.

Tetapi seperti yang jelas dilihat dan didengar dalam video, ada yang luar biasa dan tidak mematuhi SOP: ular hidup dicampakkan ke dalam kolam berkenaan, menyebabkan murid-murid ketakutan dan menjerit tidak keruan.

Kecuali orang tidak siuman, siapa pun yang menonton video berkenaan pasti dapat merasakan kengerian dan trauma yang dialami oleh peserta. Seekor ular sebesar lengan hidup dan berlingkar dalam kolam, bergesel-gesel dengan gadis-gadis kecil itu!

Hairan dan sekali gus menyakitkan hati, pegawai dan jurulatih APM, menganggap itu perkara biasa. Walaupun guru pengiring tidak membenarkan ular hidup dimasukkan ke dalam kolam, larangan tersebut tidak diendahkan.

Alasan jurulatih: ular itu tidak berbisa. Alasan yang amat tidak bijak @ bodoh. Apa kata sekiranya anak gadis jurulatih – atau jurulatih sendiri! – dimasukkan ke dalam kolam berular itu?

Kalaulah ada sedikit kewarasan, ular tentu tidak digunakan untuk mengajar budak kecil. Ini bukan soal ular itu berbisa atau tidak. Jangankan ular hidup, bagi sesetengah orang melihat lipas dan cicak pun boleh membuat dia panik, mungkin pengsan.

Saya tidak nampak apa logiknya ular dijadikan medium untuk meningkatkan jati diri. Tambahan pula peserta masih amat kecil untuk diuji dengan ular. Sesetengah orang tua pun mungkin tidak berani dan geli-geleman melihat reptilia berlingkar itu.

Kesian melihat anak-anak kecil menjerit, terketar-ketar, ketakutan, bertolak-tolakan untuk keluar dari kolam sedangkan para jurulatih mengherdik dan mengetawakan murid-murid malang itu.

Apakah ini cara terbaik kita membina jati diri? Bagi saya apa yang dilakukan oleh empat orang jurulatih APM itu lebih sebagai penderaan mental dan fizikal. Malah, ini pun satu bentuk buli.

Apa akan terjadi sekiranya ada di antara murid-murid tersebut lemah semangat dan pengsan kerana ketakutan? Apa pula halnya jika dalam keadaan takut dan bertolakan itu ada yang cedera atau terbunuh?

Ketika kita berhadapan dengan masalah buli dalam kalangan pelajar yang menjadi-jadi akhir-akhir ini, sehingga kementerian mencadangkan supaya pelajar yang membuli digantung persekolahan, ada pula jurulatih yang membuli murid sekolah rendah sedemikian rupa.

Semua orang dapat meneka apa perasaan ibu bapa murid-murid berkenaan. Pasti jurulatih sendiri pun akan marah sekiranya anak mereka diperlakukan demikian. Warga siber yang menonton viral berkenaan semua marah dan kesal dengan insiden tidak berperi kemanusiaan itu.

Seperti yang dilaporkan media, empat jurulatih dan enam pembantu APM yang terlibat dalam insiden berkenaan telah digantung serta-merta daripada menjadi tenaga pengajar program bina jati diri, sehingga siasatan selesai.

Pengarah APM Perak, Kol Pertahanan Awam Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, siasatan akan dilakukan bagi “memastikan keadilan serta hukuman setimpal diberi mengikut prosedur tatatertib APM.”

Apa yang dirakam dalam video dengan jelas menampakkan kaedah tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan. Pelakunya pun telah dikenal pasti. Jadi tidak perlu mengambil masa panjang untuk menyiasat perkara ini.

Sepatah kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan:  “Saya harap APM akan siasat pegawai yang mengarahkan (letak ular itu) supaya perkara ini tidak berlaku lagi.”

Timbalan menteri itu juga mengarahkan pihak sekolah supaya berurusan dengan keluarga dan pelajar terlibat bagi menjalani sesi kaunseling, untuk memulihkan semangat murid-murid yang trauma itu.

Saya cadangkan sesi kaunseling juga patut diberi kepada empat jurulatih dan enam pembantu APM yang terlibat dalam sesi bina semangat itu. Mungkin otak mereka tidak berapa betul, sebab telah dengan sengaja melanggar SOP dan tergamak menggunakan ular hidup untuk menakutkan kanak-kanak.